ILMU penting, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menjadikan masyarakat berilmu dan bermaklumat. Bagi orang Islam, terutama remaja yang bakal mengisi kepemimpinan negara masa depan, jenis ilmu yang wajar dipelajari adalah yang mampu membentuk pandangan hidup sempurna, progresif dan dinamik. Maka, ia menuntut kepada keseimbangan antara ilmu agama dan dunia.
Setiap cabang ilmu perlu diisi dengan semangat dan roh keagamaan. Begitu juga akhlak atau nilai murni dan moral supaya terasa kesannya dalam jiwa. Ilmu yang dipelajari untuk diamalkan bagi memberi kesan positif kepada mereka yang mempelajarinya. Ilmu yang berguna, tetapi tidak diamalkan adalah antara punca terjadinya kepincangan dalam hidup manusia.
Setiap kegiatan penyaluran ilmu dan maklumat atau latihan kemahiran wajib disulami dengan unsur keagamaan seperti kesedaran terhadap aspek ketuhanan dan nilai akhlak. Jangan sekali-kali menganggap kesedaran agama hanya diterapkan apabila berada di kelas atau ceramah agama. Kesedaran dan penghayatan agama perlu ada di setiap ruang lingkup kehidupan seseorang.
Setiap pihak, terutama pendidik dan ibu bapa bertanggungjawab untuk membawa perubahan positif dalam pendidikan, khususnya berkaitan pendidikan remaja.
Imam al-Ghazali mentakrifkan pendidikan itu sebagai mengeluarkan perangai buruk yang ada pada manusia dan menyemaikan perangai dan sifat yang baik. Dari sini, dapat dilihat bahawa pendidikan itu bersifat dalaman untuk melahirkan insan sempurna dan berakhlak mulia. Ia juga untuk menghasilkan perubahan positif kepada pembentukan pemikiran dan tindakan seseorang. Seterusnya, akan membolehkannya berfungsi dengan sempurna dalam masyarakat atau ruang lingkup kegiatannya sama ada di alam persekolahan, pekerjaan atau rumah tangganya.
Tanpa suatu arah perubahan tertentu, lebih-lebih lagi jika yang terbentuk pada peribadi itu adalah perubahan negatif, bererti berlaku suatu bentuk kegagalan dalam usaha pendidikan. Kegagalan untuk memupuk akhlak terpuji dalam diri manusia adalah suatu bencana. Hal ini kerana tujuan asas pendidikan tersasar jauh daripada matlamatnya.
Bayangkan apabila kandungan pendidikan yang tidak seimbang menghasilkan manusia yang tidak jelas ‘piawaian’ moralnya atau hala tuju hidupnya. Kehidupan seharian mereka hanya untuk memenuhi keperluan biological seperti makan minum, perlindungan, berkeluarga dengan tanpa rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Kegagalan seperti ini patut dibuat ‘bedah siasat’ berdasarkan pertimbangan terhadap pelbagai faktor seperti tahap kewibawaan ilmu dan peribadi guru serta kesahihan sistem pendidikan yang dipakai. Begitu juga sokongan ibu bapa dan keluarga; keprihatinan dan kewibawaan pemimpin setiap peringkat serta suasana persekitaran masyarakat dan negara seseorang itu membesar. Dengan itu, satu penilaian sahih dan saksama dengan mengenepikan unsur sentimen dan prejudis perlu dilaksanakan supaya terbuka ruang ke arah penyelesaian lebih konkrit.
Dalam hal ini, tanggungjawab pendidikan adalah amanah bagi semua pihak.Ia menuntut agar setiap masyarakat memahami konsep pendidikan sebenar supaya matlamat pendidikan yang ingin dicapai tidak tersasar. Keberhasilan sesuatu usaha pendidikan di mana-mana peringkat ditinjau daripada sejauh mana perubahan positif yang mampu dicapai dalam selang masa tertentu terhadap seseorang, terutama remaja.
Sesiapa pun tidak dapat menafikan bahawa remaja, khususnya pelajar adalah aset dan potensi yang sangat perlu dipelihara. Untung nasib masa depan sesebuah masyarakat dan negara terletak sepenuhnya di atas bahu mereka. Mereka adalah pewaris sah tamadun masa kini untuk dilanjut dan dipertingkatkan mutunya pada masa akan datang.
Dalam konteks negara kita, remaja membentuk peratusan besar penduduknya. Maka, kita tentunya tidak akan membiarkan remaja dengan permasalahannya begitu saja tanpa sebarang jalan penyelesaian.
Satu kaedah mantap dan sesuai perlu dicari supaya remaja kita tidak berterusan terperangkap dalam penguasaan unsur negatif.
Untuk mewujudkan gaya hidup dan budaya berkualiti dan bermutu, selain menyediakan pendekatan pendidikan ‘Islamik’, kita nampaknya tidak ada banyak pilihan melainkan mewujudkan sistem kawalan sosial berkesan di pelbagai peringkat kehidupan. Sistem kawalan sosial rapi dan munasabah mesti diwujudkan dari institusi perundangan dan pentadbiran negara hingga ke institusi keluarga dan persekolahan.
Pihak berkuasa mesti mempunyai visi jelas mutu budaya serta gaya hidup yang ingin dibangunkan. Seiring itu, penyediaan garis panduan atau peraturan hendaklah digubal dan dipatuhi oleh setiap pihak yang terbabit, terutama saluran media yang nampaknya begitu berpengaruh dalam membentuk pemikiran dan peri laku remaja masa kini.