Dalam era demokrasi moden, institusi beraja sering dianggap sebagai warisan tradisional yang tidak lagi relevan dengan prinsip pemerintahan berasaskan mandat rakyat. Namun dalam ruang lingkup Malaysia, tanggapan tersebut tidak sepenuhnya tepat. Institusi Raja bukan sekadar sauh sejarah dan tradisi atau adat istiadat semata tetapi merupakan sebahagian daripada kerangka Perlembagaan negara yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kesinambungan identiti nasional. Dalam sebuah negara yang heterogen dan majmuk seperti Malaysia, kewujudan institusi Raja menjadi salah satu unsur penting yang membantu memperkukuh perpaduan nasional dan kestabilan negara.
Umum mengetahui bahawa sistem beraja di Tanah Melayu telah wujud sebelum kedatangan penjajah Barat. Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 menjadi asas kepada perkembangan sistem pemerintahan Melayu, penyebaran agama Islam dan pembentukan identiti politik masyarakat tempatan. Walaupun kuasa penjajah British memperkenalkan sistem pentadbiran moden, institusi Raja tetap dikekalkan sebagai lambang kedaulatan negeri-negeri Melayu. Malah, proses pembentukan negara moden Malaysia turut melibatkan peranan penting Raja-Raja Melayu, khususnya dalam penentangan terhadap Malayan Union pada tahun 1946 dan rundingan menuju kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Penggunaan istilah “kerajaan” di Malaysia dan bukannya menggunakan istilah “pemerintah” mempunyai makna yang lebih mendalam dari sudut sejarah, bahasa dan kenegaraan. Perkataan kerajaan berasal daripada kata dasar “raja” lalu membawa maksud bahawa sistem pemerintahan di Alam Melayu secara tradisinya berpusat kepada institusi raja. Hal ini berbeza dengan istilah “pemerintah” yang lebih umum kerana hanya merujuk kepada pihak yang memerintah tanpa semestinya mengandungi unsur kedaulatan, warisan atau legitimasi beraja.
Dalam wahana Malaysia, penggunaan istilah kerajaan memperlihatkan kesinambungan sejarah bahawa Raja bukan sekadar simbol adat tetapi merupakan salah satu tonggak penting dalam pembentukan negara khususnya dalam kerangka Raja Berperlembagaan. Institusi Raja juga mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan Islam, adat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu sebagaimana yang termaktub dalam struktur Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, istilah kerajaan mencerminkan bahawa pemerintahan di Malaysia tidak terpisah daripada akar sejarah Melayu-Islam dan institusi beraja.
Jika ditinjau dari sudut bahasa Arab pula, istilah yang hampir ialah mamlakah yang membawa maksud kerajaan atau kingdom iaitu sebuah wilayah atau negara yang mempunyai raja. Kata ini berkait dengan akar kata malaka yang membawa makna memiliki, menguasai atau memerintah. Daripada akar yang sama lahir perkataan malik yang bermaksud raja. Maka, dari sudut istilah Arab konsep kerajaan juga tidak hanya merujuk kepada pentadbiran biasa, tetapi membawa unsur kekuasaan, kedaulatan dan pemerintahan yang berpusat kepada raja. Dari perkataan ini juga dapat kita lihat bahawa asal usul Melaka adalah dari akar kata Malaka dan ini lebih dekat dengan konteks pemerintahan Melaka pada zaman itu.
Dalam bahasa Inggeris pula, perkataan kingdom berasal daripada king dan akhiran –dom yang membawa maksud wilayah, lingkungan kuasa atau keadaan pemerintahan seorang raja. Ini berbeza daripada istilah government yang lebih merujuk kepada badan pentadbiran atau pihak yang menjalankan urusan pemerintahan harian. Dengan kata lain, government boleh berubah melalui pilihan raya atau perubahan politik tetapi kingdom membawa makna yang lebih berakar kepada institusi, kedaulatan dan kesinambungan sejarah.
Maka, apabila Malaysia menggunakan istilah kerajaan, istilah itu bukan sekadar terjemahan kepada government tetapi turut memuatkan makna sejarah dan budaya politik Melayu. Ia menunjukkan bahawa negara ini terbina atas asas pemerintahan beraja yang kemudiannya disesuaikan dengan sistem demokrasi berparlimen. Dalam kerangka inilah Raja menjadi payung kedaulatan negara, manakala kerajaan yang mentadbir negara memperoleh legitimasi dalam susunan Perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan institusi Raja.
Hal ini dapat dilihat melalui konsep titah Sultan, iaitu lafaz atau arahan Raja yang mempunyai kedudukan tinggi dalam adat pemerintahan Melayu. Titah Sultan bukan sekadar ucapan biasa tetapi mencerminkan kedudukan Raja sebagai lambang kedaulatan, penaung agama Islam, adat Melayu dan negeri.
Kedudukan ini bukan sahaja bersifat adat dan sejarah, bahkan turut mempunyai asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32 memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, manakala Perkara 38 memperuntukkan kedudukan Majlis Raja-Raja dalam struktur negara. Selain itu, Perkara 3 memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, dengan kedudukan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, manakala Perkara 153 menyentuh tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong berhubung kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Oleh itu, institusi Raja dalam konteks Malaysia bukan hanya lambang sejarah, tetapi sebahagian daripada susunan perlembagaan negara. Maka, penggunaan istilah kerajaan di Malaysia membawa makna yang lebih luas daripada sekadar pemerintah atau government. Ia mengandungi unsur Raja, kedaulatan, agama, adat, legitimasi dan kesinambungan sejarah Melayu-Islam dalam kerangka Raja Berperlembagaan.
Oleh sebab itu, institusi Raja tidak boleh dilihat secara terpisah daripada sejarah pembentukan negara. Institusi Raja merupakan sebahagian daripada evolusi politik dan perlembagaan Malaysia yang membentuk sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan sehingga hari ini. Dalam sistem tersebut, Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai Ketua Negara manakala kuasa pentadbiran dijalankan oleh kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Peranan Raja bukan untuk memerintah secara mutlak, tetapi bertindak menurut lunas Perlembagaan serta menjadi institusi semak dan imbang dalam sistem kenegaraan.
Kedudukan institusi Raja menjadi lebih penting dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara menggambarkan bahawa institusi Raja merupakan salah satu asas penting dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Prinsip ini mencerminkan bahawa kesetiaan kepada institusi Raja dilihat sebagai unsur penting dalam membentuk kesatuan nasional dan kestabilan negara selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Institusi Raja bukan sahaja melambangkan kedaulatan negara, malah berfungsi sebagai payung agama dan moral yang menyatukan rakyat pelbagai kaum melangkaui fahaman politik, agama dan latar budaya. Dalam keadaan politik yang sering dipengaruhi persaingan kepartian dan sentimen perkauman, negara memerlukan satu institusi yang berada di atas kepentingan politik sempit. Oleh itu, Raja bertindak sebagai penimbang tara yang neutral dalam memastikan hak dan kepentingan semua kaum terus dilindungi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan ini menjadikan institusi Raja sebagai simbol kesetiaan bersama dan lambang perpaduan nasional yang mampu mengikat masyarakat majmuk dalam satu kerangka kenegaraan yang stabil. Hal ini turut diperkukuh melalui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain. Ini membuktikan bahawa institusi Raja berfungsi menjaga keseimbangan hak semua masyarakat dalam negara majmuk.
Peranan institusi Raja juga dapat dilihat dengan lebih jelas ketika negara berdepan kemelut politik. Dalam keadaan politik yang stabil, fungsi Raja mungkin kelihatan lebih bersifat istiadat. Namun apabila berlaku ketidaktentuan politik atau perebutan kuasa, institusi Raja menjadi salah satu mekanisme penting untuk memastikan kelangsungan sistem demokrasi menurut Perlembagaan.
Situasi ini dapat dilihat ketika krisis politik yang berlaku sejak tahun 2020. Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan akibat perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen telah mewujudkan ketidakpastian politik dan persoalan mengenai pembentukan kerajaan baharu. Dalam keadaan tersebut, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan penting dengan menemubual ahli-ahli Dewan Rakyat bagi menentukan individu yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Peranan serupa turut berlaku semasa pertukaran kerajaan pada tahun 2021 dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022 yang menghasilkan Parlimen tergantung tanpa majoriti jelas. Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri. Dalam situasi Parlimen tergantung, peruntukan ini menjadi asas penting kepada peranan Raja sebagai penimbang tara Perlembagaan dan penstabil sistem demokrasi berparlimen.
Oleh itu, keadaan tersebut menunjukkan bahawa institusi Raja bukan sekadar simbol istiadat tetapi turut berfungsi sebagai penimbang tara Perlembagaan ketika berlaku kebuntuan politik. Kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri dan menentukan proses pembentukan kerajaan membantu memastikan kestabilan negara dapat dipelihara tanpa menjejaskan prinsip demokrasi berparlimen. Dalam hal ini, institusi Raja menjadi unsur kestabilan yang mengimbangi persaingan politik dan mengelakkan krisis berpanjangan.
Selain itu, Raja-Raja Melayu juga mempunyai kedudukan penting sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri tertentu. Kedudukan ini memberi kestabilan kepada pentadbiran agama Islam kerana urusan agama tidak sepenuhnya tertakluk kepada perubahan politik semasa. Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan turut menjamin kebebasan agama bagi masyarakat bukan Islam, sekali gus membantu memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Intihanya, institusi Raja mempunyai peranan yang besar dalam memperkukuh perpaduan nasional dan kestabilan negara. Dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi ini bukan saingan kepada demokrasi sebaliknya bertindak sebagai pelengkap yang membantu memastikan keseimbangan politik, kesinambungan Perlembagaan dan keharmonian masyarakat terus terpelihara. Pengalaman kemelut politik negara juga membuktikan bahawa institusi Raja masih memainkan fungsi penting sebagai penstabil dan penimbang tara ketika sistem politik berdepan cabaran. Oleh itu, institusi Raja kekal relevan sebagai salah satu tonggak utama dalam pembangunan dan kestabilan Malaysia, malah mejadi wadah semak dan imbang negara.

