Umum mengetahui keharuan yang ditimbulkan Dr Kassim Ahmad dalam ucapannya pada sebuah seminar di Putrajaya tanggal 15 – 16 Februari lalu. Dr Kassim Ahmad sebagaimana disiarkan dalam ruangan rencana portal The Malaysian Insider pada 17 Januari 2014, cuba menarik perhatian terhadap “kesilapan besar” yang dilakukan umat Islam. Antaranya termasuklah pertama, “mendewakan” Nabi Muhammad S.A.W. dan lafaz syahadah kedua sebagai salah satu buktinya.
Dakwaan berat lagi tidak benar Dr Kassim Ahmad itu menimbulkan beberapa persoalan. Apakah yang dimaksudkan oleh beliau sebagai “mendewakan” Nabi Muhammad S.A.W.? Perbuatan mendewakan sebagaimana ditakrifkan memberi maksud memuja-muja seperti dewa. Manakala dewa pula ditakrifkan sebagai sesuatu yang dipuja-puja kerana dipercayai berkuasa terhadap alam dan manusia. Jika perbuatan “mendewakan” itu dimaksudkan sebagai “menyembah”, maka kenyataan beliau merupakan tuduhan yang amat berat. Tidak pernah berlaku, hatta dalam kalangan pengikut ajaran sesat sekalipun, Nabi Muhammad S.A.W. disembah sebagaimana tuhan disembah. Jika benar Nabi Muhammad S.A.W. di“sembah” maka ia tidaklah berbeza dengan perbuatan orang Kristian yang menyembah Nabi `Isa A.S. kerana menganggap baginda sebagai Tuhan.
Syahadah sebagai lafaz pembutkian keimanan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. menepati penegasan al-Qur’an tentang kedudukan Baginda sebagai Rasul. Antaranya sebagaimana dapat dilihat dalam ayat berikut yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Qur’an) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’ 4 : 59)
Ketaatan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang disebut al-Qur’an selepas ketaatan kepada Allah S.W.T. menunjukkan tingginya kedudukan Baginda. Bahkan dalam ayat yang lain, al-Qur’an menegaskan bahawa syarat untuk memperoleh cinta Allah adalah dengan mengikut dan mentaati Baginda (Surah Ali `Imran 3 : 31). Lafaz pembuktian keimanan terhadap Baginda itu tidak sama sekali memberi maksud kedudukan Baginda dianggap setara dengan Allah S.W.T. Hal itu tidak berlaku sama sekali kerana ia merupakan kesyirikan yang nyata. Umat Islam mengetahui dengan jelas kedudukan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai Rasul dan Nabi, utusan Allah. Mereka juga menyedari keistimewaan dan kelebihan yang dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Betapa kedudukan Nabi-Nabi dan Rasul-rasul itu berbeza dengan manusia biasa yang lain. Adakah Dr Kassim dapat menafikan kenyataan ini? Jika ibu bapa juga diberikan keistimewaan dan kedudukan yang tinggi oleh Allah S.W.T. apatah pula bagi seseorang yang diangkat menjadi Nabi dan Rasul-Nya.
“Kesilapan” lain yang dilakukan umat Islam menurut Dr Kassim ialah tidak menurut ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Sebaliknya mereka menurut kasta paderi yang dipanggil ulama, sama seperti penganut agama Hindu dan Kristian dahulu. Ulama ini dikatakan oleh Dr Kassim melantik diri mereka sendiri sebagai pentafsir agama bagi umat Islam. Umat Islam lebih khusus lagi katanya, melakukan kesalahan dengan mendewakan pemimpin agama yang dianggap sebagai maksum dan memutuskan semua persoalan yang timbul dalam kehidupan mereka. Tindakan para ulama itu dikatakan menutup pintu ijtihad. Dakwaan Dr Kassim itu ternyata menafikan autoriti dalam agama. Lupakah Dr Kassim akan golongan yang diiktiraf sendiri oleh al-Qur’an itu. Al-Qur’an misalnya menyebut kelebihan ahl al-zikr (Surah al-Nahl 16 : 43 & Surah al-Anbiya’ 21 : 7), ulul absar (Surah Ali `Imran 3 : 13), `ulama’ (Surah Fatir 35 : 28 & Surah al-Mujadalah 58 : 11), dan sebagainya? Bahawa mereka berperanan untuk membimbing anggota masyarakat ke arah kebenaran dan kebaikan. Sekiranya ulama tidak boleh diterima sebagai pentafsir maksud kalamullah maka siapakah yang boleh dicadangkan beliau untuk berbuat demikian? Adakah beliau sendiri dianggap sebagai termasuk dalam kalangan orang yang berkelayakan untuk melaksanakan tugas atau amanah yang penting lagi berat itu?
Jika sekalipun hasrat sebenar Dr Kassim ialah mengkritik ulama hari ini atas segala kelemahan dan kekurangan yang dimiliki, namun beliau tidak harus sama sekali bertindak keterlaluan sehingga meruntuhkan dasar-dasar ilmu dalam Islam. Atas asas bahawa agama itu nasihat, maka berikanlah nasihat sebaik-baiknya. Nasihati agar kelemahan diatasi dan kesilapan dibetulkan. Ingatkan bahawa ulama perlu memelihara kewibawaan dan meningkatkan tahap keilmuan. Penolakan keseluruhan ahli ilmu bermakna penafian terhadap amalan dan tradisi Islam yang telah dibina dengan kukuhnya sejak sekian lama. Bahkan juga bertentangan dengan pendirian al-Qur’an sendiri. Seandainya ahli-ahli ilmu ini ditolak maka siapakah yang akan mengambil alih peranan mereka untuk membimbing masyarakat? Adakah golongan jahil (juhala’) boleh diharap untuk menggalas tugas yang amat mencabar itu? Bukankah al-Qur’an sendiri menegaskan bahawa amanah perlu diserahkan kepada individu yang layak menerima atau memikulnya? (Surah al-Nisa’ 4, ayat 58)
Persoalan yang juga penting di sini, sekiranya ulama ditolak, dari tangan siapakah al-Qur’an diperoleh? Dr Kassim yang diketahui tidak menguasai bahasa Arab pasti bergantung pada terjemahannya. Dalam situasi tersebut, bagaimanakan beliau dapat menentukan kesahihan terjemahan yang diperoleh beliau, sebagaimana yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T.? Dr Kassim juga ternyata membuat tohmahan palsu apabila menyamakan kedudukan ahli ilmu dalam masyarakat Islam dengan kasta paderi. Malah ahli-ahli ilmu dianggap bebas daripada dosa (maksum). Terdapat jurang perbezaan yang besar antara ahli ilmu dalam Islam dengan paderi dan/atau Pope. Kewibawaan ahli ilmu atau ulama terletak pada autoriti ilmu dan bukannya jawatan. Sebaliknya paderi dalam agama Kristian misalnya dianggap sebagai wakil Tuhan dan Pope pula bebas daripada dosa. Perkara yang sama tidak berlaku bagi ahli ilmu dalam masyarakat Islam. Mereka tidak maksum dan tidak sama sekali memiliki kekebalan tertentu. Mereka tetap berdosa seandainya melakukan sesuatu kemungkaran atau kemaksiatan. Jika Dr Kassim tetap mempertahankan tohmahannya itu, maka beliau perlu bertanggungjawab untuk membuktikan kebenarannya. Namakan siapa ketua atau pemimpin bagi ulama yang diikut oleh umat Islam dan dikatakan memiliki persamaan dengan kasta kepaderian itu.
Mahu tidak mahu Dr Kassim mesti menyedari bahawa jika diumpamakan sebatang pohon, al-Qur’an dan Hadith sebagai akarnya, institusi ilmu dan ulama merupakan batangnya dan kita pula pucuknya. Makanan yang diperlukan oleh pucuk perlu melalui batang pohon tersebut. Jika pohon tersebut mahu ditebang batangnya sudah tentu berakhirlah hayat pohon tersebut. Dapatkah beliau nafikan bahawa kita yang berada pada zaman kini sesungguhnya memperoleh ilmu yang tiada bandingan nilainya daripada ahli-ahli ilmu yang memperolehnya pula daripada Nabi Muhammad S.A.W.?
Peristiwa membabitkan Dr Kassim itu seharusnya menimbulkan kesedaran. Bahawa kejahilan dan keegoan hanya memerangkap kita dalam kehinaan. Kejahilan wajib diatasi dengan pemerolehan ilmu. Ilmu yang berasaskan kebenaran hakiki dan daripada individu yang berkelayakan tinggi. Dengan demikianlah akal akan dibimbing menuju kebaikan serta kesejahteraan. Manakala diri tidak sekali-kali terdorong mencetuskan kerosakan, ketidaktenteraman, dan kemudaratan.