Saya tergelak seorang diri membaca ucapan Kassim Ahmad pada Konferensi Politik Nasional (18 Februari 2014). Yang menyebabkan saya tergelak adalah kerana secara tiba-tiba saya teringat kepada filem Tan Sri P. Ramlee “Ibu Mertuaku”. Dalam filem itu baris dialog yang mungkin diingati semua orang adalah pertanyaan si ibu mertua: “Siapa Kassim Selamat?”. Apabila membaca ucapan Kassim Ahmad soalan yang sama terpacul dalam fikiran saya: “Siapa Kassim Ahmad?”
Jawapan kepada persoalan itulah yang ingin kita perolehi dari ucapan beliau di atas kerana ucapan itu mengandungi kenyataan-kenyataan yang banyak tentang apa yang tersirat dalam akal fikirannya. Pada penilaian saya, bagi seorang yang telah berusia 80 tahun tahap pemikiran beliau amatlah mengecewakan. Bahkan mungkin tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa beliau tidak matang dan kebudak-budakan. Dan dengan tahap pemikiran separuh masak itulah beliau tanpa segan-silu meletakkan dirinya sebagai pengkritik tamadun Islam dan penasihat umat, bangsa, dan negara.
Kassim cuba menampilkan dirinya sebagai pencinta kebenaran yang rendah diri dan tertib menjaga batas-batas Allah. Sejauh mana benar atau tidakna dakwaan tentang dirinya itu dapat dilihat pada kenyataan-kenyataan beliau yang sebenarnya hanyalah merupakan kenyataan sembarangan yang tidak bertanggungjawab.
Kassim percaya bahawa Kaum Muslimin sudah menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar, dan punca penyelewengan mereka itu menurut beliau ada dua, iaitu:
1. mereka telah mendewa-dewakan Muhammad; dan
2. mereka telah mendewa-dewakan ulama’ yang dianggap sama dengan kasta paderi, dan dianggap maksum.
Inilah intisari pemikiran Kassim, dan inilah yang beliau mahu Kaum Muslimin percaya sebagai dosa terbesar Kaum Muslimin, dan kerana dosa inilah mereka ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain dalam dunia.
Istilah yang digunakan oleh Kassim bagi menyampaikan maksudnya adalah pendewaan. ‘Dewa’ menurut Kamus Dewan ertinya sesuatu yang dipuja-puja kerana dipercayai berkuasa terhadap alam dan manusia. Dalam akidah Islam hanya Allah sahaja yang layak diletakkan pada kedudukan itu. Pendewaan terhadap selain dari Allah bukanlah dosa yang kecil kerana ia adalah perbuatan syirik. Maka Kassim sebenarnya telah melontarkan tuduhan syirik terhadap seluruh Kaum Muslimin. Bagi Kassim Kaum Muslimin tiada bezanya dengan Kaum Nasrani yang telah mempertuhankan Nabi Isa dan mewujudkan kasta paderi. Dia mentafsirkan perbuatan merujuk kepada hadith sebagai sumber hukum sebagai pendewaan terhadap Muhammad, manakala perbuatan merujuk kepada tafsiran ulama’ (yang disamakan dengan golongan paderi dalam agama Kristian) pula dianggap sebagai pendewaan terhadap mereka. Amat sukar untuk kita menafikan kesimpulan bahawa Kassim pada hakikatnya telah mengkafirkan seluruh Kaum Muslimin bermula dari zaman Imam Shafi’i hinggalah ke zaman kita ini.
Susunan qiyas yang digunakan oleh Kassim adalah seperti berikut: (i) orang yang dirujuk kepada perkataan dan perbuatannya sebagai panduan adalah dewa; (ii) Kaum Muslimin merujuk kepada perkataan dan perbuatan Muhammad dan alim-ulama; oleh itu (iii) Kaum Muslimin telah mendewakan Muhammad dan alim-ulama’.
Demikianlah bacaan Kassim terhadap Kaum Muslimin.
Kini giliran kita pula membaca Kassim. Persoalan pertama adalah motif Kassim melontarkan kata-kata sedemikian? Apakah yang menyebabkan begitu besar permusuhan Kassim terhadap hadith dan ulama’? Jawapannya adalah kerana kaitan kedua-duanya dengan tafsiran al-Qur’an. Kassim tidak mahu Kaum Muslimin merujuk kepada kedua-dua sumber itu bagi memahami al-Qur’an. Dia mahu autoriti hadith dan seluruh metodologi yang digariskan oleh para ilmuwan Islam sejak ribuan tahun dihapuskan bagi membuka jalan kepada sesiapa sahaja mentafsirkan al-Qur’an dan berijtihad.
Apakah sebenarnya yang telah Kassim lakukan? Di sinilah jelas kelihatan sifat kebudak-budakan si Kassim ini. Sekiranya benar tafsir dan ijtihad yang beliau mahu lakukan maka lakukan sahaja tanpa ada keperluan untuknya membangkitkan soal pendewaan.
Para alim-ulama yang silam telah memperolehi pengiktirafan umat melalui kerja keras dan sumbangan mereka yang terbukti dalam sejarah yang panjang. Perbuatan Kassim mencerca hadith dan ulama’ tidak menjadikannya mufassir dan mujtahid. Yang tidak pernah dia lakukan adalah membuktikan kemampuannya mentafsir dan berijtihad. Bagaimanakah Kassim berharap dirinya diterima sebagai autoriti yang baharu? Bahkan sebaliknya, perbuatan mencerca hadith, ulama’ dan Kaum Muslimin keseluruhannya itu hanya menunjukkan bahawa Kassim menyimpan cita-cita mahu diterima dan disanjung dan apabila itu tidak tercapai dia menyimpan hasad yang mendalam terhadap pihak yang menghalang cita-citanya itu, sedangkan pada hakikatnya dia sendiri tidak memiliki keyakinan diri untuk mengemukakan tafsiran dan ijtihadnya yang kononnya berupaya membebaskan Kaum Muslimin dari lembah kesesatan. Ternyata, dengan umur yang telah melewati 80 tahun tiada sebarang ijtihad besar yang Kassim telah keluarkan untuk dimanfaatkan oleh Kaum Muslimin.
Sekurang-kurangnya para alim-ulama yang dibenci oleh Kassim itu difahami metodologinya, kerana mereka menjelaskan asas-asas pemikiran mereka secara ilmiah lagi terperinci dalam mentafsir dan berijtihad. Dan metodologi mereka itu terbuka kepada kritikan dan perbahasan selama lebih dari seribu tahun. Kassim tidak melakukan semua itu kerana semua orang tahu dia sememangnya dia tidak berupaya melakukannya, bukan kerana ada sesiapa yang menutup pintu ijtihad untuknya. Ijtihad tidak mempunyai pintu yang boleh dibuka mahupun ditutup. Yang ada adalah kelayakan berijtihad yang mesti dibuktikan. Kassim tidak pernah membuktikan apa-apa selain dari hasad terhadap alim-ulama semata-mata kerana pandangan mereka tetap diterima oleh masyarakat walaupun mereka sudah lama tiada. Kassim terlalu ingin mengambil tempat mereka itu, akan tetapi masyarakat tidak percaya terhadapnya, dan tidak mengangkatnya sebagai Imam mereka. Itulah punca kemarahan dan kebenciannya.
Selain penghasad, Kassim juga sebenarnya adalah seorang pembohong yang menyembunyikan sumber sebenar pengambilan idea-idea asasnya. Dia tidak memiliki sebarang idea asli yang mampu meletakkannya sebaris dengan alim-ulama’ dahulu yang dikritiknya itu, apatah lagi mengatasi sumbangan mereka kepada Tamadun Islam. Ketika dia heboh mencanangkan kepada Kaum Muslimin kepentingan berfikir dan berijtihad, dia sendiri bertaklid buta terhadap idea-idea pemikir sekular yang merupakan dewa-dewa pujaannya. Maka kita dapati tiada apa yang baharu mahupun asli dalam bacaannya terhadap sejarah dan tradisi. Dia hanya sekadar mengulang-ulang pandangan Harvey Cox, Max Weber, Freidrich Schiller dan lain-lain tanpa kefahaman.
Maka Kassim Ahmad sebenarnya bukanlah menentang pendewaan kepada selain Allah, dia hanya menentang pendewaan terhadap Muhammad dan alim-ulama’. Sebabnya adalah kerana pendewaan itu bercanggah dengan pendewaan yang dipersetujui dan diamalkannya iaitu pendewaan terhadap pemikir-pemikir sekular Barat khususnya dari kalangan ahli sosiologi sepertinya. Mereka semua menyeru manusia ke arah perubahan dan keduniaan. Perubahan yang mereka maksudkan itu merujuk kepada perubahan dalam pemikiran manusia sejajar dengan perubahan-perubahan semasa yang berlaku dalam dunia. Ia menuntut perubahan nilai, kepercayaan dan ilmu, dan perubahan itu hendakluh dibiarkan terus-menerus berlaku sebagai suatu evolusi. Dalam pemikiran sebegini, tradisi adalah musuh utamanya. Justeru Kassim menjadikan tradisi Islam yang diasaskan kepada tradisi ilmunya yang tersendiri itu sebagai sasaran serangannya. Beliau tahu, selagi mana Kaum Muslimin berpegang kepada tradisi itu maka amat sukar untuk pemikiran sekular yang menjadi akidahnya itu diterima-pakai sebagai asas baharu pentafsiran al-Qur’an.
Ulama’ bukanlah maksum, dan setiap Muslim mengetahuinya. Mereka juga tahu bahawa kemaksuman bukanlah syarat penerimaan umat terhadap kepimpinan mereka. Mereka diterima kerana jasa dan keikhlasan mereka berkhidmat kepada Islam. Kecaman melulu Kassim Ahmad terhadap ulama’ sudah mengeluarkannya dari golongan yang menghormati batas-batas Allah. Namun, disebabkan oleh keterujaannya yang melampau terhadap persoalan politik dan kuasa, Kassim terlepas pandang bahawa masalah sebenar yang dihadapi oleh Kaum Muslimin adalah masalah ilmu. Disebabkan ketiadaan ilmu yang benar itulah mereka tidak dapat membezakan antara ulama’ sebenar dengan ulama’ palsu. Yang sepatutnya menjadi sasaran Kassim adalah ulama’ palsu akan tetapi kerana kehampaan ilmu maka beliau juga tidak dapat membezakan antara keduanya. Justeru, tentulah melucukan melihat gelagat Kassim berucap memberi amanat pada suatu perhimpunan yang membicarakan tentang kepimpinan. Ia ibarat menjemput orang buta berbicara tentang warna.