Kelmarin saya terkejut dengan berita tangkapan beberapa orang berkaitan serbuan makmal proses dadah dan rampasan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya serta rampasan senjatapi dan senjata berjadual pada tempat sama dan melibatkan orang sama. Ini berlaku di sebuah rumah di luar bandar, di negeri Kelantan, yang mana sistem sosialnya masih lagi kelihatan baik.
Kita mungkin tidak begitu hairan sekiranya polis menyerbu premis seperti apartment mewah atau rumah-rumah bandar kerana sistem sosial yang lemah. Tetapi, agak menghairan sekiranya sebuah rumah kampung yang dijadikan tempat memproses dadah. Tetapi inilah yang menunjukkan dengan nyata dan terang sekali tentang darjah serangan dadah ke atas masyarakat kita. Setiap pelusuk negara telah diracuni gejala dadah.
Dadah adalah ancaman yang begitu dekat dan hebat. Ia sudah membarah. Kita sering mendengar orang bercakap tentang cabaran new world order ke atas negara, tetapi, bagaimanakah kita boleh menghadapi new world order itu sekiranya masalah domestik kita, terutamanya dadah tidak lantang, tidak pantas dicantas. Jangan harap kita berjaya.
Tunku Abdul Rahman, pernah menulis tentang bahaya dadah. Dalam Challenging Times, Tunku menulis tentang Drugs and the Downfall of Rulers. Dadah menyerang tidak kira golongan. Sekiranya golongan raja yang diserang, ia akan meruntuhkan sistem itu. Sekiranya dadah menyerang masyarakat umum, ia akan meruntuhkan negara keseluruhannya. Bahaya dadah kepada kelangsungan kemerdekaan negara begitu besar besar sekali.
Kata Tunku dalam tulisannya, drug addiction is the worst curse ever inflicted on mankind. Kenyataan ini tepat. Dalam konteks ini didikan Islam telah mengambil pendekatan pencegahan. Islam mengharamkan pengambilan bahan-bahan yang memabukkan. Islam mengharamkan arak walaupun arak telah menjadi darah daging masyarakat sebelum Islam. Namun, dengan kedatangan Islam, tabiat buruk yang diamalkan itu telah dapat diselesaikan.
Sisten didikan Islam mengambil pendekataan pembinaan jati diri. Didikan Islam bermula dengan pemantapan akidah. Seterusnya Islam memperkenalkan mekanisme perundangan. Islam menyediakan undang-undang yang mewajibkan hukuman berat. Selain itu Islam Islam mencadangkan hukuman kepada sepuluh golongan berkaitan arak; orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminum, orang yang membawa, orang yang meminta, orang yang memberi minum, orang yang menjual, orang mendapat hasil, orang yang membeli dan orang yang meminta untuk dibelikan arak untuknya. Perintah dan didikan Islam tentang arak ini lengkap. Setiap susur galur berkaitan penggunaan arak dihukum menurut sistem perundangan Islam.
Dadah juga sudah tentu haram kedudukannya. Tidak ada berbelah bahagi lagi kedudukan arak dalam perundangan Islam.
Sehingga kini, setiap lapisan masyarakat Malaysia dibelengu gejala dadah. Daripada yang miskin, sehinggalah yang kaya raya; daripada yang berpelajaran tinggi sehinggalah yang tidak langsung mempunyai pendidikan; juvenil juga dewasa; lelaki, perempuan; semua kaum, Melayu, Cina, India serta pribumi dan etnik-etnik; penjawat awam dan kakitangan swasta, golongan professioal atau juga buruh. Pendek kata, dadah telah berjaya membaham semua lapisan rakyat Malaysia.
Menurut sumber http://www.adk.gov.my/html/laporandadah, pada tahun 2014 sahaja mereka yang dikesan berkaitan ketagihan dadah ialah 21,777 orang (termasuk penagih baharu dan berulang).
Perang kita kepada dadah nampaknya masih tidak berjaya. Saya tidak bermaksud mengkritik agensi-agensi berkaitan yang bertanggungjawab mengenai hal dadah ini. Tetapi bercakap sebagai orang awam, kita tidak nampak keberkesanan pendekatan, sama ada pendekatan pencegahan atau penguatkuasaan. Oleh itu undang-undang belum lagi menampakkan kejayaan dan sistem sosial nampaknya tidak berkesan.
Kita perlu sedar bahawa undang-undang semata-mata tidak akan berjaya menyelesaikan masalah dadah ini. Kita telah memaktubkan hukuman mati mandatori tetapi hukuman tersebut nampaknya sehingga kini tidak mampu menyelamatkan Malaysia daripada dadah.
Kita perlukan mekanisme di luar undang-undang. Kita perlukan jatidiri dan patriotisme tinggi. Untuk memerangi dadah kita mesti jamin bahawa tiada kebocoran dalam sistem sosial, tiada kebocoran dalam penguatkuasaan. Agak mudah saya menulis tentang mekanisme itu di sini, tetapi hakikatnya ia tidak mudah dilaksanakan dalam alam realiti. Namun, yang pasti, kita perlukan perang yang lebih besar ke atas gejala dadah.