DALAM Islam tidak wujud sebarang pertikaian tentang kepentingan ilmu. Allah s.w.t menjelaskan tentang perbezaan orang yang berilmu dan yang tidak berilmu, baik dari segi status, lebih bertakwa kepada-Nya dan berbagai-bagai ungkapan lain secara terang dan berkiasan bagi menunjukkan kelebihan orang yang berilmu mengatasi orang jahil.
Rasulullah s.a.w juga menjelaskan tentang kepentingan mencari ilmu dan hukumnya ke atas lelaki dan perempuan, dasar menuntut ilmu yang merangkumi pembelajaran seumur hidup, dan kepentingan ilmu pengetahuan bagi orang yang mahukan dunia dan akhirat, serta penjelasan lain yang menekankan tentang keperluan mencari ilmu sebagai sesuatu yang dituntut oleh agama.
Seperti yang dapat dibuktikan dalam sejarah, tamadun Islam telah terbina di atas ilmu pengetahuan iaitu ketika munculnya para ilmuwan dan ahli sains Islam pada zaman kegemilangannya. Ia merupakan satu sumbangan besar Islam kepada tamadun dunia dan pembangunan ilmu pengetahuan manusia.
Konsep dan warisan inilah yang seharusnya dibangun dan dihayati semula oleh generasi Islam masa kini, terutamanya ketika umat Islam menghadapi tekanan dan cabaran globalisasi dan alaf baru.
Antaranya cabaran ilmu pengetahuan dan teknologi yang amat canggih, ketika ilmu pengetahuan menjadi kriteria utama untuk seseorang itu menonjol dalam bidang profesional, perniagaan, kepemimpinan, negarawan dan sebagainya.
Malahan untuk menjadi ibu bapa pada waktu ini pun, calon-calonnya perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang sesuai.
Namun begitu kadar buta huruf dan kejahilan serta kelemahan yang melanda negara Islam nampaknya memaksa dunia Islam dan umatnya tertinggal di belakang dalam semua aspek kehidupan.
Kelemahan dan kemunduran ini menyebabkan umat Islam sering tertindas dan tertekan oleh kemajuan negara Barat di Eropah dan Amerika, malah dari negara yang sedang membangun juga.
Dalam konteks peningkatan ilmu pengetahuan ini, maka umat Islam di negara kita sendiri juga menghadapi banyak persoalan, antaranya ialah persoalan kuota kemasukan pelajar bumiputera ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Soal ini sahaja pun sudah cukup menimbulkan konflik dan kontroversi yang berpanjangan. Banyak rungutan yang telah ditimbulkan di kalangan masyarakat majmuk di negara kita tentang perlu atau tidaknya pembahagian kuota ini ketika memilih pelajar-pelajar untuk memasuki IPTA.
Persoalan ini kemudiannya timbul dalam bentuk isu baru, iaitu apakah orang Melayu mempunyai bilangan calon yang mencukupi untuk memenuhi kuota yang ditetapkan itu, kerana kualiti kelulusan pelajar Melayu mungkin tidak mencapai tahap untuk membolehkan seorang calon memasuki universiti.
Hal ini menjadi bertambah rumit pula dengan isu kelemahan pelajar lelaki jika dibandingkan dengan pelajar perempuan, sehingga universiti terpaksa mengamalkan ukuran yang berbeza-beza dari sudut markah dan pencapaian di antara kedua-dua gender ini, iaitu ada kalanya pencapaian markah pelajar lelaki terpaksa direndahkan berbanding markah pelajar perempuan ketika membuat pemilihan ke IPTA.
Pendeknya berbagai-bagai kemelut yang dilalui oleh pelajar Melayu dalam proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi saban tahun, dan kemelut ini kelihatannya tidak pernah reda, malah semakin menggawatkan dari tahun ke tahun.
Hal ini ditambah pula oleh masalah mendapatkan biasiswa, bantuan kewangan dan asrama, serta kadar pinjaman dari tabung pinjaman pendidikan yang terpaksa dibayar balik dengan kadar ongkos perkhidmatan yang sering menjadi pertikaian amat hebat dari sudut kadar dan hukum sehingga menimbulkan polemik yang kadang-kadang melibatkan mufti dan majlis fatwa.
Sesudah berada di universiti, mahasiswa Melayu menghadapi masalah pemilihan kursus, pencarian identiti, perubahan sikap dan pengaruh luar dan dalam, perjuangan dalam politik parti atau kampus, penubuhan persatuan yang halal dan sebaliknya. Ada antara pelajar Melayu yang berpakat menubuhkan sebuah persatuan atas nama pertubuhan militan di Palestin, dan berbagai-bagai gerakan lain yang ada kalanya tidak mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan sebagai mahasiswa yang bertanggungjawab menuntut ilmu sebanyak mungkin.
Kemelut ini menjadi lebih kusut dan gawat apabila pelajar Melayu juga yang terlibat dalam gerakan luar kampus yang bertujuan untuk mengubah senario dunia dalam jangka masa sehari semalam, dan akhirnya terkena tangkap, malah ada yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dengan kepelbagaian kegawatan dan kekusutan itu, maka pelajar Melayu sering dilanda masalah lain. Masalah kelembapan dan kemurungan, tidak dapat bangun pagi, tidak menghadiri kelas, tidak menyiapkan kerja rumah dan sebagainya, seperti yang pernah ditulis oleh seorang profesor dari Amerika Syarikat di dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini berdasarkan pengalamannya mengajar di sebuah universiti tempatan tentang kepelbagaian sikap dan sifat pelajar Melayu yang menjadi pelajarnya.
Oleh itu dalam keadaan rumit dan tidak menentu ini, apakah relevannya lagi soal kuota pelajar Melayu untuk memasuki universiti? Apakah hendak dihiraukan sangat tentang biasiswa dan pinjaman?
Malah apakah hendak dihiraukan lagi soal kursus yang dipilih dan kelulusan cemerlang yang menjadi idaman para pelajar yang berhemah tinggi dan arif tentang matlamat kemasukannya ke universiti?
Kehadiran universiti MIC dan MCA akan menambahkan lagi beban dan masalah pelajar Melayu. Malah kehadiran pelajar bukan Melayu yang berlipat ganda di IPTS yang sedia ada di negara kita pada masa ini yang keseluruhannya menawarkan kursus-kursus yang terpilih dan berpotensi besar bagi generasi baru, ditambah pula dengan bilangan pelajar bukan Melayu yang berlipat ganda di luar negara, maka segala masalah yang dialami oleh pelajar Melayu akan menjadi bertambah parah dan berat.
Jadi, pokok persoalan yang hendak dipecahkan oleh orang Melayu dalam menghadapi krisis ini nampaknya amat sukar ditemui.
Mungkin jika diibaratkan krisis ini sebagai satu wabak penyakit kronik yang sedang melanda masyarakat kita, maka apakah gerangannya ubat yang dapat dicari bagi mencegah dan menghalang wabak itu, dan di manakah gerangannya penawar itu dapat ditemui?
Malah mungkin kita akan merasa amat bingung dan panik, kerana hampir semua ubat dan penawar, jampi dan doa, air mata dan darah, telah dicuba untuk mengubati penyakit tersebut, tetapi nampaknya semuanya gagal. Apakah dengan itu kita sudah seharusnya merasa berputus asa dan putus harapan?
Kalau telah merasa putus harapan dan putus asa, apakah kita seterusnya hanya akan menyerahkan perkara ini kepada takdir semata-mata? Tetapi sebagai orang Islam apakah kita harus menyerah kalah? Dan sebagai orang Melayu, apakah kita seharusnya terus berundur sebelum berjuang? Bukankah kita ini terdiri daripada orang yang diheboh-hebohkan sebagai orang yang tak akan hilang di dunia?