Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz Diterbitkan :
Asas pembentukan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah menjadikan negara ini sebuah negara yang mempunyai identitinya sendiri. Antara asas penting pembentukan negara ini ialah negara Persekutuan, iaitu sebuah negara yang dibentuk atas gabungan negeri-negeri.
Sebagai sebuah negara Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan membuat pembahagian kuasa perundangan antara Negeri dan Persekutuan. Ada dijanjikan dalam terma rujukan lantikan Suruhanjaya Reid semasa penggubalan Perlembagaan supaya, dalam membentuk sebuah Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa yang besar kepada Persekutuan, beberapa kuasa autonomi dikekalkan kepada negeri-negeri dan perlu diwujudkan beberapa mekanisme bagi mengendalikan hubungan antara Persekutuan dan negeri.
Sejumlah kecil kuasa autonomi ini dikekalkan adalah bagi membolehkan negeri-negeri mengekalkan kuasa tentang beberapa perkara yang asas bagi negeri. Atas dasar dan persetujuan tersebut, Perlembagaan Persekutuan telah mewujudkan peruntukan khas tentang pembahagian kuasa antara negeri dan Persekutuan. Perkara ini terkandung dalam Bahagian Keenam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, dalam mentafsir Perlembagaan, mahkamah hendaklah memberikan perhatian sepenuhnya kepada pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri dan juga kepada kuasa autonomi negeri sebagaimana yang dimahukan oleh Perlembagaan dalam peruntukan berkenaan pembahagian kuasa perundangan ini.
Sekiranya tidak berbuat begitu, mahkamah akan menggagalkan sifat Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan yang memberikan layanan dan menjamin kedudukan tertentu kepada negeri.
Dalam mentafsir Pelrembagaan Mahkamah tidak boleh mengabaikan pengorbanan yang telah dilakukan oleh negeri-negeri dalam menyerahkan kuasa dan hak mereka kepada Persekutuan dalam proses membentuk negara Persekutuan. Dengan kata lain, Mahkamah tidak boleh mengabaikan persetujuan dalam pembentukan Persekutuan ini yang mahu memberikan sedikit kuasa autonomi kepada negeri.
Sebuah negara Persekutuan dibentuk atas dasar persetujuan politik yang seterusnya tersebut dimaktub dan diisytihar dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen perjanjian antara negeri-negeri. Maka, atas dasar itu, perjanjian tersebut hendaklah ditunaikan.
Perlu juga dijelaskan di sini bahawa, Persekutuan asalnya tidak mempunyai apa-apa. Persekutuan tidak mempunyai tanah dan tidak mempunyai kekuasaan. Ini kerana Persekutuan itu terbentuk atas tanah dan kekuasaan dan kedaulatan negeri-negeri. Kedaulatan yang ada pada Persekutuan sekarang, sebagaimana diiktiraf oleh dunia adalah hasil daripada persetujuan dan penyerahan kuasa oleh negeri-negeri.
Negeri-negeri merdeka dan berdaulat telah membuat perjanjian dengan menyerahkan kekuasaan mereka kepada Persekutuan dengan syarat Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan negeri-negeri. Oleh itu, Bahagian Kelima Perlembagaan Persekutuan telah membuat beberapa peruntukan bagi menjamin kedudukan raja bagi negeri-negeri serta jaminan terhadap keistimewaan Dewan Undangan Negeri.
Selain itu, kekuasaan dan kedaulatan negeri juga boleh dilihat dalam Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, yang mana, kuasa berkaitan saki baki perundangan adalah terletak hak kepada negeri-negeri. Sekiranya terdapat sesuatu perkara yang tidak disenaraikan dalam senarai perundangan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan atau peruntukan lain dalam Perlembagaan, maka perkara tersebut adalah terletak hak negeri. Perunutkan ini menjelaskna tentang dasar kekuasaan dan kedaulatan negeri-negeri, yang mana semua perkara atau punca kuasa sebuah Persekutuan itu adalah negeri-negeri.
Dalam perkembagan atau kes-kes semasa, beberapa isu telah dibangkitdan dihujah di mahkamah berkaitan bidang kuasa negeri dan kuasa Dewan Undangan Negeri, terutamanya dalam perkara-perkara yang melibatkan perundangan Syariah, terutamanya undang-undang jenayah Syariah.
Sebelum ini, ada keputusan Mahkamah yang tidak mengambil berat tentang jaminan Perlembagaan terhadap kuasa perundangan negeri. Pendekatan ini telah mengabaikan kedudukan negeri sebagai komponen utama dalam pembentukan Persekutuan. Pendekatan sebegini boleh menggagalkan gagasan negara Persekutuan sebagaimana diniatkan dahulu.
Dalam mentafsir Perlembagaan mahkamah hendaklah meraikan hak negeri-negeri ini kerana sejarah dan agenda pembentukan Persekutuan tidak boleh diambil mudah.
Oleh itu peruntukan Bahagian Keenam Perlembagaan yang membuat peruntukan berkaitan hubungan antara Persekutuan dengan negeri-negeri yang dibaca secara bersama dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hendaklah difaham dengan ruh dan niat ia dibuat. Peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan hendaklah juga dibaca dengan meraikan pembahagian kuasa ini.
Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan penerbitan buku “Allah, Love and liberty” yang dihujahkan sebagai kebebasan bersuara telah membuat pendekatan tepat, iaitu pendekatan mengharmonikan kesemua peruntukan Perlembagaan dalam meraikan pengasingan kuasa antara Persekutuan dan negeri.