DALAM kegawatan moral dan krisis nilai yang melanda masyarakat dunia sekarang, kita kadang-kadang merasakan diri kita sedang berada di dalam sebuah panggung wayang dan sedang menyaksikan lakonan manusia yang serba ragam, yang baik, yang jahat, yang suci bersih dan kotor lagi cemar.
Saya merasa kita sedang menyaksikan ragam manusia itu melalui lakonan. Ini kerana banyak gerak laku dan ragam manusia, terutamanya yang menjelma dalam kelakuan yang amat jahat dan keji, yang membunuh dan merompak, yang tidak bersopan dan beradab, malah yang sanggup memaki-hamun dan bertindak kasar kepada orang lain, biasanya hanya berlaku dalam lakonan, drama atau teater, yang dahulunya dikenali dengan nama sandiwara atau bangsawan.
Saya merujuk hal ini secara langsung kepada masyarakat kita, orang Melayu dan Islam. Ketika kita menonton bangsawan atau cerita-cerita klasik tentang masyarakat Melayu dahulu kala, kita sering menonton pandangan yang menggambarkan tindakan-tindakan ganas dan jahat yang dilakukan oleh watak-watak di dalam lakonan itu.
Berbagai-bagai tindakan jahat yang tidak pernah tergambar di dalam fikiran orang yang beragama dan beradab sering dilakonkan sebagai tindakan manusia sesama sendiri.
Kita sering melihat perbuatan khianat sesama sendiri, adu domba, fitnah memfitnah sering dilakonkan sebagai gejala yang amat lumrah dalam masyarakat manusia ketika itu.
Malah perbuatan menikam dari belakang, pakatan-pakatan jahat dan sebagainya telah menjadi cara hidup yang biasa dalam masyarakat tersebut.
Akibat daripada perbuatan dan tindakan jahat manusia itu, maka banyaklah nyawa yang melayang, jiwa yang terkorban, rumah tangga yang runtuh dan musnah, malah maruah dan nama baik orang tidak lagi dihormati. Manusia menjadi amat liar dan tidak bertamadun.
Namun segala yang digambarkan dalam bangsawan dan citrawara Melayu lama itu sungguhpun menggambarkan aspek negatif masyarakat Melayu dahulu kala, tetapi sebenarnya apa yang ditayang atau dilakonkan itu hanyalah secebis kisah masyarakat yang lebih banyak kejahatannya tanpa menafikan peradaban keseluruhan masyarakat Melayu ketika itu yang penuh dengan adab sopan dan tingkah laku yang bernilai, terutamanya kerana kemurnian nilai dan cara hidup serta budaya Islam yang amat kuat mempengaruhi kehidupan orang Melayu.
Berdasarkan hal ini maka ternyata bahawa segala unsur keganasan tingkah laku dan tutur bahasa yang kita tonton itu hanyalah lakonan semata-mata dan amat jarang berlaku di alam nyata.
Keburukan itu lebih banyak merupakan khayalan dan imaginasi para pengarang yang diterjemahkan ke dalam lakonan.
Kerana tanggapan dan kenyataan yang demikianlah maka kita pada masa kini kadang-kadang tidak pernah dapat menggambarkan bahawa dalam masyarakat Melayu sekarang, segala lakonan jahat dan ganas dalam tindakan dan perkataan itu sebenarnya telah dan sedang berlaku sebagai kenyataan hidup di hadapan mata kita dan di dalam masyarakat kita sendiri.
Pada hari ini kita dapat membaca umpatan dan kecaman, fitnah dan hasutan, maki hamun dan panggilan serta gelaran liar yang amat memalukan dan menyentuh maruah sesama saudara sebangsa dan seagama yang dikeluarkan tanpa segan silu lagi di dalam media cetak yang berbentuk tabloid murahan, di dalam e-mel, Internet dan sebagainya.
Orang sekarang tidak segan silu lagi untuk menghantar e-mel yang mengandungi maki-hamun dan umpatan yang melampau kepada orang lain yang dianggapnya tidak sehaluan dengannya.
Orang akan menulis di dalam Internet dan menyebarkan ke seluruh dunia berita-berita palsu dan tohmahan yang tidak berasas semata-mata kerana ingin memuaskan perasaannya sendiri dan memberi malu kepada orang yang dianggap sebagai musuhnya, atau merosakkan nama baik dan imej musuhnya itu.
Kalau dahulu orang Melayu amat segan dan malu untuk mengeluarkan kata-kata kasar terutamanya di hadapan orang lain, tetapi sekarang ini orang sudah dapat menjaja keaiban atau kelemahan orang lain yang direka-rekakan di hadapan ribuan orang ramai dengan penuh emosi dan semangat.
Sebab itulah saya sebutkan di atas bahawa dalam keadaan dunia yang telah bertamadun dan maju ini dan yang sepatutnya lebih meningkat dari segi peradaban dan kesusilaan, terutamanya ketika kesedaran beragama amat meluas dalam masyarakat kita, maka kadang-kadang kita tidak percaya bahawa segala kelakuan dan tutur kata sumbang yang biasanya kita tonton di dalam lakonan-lakonan purba itu, rupa-rupanya benar-benar terjadi di dalam masyarakat kita yang maju ini.
Oleh itu amat tepatlah sekali tanggapan orang yang mengatakan bahawa kehidupan dan pengalaman yang kita sangkakan berlaku di alam fantasi itu, rupa-rupanya benar-benar berlaku di alam kenyataan, di dunia dan masyarakat nyata yang kita huni sekarang ini. Malah amat menggawatkan bahawa gaya negatif ini telah menjadi gaya hidup generasi tua dan muda, lelaki dan perempuan.