Ditulis oleh Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz Diterbitkan :
Pada minggu ini saya menyambung perbincangan tentan persoalan yang saya bawakan dalam ruangan ini pada minggu lepas; Adakah Perlembagaan mampu menghadapi cabaran dan ancaman mendatang pasca merdeka. Dalam tulisan saya pada minggu lepas, saya telah mengulas tentang dua cabaran kepada Perlembagaan Persekutuan pasca merdeka. Ia adalah cabaran berkaitan perpaduan dan keselamatan negara.
Selain daripada dua perkara besar itu, ada beberapa lagi perkara yang perlu diberikan perhatian kerana cabaran ke atasnya bukan kecil. Antaranya ialah cabaran yang dihadapi oleh Perlembagaan Persekutuan untuk mengekalkan kelangsungan elemen-elemen tradisi atau elemen-elemen warisan yang begitu dalam tertanam dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri.
Adakah Perlembagaan mampu menangani perubahan masa dan massa dalam hal berkaitan status dan kelangsungan elemen-elemen tradisi atau elemen-elemen warisan negara?
Tiada peruntukan perundangan yang memberikan definisi atau meletakkan skop kepada istilah ‘elemen tradisi’ atau ‘elemen warisan’. Namun, kita anggap kita sudah sangat jelas tentang elemen-elemen ini dalam Perlembagaan. Ini termasuklah institusi raja, agama Islam sebagai agama negara, keistimewaan Melayu, keistimewaan Anak Negeri (Sabah dan Sarawak) dan Bahasa Melayu. Elemen ini telah dijadikan rujukan asas dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan, yang mana semua elemen ini telah dijadikan terma lantikan Suruhanjaya Reid dalam menjalankan rangka kerja menggubal Perlembagaan merdeka bagi Tanah Melayu.
Dari segi istilah, saya menggunakan istilah ‘tradisi’ dan ‘warisan’ dalam tulisan ini secara sinonim walaupun ada sedikit perbezaan secara akademiknya. Secara umumnya elemen tradisi ini ialah elemen yang telah sekian lama wujud, bahkan sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan itu sendiri, kita katakan ia sebagai elemen warisan. Telah sekian lama juga elemen-elemen ini telah memainkan peranan dan memberi manfaat, dalam sejarah dan juga dalam pembentukan negara. Setelah kemerdekaan elemen tradisi dan warisan ini telah dinaikkan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pasca merdeka elemen-elemen ini menjadi begitu sinonim kepada negara; menjadi identiti negara. Dengan peranan yang dimasyhurkan dalam perundangan dan dikekalkan dalam budaya, sosial, dan pentadbiran negara, elemen-elemen ini merupakan nadi dan saraf kepada falsafah negara. Elemen tradisi inilah juga merupakan sebahagian daripada mekanisme pentadbiran negara. Ratusan kali ulangan disebut dalam Perlembagaan tentang elemen tradisi ini.
Dalam perjalanan selapas merdeka, elemen tradisi ini adalah juga pengimbang kepada demokrasi. Demokrasi yang tidak dikawal rapi atau tidak diimbangi oleh melalui mekanisme yang baik telah terbukti boleh membentuk diktator. Sudah beberapa pengalama luar negara boleh menebrka kita sempadan.
Selain itu, elemen tradisi ini juga adalah neraca yang mampu mengawal suara rakyat daripada terpesona dengan kebebasan (yang juga menggunakan tiket demokrasi) yang melanggar susila keturunan masyarakat timur yang berbudi luhur dan berperibadi tinggi.
Perubahan masa telah menyaksikan persepsi massa kepada elemen-elemen tradisi dan warisan ini. Kita juga sudah dapat melihat cabaran-cabaran ke atas elemen tradisi dan warisan ini dalam pelbagai aspek, terutamanya tentang penghormatan kepadanya. Malah kita sering lihat provokasi-provokasi di media maya atau laman sosial maya yang mahu mengusir elemen warisan ini daripada persada utama negara.
Perkembangan ini menjadikan kelangungan kepada elemen-elemen tradisi sebagai antara cabaran yang sangat hebat kepada Perlembagaan.
Dari sudut sejarah selama ratusan tahun, walau tanpa sokongan padu dokumen formal seumpama Perlembagaan, elemen ini telah berjaya dipertahan. Bahkan sekiranya dikira dari tahun 1511 sehingga kemerdekaan 1957 elemen ini telah berjaya dipertahan selama 446 tahun semasa penjajahan dan pentadbiran empat kuasa asing. Sekiranya elemen tradisi itu telah berjaya dikekalkan dalam masa ratusan tahun, walau di bawah naungan kuasa asing, tetapi mampukah lagi ia dikekalkan selepas kemerdekaan dengan Perlembagaan yang begitu padat dengan pengukuhan tentang elemen tradisi ini.
Terdapat senarai yang begitu panjang tentang kuasa, kedudukan dan peranan elemen tradisi dalam Perlembagaan. Ringkas, 65 peruntukan semuanya seperti yang saya senaraikan ini. Perkara 2, 3, 8, 15, 28, 32, 37, 38, 39, 40, 41, 42, 43, 43A, 44, 45, 48, 55, 60, 63, 66, 68, 70, 72, 92, 95C, 99, 105, 108, 114, 115, 122, 122A, 122AA, 122AB, 122B,122C, 124, 125, 130, 132, 137, 138, 139, 140, 141A, 142, 143, 144, 145, 146, 149, 150, 151, 152, 153, 159, 160, 161, 162, 181, 182, Jadual Ketiga, Jadual Keempat dan Jadual Kelima.
Kesungguhan rakyat dan pentadbiran amat penting untuk mempastikan Perlembagaan mampu menjaga kelangsungan elemen-elemen warisan atau elemen tradisi ini.