Generasi muda, termasuk para remaja dan pelajar universiti, adalah generasi yang dinamik, inovatif dan kreatif, penuh dengan keunggulan idealismenya, semangat pengabdiannya dan sangat menginginkan diwujudkan segera gagasan-gagasan baru dalam hidupnya. Meskipun dalam banyak hal mereka agak bebas dan merdeka, tetapi di sebaliknya mereka sebenarnya belum dapat berdiri sendiri, apa lagi berfikir seperti orang dewasa yang telah matang terutamanya tentang sesuatu yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan.
Maka dalam keadaan inilah generasi muda lebih banyak bergantung kepada orang lain, seperti ibu bapa, para guru dan para pemimpin dan golongan lain yang dirasakannya dapat memberikan bahan pemikiran dan ilmu pengetahuan sebagai wadahnya untuk hidup dan melakukan aktivitinya dalam masyarakat.
Sejak kebangkitan nilai-nilai Islam pada tahun-tahun tujuh puluhan sehingga kini, maka generasi mudalah yang nampaknya amat bersemangat dalam menggerakkan kebangkitan dan penghayatan Islam dalam berbagai-bagai aspek kehidupan moden dan mencabar ini. Mereka menjadi pendukung dan pejuang Islam yang amat gigih, dan sememangnya dalam banyak hal mereka telah berjaya mengubah pemikiran dan visi Islam itu menjadi lebih dinamik dan relevan dengan peredaran masa.
Bagaimanapun kerana kecetekan ilmu agama dan keghairahan menghayati dan merealisasikan Islam itu secara yang amat pantas, maka terdapat golongan muda Islam yang kehilangan panduan dalam beberapa pelaksanaan ajaran agama yang suci itu. Kepantasan mereka bergerak, atau kerana sebab-sebab lain, menjadikan mereka dalam beberapa keadaan agak gopoh dan tenggelam dalam salah fahaman yang agak serius dalam usaha mereka untuk menghayati ajaran agama.
Keterlibatan generasi muda dengan gerakan keganasan yang berlaku di dalam negara-negara Islam atas nama jihad Islam umpamanya merupakan satu manifestasi salah fahaman ini. Jihad seperti yang mereka fahami ialah berjuang mengangkat senjata dan melakukan keganasan yang mungkin juga termasuk pembunuhan dan pertumpahan darah sama ada sesama sendiri yang dianggap musuh Islam, atau terhadap orang bukan Islam.
Konsep jihad itu diambil secara literal seperti yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. ketika baginda berperang dengan pihak musuh yang berazam untuk menghapuskan baginda dan agama yang dibawanya. Baginda telah diizinkan berperang kerana baginda telah dizalimi, dan baginda terpaksa bertindak demikian untuk mempertahankan diri dan agama Allah s.w.t.
Itulah sebenarnya prinsip dan konsep jihad yang didukung oleh Islam dalam usaha menegakkan agama dan menentukan bahawa usaha dakwah Islamiah itu tidak menerima halangan daripada musuh-musuhnya secara kekerasan. Selain itu Islam telah tersebar luas di seluruh pelosok dunia secara aman dan melalui para pendakwahnya yang berdagang dan menyampaikan ilmu pengetahuan yang berguna kepada orang asing yang dalam hidup mereka tidak pernah mengenali Islam sebagai agama yang sebenarnya.
Orang asing itu dengan secara sukarela menerima Islam sebagai agama mereka tanpa sebarang paksaan dan kekerasan.
Bagaimanapun faktor ini nampaknya telah disalah ertikan oleh kalangan orang Islam yang tersalah faham tentang konteks, keadaan masa dan tempat serta suasana yang mengharuskan berjihad untuk mengembangkan agama itu, sehingga dasar kekerasan itu telah disalahgunakan daripada ajaran Islam sendiri.
Keadaan inilah yang menjadikan umat Islam berperang dan bertumpah darah sesama sendiri kerana beberapa sebab yang tidak mengharuskan sebarang pertumpahan darah itu. Umat Islam dalam serba kejahilan ini akan berperang kerana perbezaan mazhab, ingin menjatuhkan sesama Islam dalam pemerintahan negara, menyangkakan orang Islam lain murtad dan terkeluar daripada Islam dan berbagai-bagai alasan lain yang tidak sama sekali diizinkan oleh agama untuk melakukan pembunuhan dan keganasan itu.
Tetapi bagi golongan yang terlalu bersemangat tanpa ilmu pengetahuan itu, maka usaha inilah yang dipandang sebagai jihad dan kewajipan yang mesti dilakukan oleh orang Islam dalam melaksanakan tugas sucinya kepada agama dan Allah s.w.t.
Namun begitu, bagi generasi muda dan kalangan orang muda yang mengambil tindakan demikian, maka mereka melakukannya adalah atas dorongan darah muda dan dalam proses menegakkan idealisme mereka sebagai pejuang Islam. Mereka sememangnya merupakan ejen dakwah yang terlalu ghairah dalam perjuangan tanpa sebarang hikmah yang sepatutnya mereka peroleh daripada kalangan masyarakat Islam yang lebih berilmu dan bijaksana.
Maka di sini timbullah pertanyaan siapakah sebenarnya yang membentuk pemikiran para pejuang Islam yang berdarah muda dan bersemangat waja itu? Siapakah yang mendidik mereka dan menguasai pemikiran mereka dengan berbagai-bagai orientasi yang memandu mereka ke arah melakukan kekerasan atas nama jihad? Adakah guru dan pensyarah mereka yang bertanggungjawab? Adakah para pendakwah dan guru agama mereka yang mengajar mereka tentang hal ini? Tidak mungkin hal ini akan diterimanya daripada para guru agama dan sarjana Islam yang sebenarnya memahami agama dan mengajarnya pula dengan penuh ikhlas dan amanah. Malah tidak mungkin juga pelajaran begini akan mereka peroleh dari pusat pengajian rasmi yang mereka pernah memasukinya, kerana pelajaran di pusat pengajian rasmi sentiasa mengikut sistem dan kurikulum yang diakui dan tersusun rapi.
Oleh itu di samping menyalahkan para pejuang yang melakukan jihad ini, maka kita seharusnya juga mencari jawapan siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab mencorakkan pemikiran dan sikap militan di kalangan mereka? Maklumat ini amatlah penting bagi kita untuk menjaga supaya generasi muda kita yang akan datang tidak mudah dipengaruhi oleh pemikiran yang radikal dan menyeleweng itu.