Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan adalah makhluk yang kufur kepada Tuhan-Nya.” (Surah al-Israa’, ayat 26-27).
Ayat tersebut menggambarkan kepada kita bahawa amalan berbelanja secara berlebih-lebihan atau berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan.
Walau bagaimanapun, amalan berhutang ini dilihat satu cara yang paling mudah bagi seseorang individu itu untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. Rata-rata masyarakat kita hari ini bukan sahaja menjadikan institusi kewangan sebagai sasaran utama untuk berhutang malah ada segelintirnya tanpa segan silu lagi sanggup berhutang dengan adik beradik, jiran tetangga, rakan sekerja mahupun ada yang sanggup berhutang dengan majikan.
Persoalannya mengapa masyarakat kita terus-menerus berhutang? Apakah benar mereka ini berhutang untuk memenuhi keperluan hidup atau kepuasan hidup atau sekadar seronok dan suka-suka sahaja?
Kita sering kali mendengar beberapa individu yang sering mengeluh dan sering mengadu yang gaji mereka tidak mencukupi. Hal ini kerana pendapatan yang diterima setiap bulan tidak berkadaran terus dengan perbelanjaan yang semakin meningkat membuatkan ramai masyarakat kita sudah mula dan pandai membuat hutang. Sebagai contoh gaji bulanan sebanyak empat ribu mungkin sudah mewah bagi mereka yang tinggal di pinggir bandar atau desa.
Namun, bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor misalnya dengan kos sara hidup yang tinggi; jumlah gaji empat ribu itu tadi bukanlah dilihat angka yang ideal memandangkan pelbagai aspek perlu diambil kira seperti sewa rumah, bayaran ansuran kereta, makan minum dan perbelanjaan yang berkaitan pastinya agak mahal kos sara hidupnya di bandar-bandar besar berbanding di pinggir bandar.
Itu belum lagi dikira perbelanjaan bayaran bil telefon, petrol, parkingnya, bayaran tol dan sebagainya. Beban kewangan yang tinggi inilah menyebabkan ramai antara individu yang hampir menggunakan 75 peratus daripada gaji mereka untuk bayaran perbelanjaan tersebut. Selain itu, ada yang masih bekerja dan telah pun bekerluarga masih perlu memberi komitmen membayar hutang pengajian dan sebagainya. Ini menjadikan masyarakat kita hari ini sanggup berhutang disebabkan tidak dapat menampung perbelajaan harian.
Oleh itu, amat penting kita mempunyai kemahiran mengurus wang secara bijak untuk menjamin hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang. Langkah ini dapat membimbing dan menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.
Menurut seorang pakar kewangan antara langkah-langkah yang boleh dibuat dalam menangani hal ini ialah dengan mencadangkan pengguna membahagikan pendapatan mereka kepada tujuh tempat apabila mendapat gaji bulanan. Yang pertama sebanyak 10 peratus daripada gaji disimpan terlebih dahulu sebelum berbelanja. Ini kerana setelah kita melakukan pengasingan pendapatan untuk simpanan terlebih dahulu, maka perbelanjaan seterusnya ialah berdasarkan baki yang ada di tangan. Jika baki itu sedikit ataupun tiada, maka kita akan sentiasa berhati-hati dengan setiap perbelanjaan.
Ini bermakna sekiranya kita mempunyai pendapatan bersih katakan sebanyak RM 2000 maka, RM 200 perlu diperuntukkan untuk disimpan. Dalam setahun kita akan berjaya menyimpan sebanyak RM 2400 tidak termasuk keuntungan dari simpanan. Kumpulan Wang simpanan pekerja (KWSP) adalah contoh yang terbaik apabila secara automatik telah menolak jumlah wang simpanan para pekerja. Hal ini juga penting untuk menjamin keselesaan hidup selepas persaraan. Dengan adanya simpanan ini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan keselesaan kepada kita setelah bersara kelak. Seboleh-bolehnya tempat yang kita simpan itu tidak mempunyai ATM kad supaya kita tidak mudah mengeluarkan wang simpanan itu tadi sesuka hati.
Yang kedua, sebanyak 55 peratus pendapatan kita pula perlu dibelanjakan untuk membayar keperluan lain seperti perbelanjaan bagi barangan keperluan harian dapur, utiliti, bayaran penyelenggaraan perumahan, pengangkutan serta hutang-hutang lain dan sebagainya yang biasanya kita lakukan setiap bulan.
Manakala peruntukkan sebanyak 10 peratus lagi boleh disimpan untuk jangka masa yang panjang seperti untuk melancong, menunaikan umrah, percutian dan sebagainya. Tempat yang keempat, sebanyak lima peratus perbelanjaan lagi boleh digunakan untuk meningkatkan kemahiran pendidikan sama ada untuk membeli buku-buku untuk belajar cara urus wang, menghadiri seminar, bengkel dan sebagainya terutama untuk menambah pengetahuan dalam kemahiran mengurus kewangan dan meningkatkan kemahiran lain.
Begitu juga dengan tabungan kecemasan kita perlu menolak sebanyak lima peratus daripada pendapatan. Menabung dalam tabung kecemasan penting bagi perkara-perkara yang kita tidak jangka akan berlaku. Wujudnya tabung kecemasan ini bertujuan untuk memenuhi keperluan sekiranya terjadi perbelanjaan yang tidak diingini. Contohnya apabila mengalami perkara-perkara yang tidak dijangka seperti masalah kesihatan atau mungkin juga masalah pada kenderaan kita yang tiba-tiba rosak dan kita tiada peruntukan untuk membaiki kenderaan pada waktu tersebut. Dengan adanya tabung kecemasan ini, dapatlah menghindarkan kita daripada kesusahan atau berhutang apabila berlakunya perkara yang diluar jangkaan. Wang simpanan dalam tabung kecemasan yang kukuh, membantu kita menghadapi saat-saat kecemasan dan mengurangkan kesusahan kita apablia dilanda musibah.
Menurut pakar perunding kewangan itu lagi, lima peratus lagi bolehlah diperuntukkan untuk tabungan, pelaburan dan lain-lain. Manakala tempat yang terakhir sebanyak 10 peratus lagi boleh diperuntukkan sebagai sumbangan lain termasuklah membayar cukai, menambah untuk berzakat, atau didermakan kepada fakir miskin serta golongan yang memerlukannya.
Justeru, dalam soal mengurus perbelanjaan agar tidak melampaui pendapatan ini sikap mengukur baju di badan sendiri perlu diamalkan bagi mengelak diri dibelenggu masalah kewangan yang akan membebankan. Sikap ambil mudah tanpa mengukur kemampuan sendiri adalah musuh utama.
Keadaan ekonomi semasa yang agak mencabar ini juga sebenarnya mengajar kita agar lebih mendisiplinkan diri supaya tidak berboros ketika berbelanja. Dengan memperuntukkan wang perbelanjaan dan simpanan kita kepada tujuh tempat itu tadi mungkin dapat menyelamatkan kita daripada terus berbelanja secara berlebih-lebihan dan secara tidak langsung dapat menghindarkan kita daripada berbelanja melampaui pendapatan sedia ada. Selain itu, apa yang boleh kita fikirkan ialah bagaimana untuk menambah pendapatan sedia ada untuk mencari jalan keluar daripada kesempitan. Apapun dalam menguruskan kewangan ini segalanya bermula dalam diri kita sendiri!