Manusia dianugerahkan Allah s.w.t. dengan akal. Akal yang sehat dan umur yang sempurna menjadi asas kepada semua tanggungjawab yang dituntut ke atas mereka. Allah s.w.t juga telah melebihkan kedudukan mereka ke atas makhluk-makhlukNya yang lain (surah al-Isra’, 17:70). Justeru, bagi menjaga kehormatan yang diberi, mereka dituntut (di antaranya) supaya berpakaian dengan lengkap. Sejauhmana mereka melengkapkan diri dengan pakaian, sejauh itu pula mereka berbeza daripada makhluk-makhlukNya yang lain.
Di dalam Islam, tuntutan berpakaian untuk tujuan menutup aurat adalah satu kemestian sama ada bagi lelaki atau perempuan. Kewajipan ini datangnya dari firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Nur, ayat 30 dan 31 yang mengarahkan supaya kaum lelaki dan perempuan yang beriman agar menyekat pandangan mereka daripada melihat kepada yang haram dan memelihara kehormatan mereka. Bagi kaum wanita, Allah s.w.t. secara jelas melarang mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali yang zahir sahaja (iaitu muka dan kedua tapak tangan). Mereka dituntut supaya menutup belahan leher baju mereka dengan kain tudung yang mereka pakai. Kemudian Allah menjelaskan lagi dengan terperinci tentang orang-orang tertentu yang diharuskan mereka memperlihatkan perhiasan diri mereka, seperti suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak mereka, anak-anak tiri mereka, saudara-saudara mereka, anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, perempuan-perempuan Islam, hamba-hamba mereka, orang gaji yang terdiri daripada orang-orang lelaki tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.
Berdasarkan maksud ayat tersebut dan penjelasan daripada Sunnah Rasulullah s.a.w., para ulama� menghuraikan batas-batas aurat kaum lelaki dan wanita apabila mereka bergaul dalam kehidupan seharian. Bagi kaum wanita Islam, berdasarkan kepada pendapat yang masyhur, mereka diharuskan mendedahkan muka dan kedua tapak tangan mereka apabila berhadapan dengan lelaki ajnabi (asing) dan wanita bukan Islam. Bentuk pakaian pula tidaklah terikat dengan fesyen tertentu, asalkan tidak ketat yang boleh menampakkan susuk badan dan kainnya tidak nipis ataupun jarang (al-Sabuni, Rawai` al-Bayan, edisi II, 1977, 2:152; Muhammad `Ali al-Sais, Tafsir Ayat al-Ahkam, Cairo, 1953, 3:164; Prof. Madya Dr. Mat Saad, Fiqh Semasa, 1988, h. 1, dan kibab-kitab fiqh mazhab yang muktabar).
Dr. `Abdl al-Halim Mahmud di dalam bukunya: Fatawa `Abd al-Halim Mahmud (2:299) menjelaskan bahawa berhijab atau menutup aurat di dalam Islam bukanlah bermakna wanita Islam tidak dibolehkan berkerja, malahan Islam mengharuskan wanita Islam bekerja. Lebih dari itu Islam mengharuskan wanita Islam menguruskan harta bendanya di dalam perniagaan dan pelbagai urusan kewangan lainnya. Hikmat sebenar disebalik arahan menutup aurat ialah untuk menjauhkan suasana fitnah dan keburukan sama ada datangnya daripada kaum lelaki atau wanita. Di antara pengertian menutup aurat (berhijab) di dalam Islam, menurutnya lagi, ialah tidak melakukan perbuatan mendedahkan aurat (tabarruj), tidak mennunjukkan perhiasan diri kecuali kepada suami dan kepada orang-orang mahram sahaja.
Selain daripada itu, apa yang didakwa oleh sesetengah pihak bahawa ayat hijab (surah al-Nur, 24:31) itu adalah khusus untuk para isteri Nabi sahaja adalah tidak tepat, malahan ia adalah arahan am yang meliputi semua kaum muslimin dan muslimat. Hujah ini dikukuhkan oleh firmanNya di dalam surah al-Ahzab (33:59) yang mengarahkan Nabi s.a.w. supaya menyuruh para isterinya, anak-anak perempuannya serta semua perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka agar menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar) kerana dengan cara itu mereka mudah dikenal (sebagai perempuan-perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak akan diganggu lagi. Justeru, sangkaan atau dakwaan sebahagian orang yang mengatakan bahawa ayat hijab (surah al-Nur, 24:30-31) adalah khusus kepada para isteri Nabi s.a.w. sahaja adalah tidak tepat. Malahan penggunaanya adalah menyeluruh meliputi semua kaum muslimin walau di manapun mereka berada.