Apabila kita membicarakan perihal institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, sanubari kita sebenarnya sedang dibawa mengembara ke dalam salah satu lorong asas terpenting yang membina struktur megah sebuah negara bernama Malaysia. Tanah air ini bertuah kerana didirikan di atas hamparan seni bina pemerintahan yang cukup unik iaitu gabungan harmoni antara konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Prinsip yang luhur ini tidak dibiar sepi tanpa pembelaan, sebaliknya telah dipatri dengan dakwat emas secara jelas dan nyata di dalam Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan piagam tertinggi negara ini, khususnya menerusi Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Yang di-Pertuan Agong diangkat dengan penuh takzim sebagai Ketua Utama Negara. Walau bagaimanapun, dalam memandang tinggi kedudukan baginda, pemahaman kita tidak seharusnya tersasar daripada landasan perundangan yang tepat. Baginda bukanlah seorang penguasa mutlak yang memerintah tanpa batas seperti dalam sistem monarki absolut dan pada masa yang sama, baginda juga jauh sekali daripada sekadar hiasan dinding yang kaku atau simbol tanpa sebarang fungsi di dalam pentadbiran. Di dalam sistem yang kita dokong hari ini, Yang di-Pertuan Agong berdiri kukuh sebagai sebuah institusi perlembagaan yang menjadi perlambangan agung kepada kedaulatan negara, penyambung rantaian sejarah, serta pasak utama kepada kestabilan politik watan.
Keunikan yang melatari bumi Malaysia ini semakin terserlah apabila kita meneliti bagaimana jawatan Yang di-Pertuanan Agong itu diisi. Tidak seperti di negara-negara lain, Yang di-Pertuan Agong di Malaysia dipilih secara bergilir-gilir dalam kalangan sembilan orang Raja-Raja Melayu melalui sebuah badan yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja, berpandukan kepada acuan yang telah ditetapkan di bawah Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Sistem penggiliran yang tiada tolok tandingnya di seluruh pelosok dunia ini akhirnya menjelma sebagai sebuah identiti khas yang mencorakkan wajah Malaysia di persada global. Kehadiran sistem ini menjadi bukti yang sangat ampuh bahawa institusi beraja di Malaysia bukan sekadar warisan pusaka tradisi kuno yang usang, melainkan sebahagian daripada komponen yang menggerakkan struktur kenegaraan moden.
Melalui kanta sejarah, kita sedar bahawa institusi raja telah lama menjadi asas utama kepada corak pemerintahan di Tanah Melayu bahkan sebelum angin penjajahan mula bertiup di pesisiran pantai kita. Ketika proses pembentukan Persekutuan Tanah Melayu giat dirangka menuju tahun kemerdekaan 1957, Raja-Raja Melayu telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan sistem beraja ini terus ditenun kemas ke dalam kandungan Perlembagaan.
Maka dengan itu, wajarlah untuk kita fahami bahawa institusi yang agung ini bukannya sebuah “hadiah” yang tiba-tiba jatuh dari langit selepas negara mencapai kemerdekaan, tetapi ia merupakan sebahagian daripada kontrak sosial dan lakaran sejarah asal pembentukan negara. Oleh yang demikian, tindakan menghormati institusi Yang di-Pertuanan Agong dan Raja-Raja Melayu bukan sekadar satu tuntutan adat yang melekat pada budaya, tetapi ia berkaitan secara langsung dengan tahap penghormatan kita terhadap Perlembagaan dan keutuhan sistem negara Malaysia.
Sauh Penyatuan di Tengah Gelora Kepelbagaian Kaum
Malaysia ialah sebuah potret masyarakat majmuk yang sangat indah, dihiasi dengan kepelbagaian warna-warni kaum, agama, budaya dan bahasa yang saling melengkapi. Namun, di sebalik keindahan landskap sosial yang rencam ini, tersimpan satu hakikat bahawa negara sentiasa memerlukan satu institusi yang utuh, yang berupaya untuk berdiri tegak mengatasi segala badai perbezaan politik dan garis pemisah kaum. Di sinilah letaknya nilai kepentingan yang tidak ternilai bagi institusi Yng di-Pertuanan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Institusi beraja ini berjaya bertindak sebagai simbol penyatuan nasional yang paling tulen atas dasar yang sangat kukuh, institusi raja tidak sesekali mewakili atau memihak kepada mana-mana parti politik sebaliknya raja ialah lambang kepunyaan seluruh negara. Disebabkan sifatnya yang berada di atas kancah percaturan politik, rakyat jelata daripada pelbagai kaum dan latar belakang dapat mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada satu institusi bersama, tanpa perlu merasa terganggu atau dipengaruhi oleh ideologi politik yang dianuti.
Falsafah kesetiaan ini bukanlah sebuah konsep abstrak, sebaliknya ia telah diterjemahkan dengan begitu mendalam melalui rukun hidup kita semua di dalam Rukun Negara, khususnya pada prinsip yang kedua iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”. Kehadiran prinsip ini membawa kepentingan yang sangat besar, terutamanya apabila kita mengimbas kembali detik hitam pasca-tragedi 13 Mei 1969. Pada waktu yang penuh dengan duka dan ketegangan itu, negara mula menyedari dengan seinsaf-insafnya bahawa ikatan perpaduan tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada dinamika politik yang sering berubah arah, tetapi ia perlu diperkukuh dan diikat erat melalui sebuah institusi nasional yang dihormati dan dipatuhi oleh semua pihak tanpa syarat.
Rintihan daripada kesedaran itulah, institusi raja telah diletakkan sebagai salah satu asas paling utama dalam usaha menyatukan kembali hati-hati rakyat yang terlerai. Dari sudut sosiologi politik, raja berfungsi umpama sebatang tiang seri dan menjadi “payung negara”. Istilah payung negara ini membawa maksud yang sangat mendalam, ia bermakna ketika negara sedang dilanda badai perpecahan politik atau ketika awan ketegangan kaum mula mendung, rakyat jelata masih mempunyai satu institusi tempat menumpu harapan, sebuah institusi yang dianggap berkecuali serta dihormati bersama secara konsensus.
Kita telah menyaksikan kebenaran hakikat ini apabila negara diuji dengan beberapa siri krisis politik yang agak meruncing sepanjang beberapa tahun yang kebelakangan ini. Di kala parti-parti politik bertelagah sesama sendiri demi meraih pengaruh, institusi Yang di-Pertuanan Agong kekal berdiri tenang dan dihormati sebagai entiti pengimbang keadaan yang sangat bijaksana. Fenomena ini menjadi saksi dan bukti yang nyata bahawa kelangsungan serta kestabilan sesebuah negara tidak hanya diletakkan di atas bahu kerajaan yang memerintah semata-mata, tetapi ia turut bersandar kuat kepada tahap kewibawaan dan karisma yang dimiliki oleh institusi beraja.
Tambahan pula, institusi Raja-Raja Melayu tidak pernah jemu daripada menitipkan titah nasihat yang menyeru seluruh rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian kaum, menjauhi sebarang bentuk ekstremisme dan sentiasa meletakkan kepatuhan kepada Perlembagaan di tempat yang tertinggi. Titah-titah diraja yang dikeluarkan dari balik pintu istana sentiasa bersifat menyatukan, memujuk dan meredakan ketegangan, bukannya meniup api yang memecah-belahkan rakyat. Dari sudut moral dan nilai kenegaraan, gema suara daripada institusi raja ini mempunyai pengaruh yang amat besar dalam membentuk acuan kesederhanaan di dalam pemikiran masyarakat. Oleh sebab itu, kewujudan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu menggalas peranan yang sangat besar bukan sahaja sebagai simbol perpaduan nasional, malah sebagai tiang kestabilan sosial serta penyambung kepada identiti asal negara Malaysia.
Meniti Garis Harmoni: Mengurus Kesucian tanpa Mengikis Kebebasan
Antara perkara yang sering kali mengundang salah faham dan memerlukan penjelasan yang teliti di dalam ruang perbincangan awam ialah kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan serta sejauh mana peranan yang dimainkan oleh Raja-Raja Melayu dalam menguruskan hal ehwal agama tersebut. Jika kita merujuk kepada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara telah menetapkan dengan jelas bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama Perlembagaan Persekutuan juga memberikan jaminan yang tidak berbelah bahagi bahawa agama-agama lain boleh terus diamalkan dengan penuh aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Dalam konteks pengurusan yang halus inilah, Raja-Raja Melayu memegang portfolio yang sangat penting kerana baginda sekalian merupakan Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Bagi kawasan-kawasan yang tidak mempunyai institusi raja, iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak, peranan sebagai Ketua Agama Islam dipikul secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong. Fungsi yang dimandatkan ini membawa implikasi yang amat besar terhadap jaminan kestabilan negara.
Constitutional Stabiliser: Sauh Utama Keluhuran Perlembagaan
Di dalam acuan sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan, sesebuah kerajaan yang memegang tampuk kuasa boleh berubah-ubah pada bila-bila masa, sama ada melalui keputusan yang dibuat di peti undi pilihan raya mahupun disebabkan oleh dinamika politik yang sering bertukar rentak. Di tengah-tengah ruang politik yang sentiasa bergerak aktif dan kadangkala tidak menentu ini, negara amat memerlukan kehadiran satu institusi yang bersifat kekal, stabil dan bebas daripada sebarang sentimen kepatuhan parti. Di sinilah letaknya nilai kepentingan yang sangat kritikal bagi institusi Yang di-Pertuanan Agong dan juga Majlis Raja-Raja.
Secara umumnya, jika kita meneliti Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dikehendaki untuk bertindak mengikut nasihat yang dikemukakan oleh Jemaah Menteri atau Perdana Menteri. Namun begitu, Perlembagaan Persekutuan yang digubal dengan penuh ketelitian ini tidak mengikat tangan baginda sepenuhnya. Ia tetap memperuntukkan beberapa kuasa budi bicara yang sangat penting kepada Yang di-Pertuan Agong. Antara kuasa budi bicara yang dianugerahkan termasuklah kuasa untuk melantik seorang Perdana Menteri, kuasa untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran Parlimen dalam keadaan-keadaan tertentu serta kuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Raja-Raja yang menyentuh tentang hal ehwal kedudukan baginda sekalian.
Kepentingan kuasa budi bicara ini akan menjelma dengan begitu ketara terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan situasi ketidakstabilan politik yang luar biasa atau sewaktu berlakunya keadaan Parlimen tergantung (hung parliament) di mana tiada mana-mana gabungan parti politik yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Di dalam suasana yang penuh dengan ketidakpastian sedemikian, Yang di-Pertuan Agong akan bangun menggalas tanggungjawab yang amat besar sebagai penjaga kepada kesinambungan pentadbiran kerajaan dan benteng kestabilan negara.
Bukan itu sahaja, peranan sebagai pelindung ini turut dikongsi bersama oleh Majlis Raja-Raja yang bertindak selaku benteng pertahanan yang ampuh bagi memelihara unsur-unsur tradisi dan asas di dalam Perlembagaan. Sebarang bentuk cubaan atau usaha oleh mana-mana pihak untuk meminda perkara-perkara yang bersifat sensitif di dalam undang-undang tertinggi negara sama sekali tidak akan boleh dilaksanakan sekiranya tidak mendapat lampu hijau atau persetujuan rasmi daripada Majlis Raja-Raja.
Mekanisme ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang sangat berkesan di dalam struktur pemerintahan negara kita. Jika kita melihat perkara ini dari sudut teori perlembagaan, institusi raja di Malaysia sebenarnya sedang memainkan peranan yang sangat dinamik sebagai seorang “constitutional stabiliser” atau penstabil perlembagaan. Istilah ini membawa satu pengertian yang amat mendalam; ia memberikan kita jaminan bahawa walau berapa kali pun kerajaan bertukar tangan dan walau sekencang mana pun arus politik bertiup, institusi raja akan kekal berdiri megah menjadi penjaga yang setia kepada kesinambungan watan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.
Pasak Abadi bagi Masa Hadapan Watan
Sebagai kesimpulan akhir yang perlu kita sematkan di dalam dada, institusi YDPA dan Raja-Raja Melayu bukanlah sekadar sebuah lambang tradisi yang kaku, atau sekadar subjek upacara adat istiadat Melayu yang dipamerkan di hari-hari perayaan semata-mata. Apabila dipandang menerusi lensa undang-undang perlembagaan, institusi yang luhur ini merupakan salah satu daripada tiang seri utama yang menyokong seluruh bumbung dan struktur negara Malaysia. Penting untuk kita ingat bahawa institusi beraja ini memikul lima peranan yang sangat besar: ia merupakan lambang kedaulatan negara yang berdaulat, pelindung yang setia kepada keluhuran Perlembagaan, penjaga kepada kesucian agama Islam, entiti pengimbang bagi arena politik, serta simbol agung kepada penyatuan seluruh rakyat jelata.

