Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dipraktikkan oleh kerajaan kita dengan menentukan kuota kemasukan pelajar bumiputera ke pusat-pusat pengajian tinggi adalah satu jihad untuk mengatasi kejahilan pelajar bumiputera yang sebelum terlaksana dasar ini, amat jauh ketinggalan di belakang pelajar bukan bumiputera.
Islam memerintahkan umatnya – lelaki dan perempuan menuntut ilmu. Orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang tidak berilmu. Orang yang berilmu dan beriman diangkat martabatnya beberapa darjat. Semua panduan dan pengajaran yang diperoleh daripada agama ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam mestilah menjadi umat yang berilmu, berpendidikan tinggi dan mampu menjadi umat yang terbaik di dunia dan di akhirat.
Maka menuntut ilmu sehingga ke peringkat yang paling tinggi, menguasai segala bidang ilmu dunia dan akhirat adalah tuntutan agama yang seharusnya dipikul oleh setiap individu Muslim sekiranya dia benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya. Seorang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul tidak sepatutnya menjadi seorang yang jahil dan tidak berilmu, malah Rasulullah s.a.w. ada bersabda bahawa sesiapa yang mahukan dunia dan akhirat maka hendaklah ia berilmu.
Oleh itulah saya tegaskan bahawa setiap individu Muslim haruslah berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk dirinya, keluarganya, kaum kerabatnya dan bangsanya serta umat Islam secara menyeluruh. Maka Dasar Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan dalam bidang pendidikan ini bertujuan untuk membuka peluang kepada pelajar bumiputera yang majoritinya pelajar Islam untuk menuntut ilmu ke peringkat tinggi dan dapat bersaing dengan kaum lain supaya menjadi para ilmuwan yang berketerampilan.
Sebelum dilaksanakan DEB ini, mengikut perangkaan yang diperoleh dari sebuah universiti sahaja, iaitu di antara tahun 1959 sehingga 1968 peratusan pelajar Melayu hanyalah 23 peratus berbanding dengan pelajar bukan Melayu yang mencapai 77 peratus semuanya. Peratusan ini menunjukkan bahawa tanpa pertolongan dan peluang yang dibuka kepada pelajar Melayu, maka mereka akan selama-lamanya ketinggalan di belakang dari segi peluang untuk memasuki institusi pengajian tinggi, sedangkan peratusan pelajar bukan Melayu akan terus menerus meningkat dengan ketaranya.
Hal ini menjadi sebaliknya selepas perlaksanaan DEB iaitu terbukti dengan perangkaan dan peratusan pelajar bumiputera yang meningkat agak tinggi pada tahun 1998 iaitu dengan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjumlah 110,611 orang atau 72 peratus berbanding 43,379 orang pelajar bukan bumiputera atau 28 peratus.
Sekurang-kurangnya dari segi jumlah dan kuantiti pelajar yang memasuki universiti telah ternyata peningkatannya yang ketara dengan peluang dan pertolongan yang diberikan itu. Peningkatan ini terus menerus dilakukan dan semuanya menerima dengan senang hati sebagai satu permuafakatan dan persefahaman yang seharusnya diterima oleh semua sebagai satu perjanjian sosial yang menjadi dasar negara dan harus dihormati.
Memberi ilmu pengetahuan dengan membuka peluang yang luas untuk kemasukan ke IPT dan memberi bantuan biasiswa dan pinjaman daripada berbagai-bagai agensi adalah satu usaha bagi mengeluarkan para ilmuwan dan sarjana. Pengeluaran para ilmuwan dan profesional di negara kita secara seimbang adalah menjadi satu kriteria untuk mewujudkan pembangunan bangsa yang stabil, kuat dan mantap, dan sekali gus menjamin kestabilan sosial dan ketenteraman awam di negara yang berbilang kaum ini.
Apabila hal ini termasuk dalam tuntutan agama, maka aktiviti dan dasar yang dilakukan untuk mempertingkatkannya adalah satu usaha jihad juga untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan jihad bagi menghapuskan kejahilan, sama seperti jihad meningkatkan ekonomi umat dan memerangi serta menghapuskan kemiskinan umat ini.
Jihad dalam bentuk dan konsep inilah yang sepatutnya difahami oleh umat Islam pada hari ini, kerana kesalahfahaman dalam konsep ini sering membawa orang berfikir dan mempunyai persepsi bahawa jihad adalah usaha mengangkat senjata dan berperang. Orang Islam haruslah memahami konsep jihad, dan mengkaji sejarahnya ketika Rasulullah s.a.w. berjihad dengan menggunakan senjata dan kekerasan, dan harus juga mengkaji dari al-Quran dan sunnah, kenapakah peperangan diharuskan kepada orang Islam dan baginda sendiri.
Jihad dengan peperangan oleh baginda itu telah diizinkan oleh Allah s.w.t. ialah kerana orang Islam telah dizalimi, dan mereka dimusuhi oleh orang kafir kerana mereka mengesakan Allah. Malahan mereka dizalimi dengan cara harta benda dan tanah tumpah darah mereka dirampas. Ketika itu baginda diizinkan Allah s.w.t. untuk berperang demi mempertahankan diri dan maruah baginda dan para sahabatnya di samping menjaga keutuhan agama Islam itu sendiri.
Oleh itu berjihad tidak bolehlah digunakan secara sewenang-wenangnya, terutamanya apa yang sering didakwakan oleh sesetengah golongan yang berperang sesama Islam kononnya mereka berjihad. Kedua-dua puak orang Islam itu akan mendakwa masing-masing berjihad untuk menyerang dan mengalahkan teman seagama sehingga berlaku pertumpahan darah umpamanya, tanpa sebarang kebenaran daripada ajaran agama.
Saya suka mencadangkan kepada anak-anak muda kita pada hari ini supaya melupakan pengertian dan tindakan militan dan kekerasan sebagai jihad. Pelajarilah sebenar-benarnya konsep dan pengertian jihad dalam agama kita. Kalau mahu berjihad, berjihadlah menentang hawa nafsu, berjihad menentang dan menghapuskan kemiskinan, dan yang paling utamanya ialah berjihadlah untuk menghapuskan kejahilan dengan cara menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk menghadapi musuh agama dan musuh umat kita. Itulah jihad yang paling besar sekali.