Belanjawan 2007 mengenengahkan tiga peruntukan khusus untuk wanita iaitu: (i) peningkatan jumlah bantuan khas yang diberi kepada NGO untuk melaksanakan program wanita; (ii) peningkatan jumlah geran pelancaran bagi penubuhan pusat jagaan kanak-kanak di kementerian dan jabatan kerajaan; dan (iii) subsidi RM50 untuk wanita menjalani ujian saringan mammogram.
Tiga peruntukan ini mungkin kecil dari segi bilangannya. Namun, ia bakal membawa manfaat jangka panjang yang besar jika pihak-pihak yang berkenaan merebut semua peluang ini dengan baik. Ini kerana peruntukan-peruntukan ini memberi perhatian kepada unsur pendidikan wanita, penjagaan anak bagi wanita bekerja dan penjagaan kesihatan wanita – yang merupakan unsur-unsur penting dalam membangun dan memajukan wanita. Jika kita mendidik wanita, kita akan mendidik seluruh bangsa. Begitu juga dengan Belanjawan 2007 ini. Dengan memberi tumpuan kepada unsur-unsur penting dalam kehidupan wanita, ia sebenarnya menjamin kelangsungan seluruh bangsa Malaysia itu sendiri.
Berbeza dengan banyak negara lain, badab-badan bukan kerajaan (BBK) wanita di Malaysia bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha-usaha untuk memajukan wanita. Maka tidak hairanlah sejak sekian lama kerajaan memperuntukkan bantuan khas untuk mereka melaksanakan program-program untuk wanita.
Peningkatan jumlah bantuan khas sebanyak RM10 juta ini amat besar ertinya kepada wanita di Malaysia. Sekiranya RM50 ribu diperlukan oleh BBK untuk menganjurkan sesuatu majlis ilmu untuk wanita, ini bermakna pertambahan sebanyak 200 majlis ilmu sepanjang 2007. Bayangkan jumlah wanita yang bakal menyertainya!
Peningkatan geran pelancaran bagi penubuhan pusat asuhan kanak-kanak dari RM50 ribu ke RM80 ribu yang bukan sahaja diberi kepada Kementerian, tetapi juga kepada jabatan kerajaan pastinya akan menarik minat ketua jabatan untuk menubuhkan pusat ini di jabatan masing-masing.
Dengan adanya pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja, ia akan membantu pekerja wanita untuk menyelesaikan masalah penjagaan anak-anak mereka dan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada tugas. Malah, kemudahan ini pastinya akan dimanfaatkan oleh pekerja lelaki juga. Ini bermakna peruntukan ini bukan hanya memberi faedah kepada wanita tetapi juga kepada keluarga secara keseluruhannya.
Subsidi sebanyak RM50 kepada wanita bagi menjalani ujian saringan mamogram menunjukkan keprihatian kerajaan untuk melindungi wanita dari kanser payu dara – kanser yang paling biasa di kalangan wanita.
Jika seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu menghidapi penyakit ini, bukan beliau sahaja yang menanggung sakitnya tetapi seluruh keluarga itu juga akan menerima tempiasnya. Maka, subsidi ini sebenarnya menguntungkan keluarga wanita itu juga.
Untuk memastikan manfat-manfat ini dalam dinikmati oleh wanita secara amnya dan masyarakat secara khususnya, mereka yang berkenaan perlulah bersedia untuk merebut peluang-peluang ini.
NGO wanita boleh mula merancang program-program yang akan dijalankan pada tahun hadapan. Ketua-ketua jabatan pula boleh mengumpulkan pegawai dan kakitangannya untuk memikirkan tentang penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak di jabatannya.
Wanita sendiri perlu merebut peluang untuk menjalani ujian saringan mammogram tersebut sebagai langkah awal menangani penyakit ini. Satu perkara yang menghalang wanita untuk menjalani ujian ini ialah belanjanya yang agak tinggi – lebih RM100 di hospital swasta. Ini diburukkan dengan sifat rela berkorban kebanyakan wanita di mana sekiranya ada duit sekalipun, mereka akan mendahulukan keperluan anak-anak dan suami.
Masalah belanja telahpun diatasi sebahagiannya dengan subsidi RM50 yang diberi oleh kerajaan. Bakinya, bolehlah dikumpul sedikit demi sedikit untuk beberapa bulan. Lupakan buat sementara waktu sifat rela berkorban itu kerana kesihatan diri perlu diutamakan.
Perkara kedua yang menghalang wanita melakukan ujian saringan ini ialah rasa takut akibat dari laporan rakan-rakan yang kononya ujian ini menyakitkan. Sebagaimana rasa takut telah menghalang wanita dari melakukan ujian “pap-smear” dan menggunakan alat pencegah kehamilan “IUCD” kerana dikatakan menyakitkan, begitulah nasib yang diterima oleh ujian mamogram ini. Amat menghairankan bila alasan ini menakutkan wanita-wanita yang pernah melalui kaedah bersalin biasa, yang pastinya beratus kali ganda rasa sakitnya. Namun, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana “rasa sakit” yang dititikberatkan itu telah menguasai pemikiran sebahagian besar wanita dalam masyarakat kita sehingga ia mampu merosakkan matlamat negara untuk melindungi mereka dari penyakit ini.