“Budaya dan sistem nilai itulah yang sebenarnya menjadi kayu ukur dan mercu tanda sebuah negara maju”. Inilah petikan ucapan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi semasa majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni pada 11 Januari 2005.
Umum mengetahui bahawa Malaysia mempunyai wawasan untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Matlamatnya adalah menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri. Identiti rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai kepercayaan dan tinggi sikap budi bahasa merupakan satu ciri yang akan membezakan kita dengan negara maju yang lain. Namun, cuba kita jenguk seketika akan sikap rakyat Malaysia, terutamanya yang berkait dengan budi bahasa. Apakah realitinya?
Rakyat Malaysia adalah sebahagian dari ‘orang Timur’. Orang Timur ini telah sekian lama dilabel sebagai satu bangsa yang berbudi bahasa dan lemah lembut sikapnya. Malahan, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa telah sekian lama berpegang kepada nilai-nilai murni seperti bersopan santun, lemah lembut dan sangat menghormati orang lain.
Malangnya, apa yang berlaku kini sungguh menyedihkan. Kita tidak lagi menghormati orang lain, bercakap kasar, sombong, tidak memperdulikan orang lain, mementingkan diri sendiri dan bermacam-macam lagi sikap buruk kita amalkan.
Ini boleh dibuktikan di mana-mana tempat pun. Misalnya di jalan raya, ramai yang selalu bersikap tidak sabar dan mementingkan diri sendiri. Memotong barisan, membunyikan hon sekuat hati, mencerca orang lain dan tanpa segan silu melanggar peraturan jalan raya. Hinggakan kini, ramai yang sudah berani menjadi samseng jalan raya. Mereka ini langsung tidak takut untuk mencederakan orang lain.
Bagaimana pula sikap orang kita ketika menggunakan pengangkutan awam? Contohnya, komuter dan bas awam. Sering kali kita melihat orang tua mahu pun wanita hamil tidak diberikan tempat duduk. Bukan itu sahaja, ada segelintir penumpang yang tanpa segan silu mengotorkan dan membuang sampah di dalam kenderaan awam tersebut.
Kita beralih pula kepada sikap jurujual dan perkhidmatan kaunter di Malaysia. Ini adalah senario yang paling menjelekkan. Ramai di antara jurujual dan mereka yang bertugas di kaunter bersikap sombong dan selalu bercakap dengan bahasa yang kasar. Malahan, bibir mereka sangat sukar mengungkapkan kata ‘terima kasih’ apatah lagi untuk melemparkan senyuman ikhlas.
Cukuplah tiga contoh di atas. Walaupun terdapat banyak lagi contoh yang boleh diperturunkan di sini, tiga contoh di atas sudah cukup menggambarkan sikap berbudi bahasa rakyat Malaysia yang semakin terhakis.
Apa akan jadi jika perkara ini dibiarkan? Apakah matlamat Malaysia untuk menjadi sebuah Negara Maju dengan acuan sendiri akan tercapai? Pada pendapat penulis, Malaysia memang mampu menjadi sebuah negara maju namun tanpa sikap budi bahasa yang tinggi dan pegangan nilai yang kukuh, kemajuan yang dicapai itu tidak memberi apa-apa makna. Malahan, kemungkinan besar, masyarakat kita akan menjadi satu masyarakat yang lebih teruk daripada masyarakat di negara-negara Barat masa kini.
Inilah perkara yang agak menghairankan. Masyarakat negara Maju yang lain, walau pun sedang menghadapi keruntuhan moral serta pegangan kepada agama dan nilai yang hampir tidak wujud, mereka masih mempunyai sikap budi bahasa yang tinggi.
Misalnya, bagi mereka yang pernah tinggal atau mengunjungi negara-negara Barat pasti tidak lupa akan kemurahan masyarakatnya mengucapkan terima kasih apabila kita membantu atau selesai melakukan sesuatu untuk mereka. Mengucapkan terima kasih ini penting kerana ucapan ini merupakan penghargaan kepada orang lain. Memang terdapat banyak lagi contoh tetapi tidak adil bagi saya menulisnya di sini kerana saya menulis adalah berdasarkan pengalaman rakan-rakan.
Untuk itu, adalah lebih baik saya menulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Bagi tujuan ini, saya akan berkongsi pengalaman saya semasa belajar di Negara Matahari Terbit iaitu di Hiroshima, Jepun.
Pertama sekali, kita lihat tingkah laku masyarakat Jepun semasa di jalanraya. Di Jepun, terdapat banyak jalanraya yang sempit terutamanya di kawasan pinggiran bandar tempat saya tinggal. Ini bermaksud, hanya sebuah kereta boleh pergi dan balik melalui jalan tersebut. Apa yang mengagumkan saya adalah apabila dua buah kereta bertembung untuk melalui jalan yang sama, pemandu-pemandunya secara otomatik tahu bahawa salah seorang perlu berundur.
Saya tidak pernah melihat pemandu-pemandu ini bergaduh atau bermasam muka. Malah saya kagum melihat mereka saling mengucapkan terima kasih apabila selesai melalui jalan tersebut. Apakah situasinya jika perkara ini berlaku di Malaysia?
Bagaimana pula sikap masyarakat Jepun ini apabila mereka menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Sekali lagi, bas dan komuter dijadikan contohnya. Saya dapati bahawa masyarakat Jepun tidak akan duduk di tempat duduk yang dikhaskan untuk mereka yang kurang upaya. Namun, jika sudah penuh, mereka duduk juga, tetapi apabila ada wanita mengandung atau warga emas menaiki pengangkutan awam itu, mereka bingkas bangun kerana tahu bahawa tempat duduk itu bukan untuk mereka. Hal ini sangat berbeza dengan di Malaysia kerana nampaknya bagi kita tiada beza antara tempat duduk khas atau tidak.
Akhir sekali, sikap jurujual dan perkhidmatan kaunter di Jepun. Ini adalah perkara yang bagi saya paling istimewa. Selalunya, jurujual-jurujual akan menyambut kedatangan pelanggan ke sesebuah kedai. Kedatangan pelanggan dialu-alukan dengan ucapan ‘Irasshaimase’ yang bermaksud selamat datang. Apabila selesai membuat urusan pula, mereka akan tunduk sambil beberapa kali mengucapkan terima kasih dan sila datang lagi. Di Malaysia pula bagaimana? Pastinya, sukar sekali bagi kita untuk melihat jurujual mengucapkan terima kasih apatah lagi mengalu-alukan kedatangan pelanggan dan meminta mereka supaya datang lagi.
Jadi, itulah tiga pengalaman yang boleh kita gunakan untuk membandingkan sikap mesra dan berbudi bahasa rakyat Malaysia. Jelas bahawa sikap masyarakat Jepun dan masyarakat Malaysia bagai ‘langit dengan bumi’.
Walaupun apa yang dipaparkan di sini perit untuk ditelan namun itulah hakikatnya. Tujuan memaparkan pengalaman-pengalaman di atas bukan untuk memalukan atau menghina sesiapa. Sepatutnya, kita mengambil iktibar dan berusaha untuk memperbaiki diri. Lagi pun, Islam adalah satu agama yang sangat mementingkan kelembutan berbahasa antara seorang individu dengan individu yang lain. Lihat sahaja kepada ayat 148, Surah An-Nisa’ yang membawa maksud “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
Manakala sebuah hadis dari Aisyah r.a. pula membawa maksud “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya” (Sahih Muslim).
Jelas bahawa sifat berlemah-lembut dan berbudi bahasa itu memang sinonim dengan Islam. Jadi, amat wajarlah kita mengamalkan sikap ini. Sikap berbudi bahasa ini bukannya akan melemahkan kita semua tetapi akan menjadi sumber kekuatan kepada umat Islam.
Ini terbukti apabila melihat sikap Rasulullah SAW yang sentiasa berlemah-lembut dengan musuh-musuh Baginda sehinggakan musuh-musuh itu sangat menghormati Baginda. Uniknya, ada pula yang menyatakan keislaman mereka setelah melihat tingkah laku Baginda Rasul itu. Oleh itu, sama-samalah kita berazam untuk menjadi satu bangsa maju yang kaya dengan budi bahasa.