Dalam sebuah buku, seorang kaunselor tempatan berkongsikan kes-kes LGBT yang dirawatnya. Untuk tujuan makalah ini, saya ringkaskan kes-kes itu seperti berikut:
Kes 1:
F menjadi mangsa liwat abang iparnya pada usia 11 tahun. Sejak itu, dia sering menjadi tempat abang iparnya memuaskan nafsu. Bila F masuk asrama pada usia 13 tahun, dia menjadi ketagih kepada aktiviti songsang itu, lalu meliwat rakan di asrama. Rakan itu pula tidak membantah lalu mereka menjadi pasangan kekasih sehingga tamat zaman persekolahan.
Kes 2:
A masuk asrama pada usia 13 tahun dan telah diliwat oleh abang “senior”. Oleh kerana pernah diliwat oleh anak penjaganya ketika kecil, A menjadi ketagih pada perbuatan itu dan terus menjadi pasangan abang “senior” yang meliwatnya. Mereka melakukannya di “dorm” atau tandas asrama. Perkara ini berlanjutan selama 5 tahun.
Kes 3:
Aktiviti seks songsang Ani bermula pada usia 14 tahun di asrama. Pasangannya adalah rakan sebaya. Di asrama, malam-malam mereka tidur sekatil. Rakan-rakan asrama tahu mengenainya tetapi mereka hanya diam. Selesai alam persekolahan, aktiviti ini diteruskan. Ketika di universiti, pada hujung minggu, dia bermalam di rumah pasangannya. Ibu bapa pasangan tidak syak apa-apa.
Kes 4:
Nafsu songsang Liz bermula ketika di Tingkatan 2, di asrama penuh. Liz ada pasangan sendiri di mana dia adalah “lelaki” manakala pasangannya adalah “wanita”.
Lazimnya, apabila anak-anak mendapat tawaran untuk masuk ke asrama, ibu bapa akan sibuk membuat persiapan, terutamanya menyediakan barang-barang keperluan yang ingin dibawa, selain persiapan mental dan fizikal. Berapa ramai ibu bapa akan mempersiap anak-anak dengan kemungkinan berhadapan dengan isu homoseksualiti ini? Ramai ibu bapa yang tidak terfikir perkara buruk akan berlaku di asrama, khasnya asrama penuh, tempat berkumpulnya budak-budak bijak pandai. Mungkin juga ibu bapa merasakan bahawa perkara-perkara buruk itu tidak akan berlaku kepada anak-anak mereka.
Walaupun sebagai ibu bapa kita sentiasa berdoa agar Allah SWT memelihara anak-anak kita, (malah anak-anak orang lain juga) dari segala mara-bahaya dan perkara-perkara yang buruk, namun, tiada salahnya jika kita memperkasakan mereka dengan pendidikan seks agar mereka dapat memelihara tubuh badan mereka sendiri dan tidak mencerobohi tubuh badan orang lain.
Maka, memang tepat keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk mengadakan siri ceramah mengenai bahayanya kegiatan LGBT di sekolah-sekolah di negeri tersebut. Usaha ini sedikit-sebanyak bakal memberi kesedaran kepada para remaja untuk menjauhi aktiviti songsang ini.
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak Dalam Islam (Jilid 1 dan 2), menggariskan bahawa antara tanggungjawab ibu bapa ialah memberi pendidikan kepada anak-anak mengenai tujuh aspek berikut: (i) pendidikan keimanan; (ii) pendidikan moral; (iii) pendidikan jasmani; (iv) pendidikan mental; (v) pendidikan rohani; (vi) pendidikan sosial; dan, (vii) pendidikan seksual.
Ternyata, pendidikan seks adalah salah satu perkara yang perlu disampaikan kepada anak-anak oleh ibu bapa. Dalam Islam, pendidikan seks bermaksud mengajar dan memperkenal anak-anak, secara berterus-terang, dari usia mula ia berakal, mengenai perkara-perkara yang berkaitrapat dengan seks dan seksualiti. Menurut Abdullah Nasih Ulwan, terangkum dalam pendidikan seks ini ialah: (i) adab meminta izin untuk memasuki bilik tidur ibu bapa; (ii) adab melihat atau memelihara penglihatan; (iii) mencegah anak dari pengaruh seks; (iv) mendidik anak hukum-hukum mengenai orang yang baligh; (v) mengajar mereka mengenai perkahwinan dan perhubungan jantina menurut Islam; (vi) alternatif yang Islam berikan jika tiada wang untuk berkahwin; dan, (vii) keperluan berterus-terang dengan anak tentang seks.
Dalam konteks anak-anak yang akan ke asrama, antara yang perlu mereka ketahui atau diingatkan ialah mengenai aurat sesama jantina supaya mereka menjaga aurat masing-masing dan memelihara pandangan, di dorm atau di tandas asrama; agar tidak memperlihatkan auratnya atau melihat aurat orang lain – secara sengaja, tidak sengaja, mahupun untuk tujuan gurauan – yang mungkin boleh merangsang nafsu seks remaja. Maklumat mengenai aurat ini juga akan memberi panduan mengenai jenis pakaian yang boleh dan tidak boleh dipakai, walaupun hanya sekadar bersantai di dalam dorm. Ini adalah sebahagian dari adab melihat atau memelihara penglihatan seperti yang ditegaskan dalam Islam.
Begitu juga, anak-anak itu perlu dipesan agar mengelakkan diri dari berkongsi katil dan selimut dengan rakan-rakan lain bagi mencegah mereka dari pengaruh seks. Mereka juga perlu diingatkan mengenai perhubungan jantina menurut Islam yang mengehadkannya untuk lelaki dan perempuan yang sah nikah manakala/sementara bentuk-bentuk lain adalah dilarang.
Semua ini perlu dijelaskan kepada anak-anak semuda 13 tahun itu agar mereka tahu apa yang betul dan salah dan mampu menyatakan bantahan dan melaporkan kejadian tersebut apabila dicerobohi, baik oleh abang “senior”, rakan sebaya, mahupun guru atau Ustaz yang mahu mengambil kesempatan.
Apabila anak-anak masuk asrama, ibu bapa dengan besar hati dan penuh harap, melepaskan anak-anak berusia seawal 13 tahun untuk menyambung pelajaran jauh dari rumah, demi masa depan yang lebih baik. Persiapan mental dan fizikal serta keperluan material, akan disediakan dengan sebaiknya untuk memudahkan anak-anak menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka di asrama. Bagaimana dengan ilmu mengenai pendidikan seks menurut Islam? Mereka akan melalui zaman remaja yang penuh pancaroba itu jauh dari pemerhatian ibu dan ayah. Sudahkah diri mereka disediakan untuk itu?