Apabila disebut kebebasan kewangan, ramai yang berpendapat bahawa orang yang mempunyai kebebasan kewangan ialah seseorang mempunyai wang yang banyak dan tidak terbatas untuk melakukan apa sahaja. Merdeka dari kongkongan keterbatasan kuasa beli. Salah faham ini dalam diam telah membentuk makna dalam hati dan menetapkan kebendaan sebagai matlamat. Adakah wang boleh melakukan apa saja? Secara hakikatnya ramai yang sedar pernyataan ini tidak benar sama sekali. Hakikat yang diabaikan dalam mengejar kebebasan kewangan ialah wang tidak lagi dianggap sebagai alat tetapi matlamat. Manusia cenderung mengejar kehidupan kebendaan dari menyemai baja-baja amal bekal akhirat.
Apakah yang membuatkan sesuatu tindakan itu memberi makna kepada individu? Di sini, masyarakat perlukan kepada takrif baru kepada kebebasan kewangan. Dengan memegang takrif yang salah, masyarakat akan mula terpesong dan jurus hidup kebendaan akan menguasai mereka.
Kebebasan kewangan ialah apabila keputusan atau tindakan seseorang tiada takluk kepada wang. Keputusan dan tindakan yang menjadi tingkahlaku seseorang dalam kehidupannya serta membina perkaitan dengan persekitaran termasuk mereka yang berada di sekelilingnya adalah berkait rapat dengan sikap. Sikap dalam ruanglingkup Islam dipanggil akhlak yang tidak dapat dipisahkan dengan amalan hati. ‘Akhlak’ asal perkataan dari ‘khalaqa’ atau ‘khuluq’ juga melihat perkaitan dengan ‘khaliq’ dan ‘makhluk’. Jadi akhlak itu sebenarnya adalah satu cara yang sebenar bersifat seseorang hamba kepada penciptanya dan seseorang yang memikul amanah khalifah dimuka bumi.
Takluk hati dan nafsu itu terhadap harta terbahagi kepada dua iaitu sama ada seseorang itu dipengaruhi oleh nafsu haiwani atau kekuatan aqalinya memerintah dan membelenggu nafsu supaya tenang dan akur.
Dalam kehidupan sekarang memang wang memainkan peranan penting. Untuk melakukan ibadah, penuhi keperluan keluarga, mengekalkan atau memulihkan kesihatan, mendapatkan ilmu pengetahuan dan pendidikan semuanya perlukan wang. Lantaran terlampau bergantungnya terhadap kewangan, maka masyarakat lebih cenderung meletakkan wang sebagai matlamat dan hilang arah tumpuan kepada maksud sebenar kehidupan.
Hakikat bahagia telah disalahertikan dengan sekatan kebendaan dan menghilangkan jalan pulang sebenar manusia menuju kepada pencipta iaitu Allah. Allah berfirman di dalam Surah At-Taubah ayat 111, mafhumnya bahawa “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin , diri , harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”.
Yang jelas wang atau harta boleh kita cari tetapi terhad kepada alat bukannya sehingga mengaburi matlamat. Kemusnahan masyarakat atau sesuatu tamadun bangsa itu adalah kerana bersandarkan matlamat kepada sesuatu yang bersifat baharu dan tidak tetap. Wang tidak pernah pula cukup bagi setiap orang selama mana dirinya manusia itu dikuasai oleh nafsu amarah dan syahwah sehinggalah mereka dapat mententeramkan jiwanya.
Harta yang kononnya kita rasakan dimiliki hanyalah amanah dari Allah untuk menguruskannya. Mengurus maksudnya mengagihkan kepada yang berhak dengan adil dan penuh pengetahuan. Jelas dan nyata bahawa wang atau harta sebagai alat yang dengannya dapat melaksanakan amanah menuju keredhaan Allah menurut fitrah Islami. Zahir amanah ini lahir dua petunjuk (indeks) manusia itu sendiri iaitu sebaik-baik manusia ialah orang yang bertakwa dan sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manafaat kepada orang lain. Titik keseimbangan seorang muslim ialah pertemuan di antara kedua-dua paksi ini.
Hadith ada menyebutkan bahawa daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasullullah bersabda: seorang hamba berkata “hartaku, hartaku” sesungguhnya harta baginya ialah tidak lebih dari 3 iaitu: apa yang dimakan maka habis, apa yang dipakai maka binasa, atau apa yang diberikan maka lenyap (dipindahmilikan). Apa yang tertinggal semuanya akan luput dan ditinggalkannya kepada manusia lainnya”. Kesudahannya kita akan menghadap Allah dengan bekalan amal kita. Semua wang ringgit yang kita kumpul akan ditinggalkan kepada yang masih hidup. Sekiranya kefahaman tentang kebebasan kewangan tidak dipimpin, akan berlaku rombakan kepada keseluruhan aturan masyarakat yang menjurus kepada kepentingan kebendaan semata-mata.
Walaupun ada sesetengah berpendapat ‘imej korporat’ boleh ditingkatkan melalui khidmat kemasyarakatan. Perkara penting yang harus diutamakan ialah sekiranya khidmat kemasyarakatan yang diberikan hanya untuk meningkatkan gambaran nilai peniagaan pada mata masyarakat semata-mata mengabaikannya di sisi Pencipta serta tidak berlandaskan kepada keikhlasan kepada Yang Satu, faktor penyerahan keislaman itu tidak wujud. Kenikmatan akan terhenti setakat kesenangan di dunia, di akhirat mereka tergolong dalam golongan yang rugi. Siapa paling untung perniagaan daripada orang yang mendapat faedah dalam kedua-dua akaun dunia dan akhirat? Masyarakat perlu merungkai diri dari takrifan yang kelak memusnahkan diri sendiri. Ajaran Islam sebenarnya telah memerdekakan manusia dari belenggu kebendaan kepada bersandarkan kepada kebenaran hakiki.