Kes buli di sebuah sekolah agama di Pahang sangat memalukan hingga Sultan Ahmad Shah sebagai ketua agama negeri mengelola dan mengendalikan sendiri `mahkamah terbuka’ bagi mencari punca kejadian.
Kesalahan buli di sisi Islam mungkin boleh dilihat di bawah kesalahan hirabah, iaitu salah satu daripada kesalahan hudud. Secara bahasa atau literal, hirabah bermaksud serang.
Berdasarkan perbincangan ulama, hirabah adalah perbuatan serang seorang individu atau kumpulan terhadap individu yang lain secara terbuka.
Serangan tersebut bertujuan untuk membunuh, mencederakan, merampas harta benda, merogol wanita ataupun secara minimumnya serangan bertujuan untuk menakut-nakutkan orang lain.
Hukuman di sisi Islam bagi hirabah sangat berat selaras dengan beratnya kesalahan yang telah dilakukan termasuklah disalib dan dibunuh sekiranya ia melibatkan pembunuhan. Bagaimanapun, remaja-remaja yang terlibat ini sekalipun telah baligh tetapi mereka belum mencapai peringkat al-rushd iaitu bijaksana serta matang.
Melihat kepada perbincangan ulama dan amalan negara-negara Islam, al-rushd ini diukur dengan pencapaian umur sekurang-kurangnya 18 tahun. Sebahagian ulama menyatakan status al-rushd apabila seseorang individu mencapai umur 21 tahun dan sebahagiannya pula apabila berusia 25 tahun.
Justeru, hukuman hadd tidak boleh dikenakan ke atas mereka tetapi mereka tetap bertanggungjawab terhadap kecederaan pada tubuh badan mangsa iaitu jenayah kecederaan dengan sengaja yang melibatkan diyat ataupun `arhs. Diyat adalah konsep pampasan yang perlu dibayar oleh pihak pesalah kepada mangsa berdasarkan kepada kerugian yang dialami oleh mangsa.
Namun demikian, keprihatinan baginda Sultan Pahang menunjukkan bahawa remaja-remaja ini sekalipun belum mencapai al-rushd perlu berasa bertanggungjawab kerana mereka telah pun baligh malah melangkaui umur mumaiyiz yang dapat membezakan perkara yang baik dengan yang buruk.
Menurut Mazhab Maliki berhubung hukuman terhadap pesalah hirabah, pihak pemerintah boleh memilih mana-mana hukuman dengan melihat kepada maslahah dan salah satu bentuk hukuman yang boleh dipilih ialah al-nafiy. Berhubung al-nafiy, terdapat ulama yang mengatakan ia ialah buang daerah.
Ada juga yang berpendapat buang daerah dan ditahan di daerah tersebut, malah pendapat lain mengatakan pesalah ditahan di daerah berlakunya jenayah tersebut. Al-Ardabili dan al-Bayjuri mengatakan bahawa pesalah di bawah umur perlu dikenakan takzir bagi membentuk semula peribadinya dan bukan sebagai hukuman jenayah.
Melihat kepada pandangan-pandangan ulama ini berhubung hukuman jenayah hirabah, maka tindakan menghantar remaja yang sabit kesalahan ke pusat-pusat pembentukan akhlak yang disediakan oleh kerajaan, dilihat sebagai tidak bertentangan dengan konsep al-nafiy serta pandangan al-Ardabili dan al-Bayjuri.
Sebagai mana yang dinyatakan sebelum ini bahawa kesalahan yang melibatkan harta benda mangsa ataupun kecederaan terhadap mangsa perlu dipertanggungjawab oleh pihak yang bersalah sekalipun mereka berada di bawah umur.
Dalam kes jenayah kecederaan, pesalah di bawah umur memang tidak boleh dikenakan hadd qisas sekalipun sabit kesalahan, maka hukuman diganti dengan diyat ataupun `arhs.
Bagi ulama Maliki, jika kadar diyat mencapai sepertiga diyah sempurna, maka `aqilah pesalah perlu menanggung bersama-sama diyat tersebut. Begitu juga sekiranya kesalahan yang disabitkan sebagai jenayah kecederaan misalnya sengaja, iaitu hukuman yang dikenakan ialah diyat yang ditanggung pembayarannya oleh `aqilah. Ini merupakan pandangan Mazhab Syafei dan Hanbali.
`Aqilah ialah ahli keluarga ataupun kaum kerabat. Menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli, sistem `aqilah yang diwujudkan dalam perundangan Islam bertujuan untuk meringankan beban pesalah, mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan pemulihan hubungan di kalangan ahli keluarga.
`Aqilah bagi mereka yang telah melakukan serangan terhadap Muhammad Afiq perlu memikul tanggungjawab secara bersama terhadap apa yang telah dilakukan oleh anak, adik atau anak buah mereka. Menziarahi Muhammad Afiq dan berbincang dengan waris beliau sangat dianjurkan oleh agama kerana di situ terdapat unsur pengajaran kepada semua yang terlibat selain memastikan setiap hak dapat ditunaikan.
Muhammad Afiq dan keluarga beliau menurut kaca mata Islam berhak menerima ganti rugi dengan kerugian yang dialami. Kecederaan yang dialami adalah kerugian yang melibatkan tempoh masa untuk pulih, ahli keluarganya terpaksa menukar rutin harian mereka, kos rawatan dan pembelajaran di sekolah yang terpaksa ditangguh. Di sisi Islam, semua ini tidak percuma.
Walaupun undang-undang kita tidak menyatakan dengan jelas tentang konsep-konsep yang diketengahkan ini, tetapi sebagai golongan yang mempunyai kesedaran agama, belajar, menghantar anak ke sekolah agama dan mengajar agama itu sendiri, sewajarnya melaksanakan apa yang sepatutnya mereka laksanakan kerana undang-undang yang ada tidak menghalang.
Kejadian buli sehingga melibatkan nyawa sebenarnya dipelihara oleh agama dan undang-undang, sewajarnya ia diambil perhatian serius oleh pihak pentadbiran sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) dengan bertindak secara lebih proaktif demi kebajikan dan maslahah pelajar di sekolah.
Apatah lagi perubahan sosial dan waktu yang berlaku menyebabkan ulama mengatakan bahawa konsep `aqilah perlu disesuaikan dengan perubahan yang berlaku.
Konsep `aqilah pada hari ini telah diperluaskan lagi penggunaannya sehingga ke peringkat jabatan, organisasi, persatuan atau di mana-mana di tempat seseorang itu bernaung. Sekiranya kita menerima konsep ini maka sekolah, PIBG malah pihak kementerian juga termasuk dalam konsep `aqilah kepada pelajar.