Apabila demokrasi diterima sebagai salah satu prinsip pentadbiran dan pengurusan negara, di samping sistem Raja Berperlembagaan, persoalan berkaitan ialah, adakah prinsip demokrasi yang kita terima itu meminggirkan nilai tempatan dan agama? Pada minggu lepas saya telah menyebut mengenai kedudukan positif nilai tempatan dan agama dalam sistem dan amalan demokrasi di negara kita.
Sebagai sebuah negara yang meletakkan agama, terutamanya agama Islam, pada tempat yang selesa dalam sistemnya, maka secara langsung agama tersebut menjadi identiti negara. Islam juga begitu tertanam dalam bumi tanahair kita ini kerana agama itu adalah agama bagi semua negeri dalam Malaysia (kecuali negeri Sarawak).
Ketika menegaskan kedudukan agama Islam dalam sistem negara, saya melihat ada kebimbangan sesetengah pihak tentang penyebaran dan pemakaian prinsip agama Islam secara “melampau” yang boleh menjadikan negara ini sebagai sebuah negara ‘theocracy’ yang mengenepikan demokrasi. Ada sesetengah pihak yang melahirkan kebimbangan kepada pengaruh agama dalam polisi dan pentadbiran negara. Ketara juga ialah kebimbangan tentang penggunaan perundangan Islam. Kebimbangan ini sebenarnya tidak perlu berlaku.
Sesungguhnya fakta yang tidak dapat disanggah ialah, Islam, termasuk perundangan Islam telah lama bertapak di negara kita. Tidak ada fakta lain yang boleh menyanggah bahawa sejarah telah membuktikan tentang keagungan Kota Melaka sebagai pusat perdagangan. Kerajaan Melaka telah menjadi tumpuan dunia Barat dan Timur kerana pencapaian dan kemakmurannya. Fakta lain juga tidak ditemui untuk menolak penemuan sejarah bahawa sistem Islam dan perundangan Islam telah berada dan diamalkan oleh kerajaan Melaka ketika zaman keagungannya. Buktinya cukup kukuh.
Sistem dan perundangan di Melaka tersebut tidak menghalang Melaka daripada menjadi sebuah pusat perniagaan yang makmur dan berpengaruh sehingga menarik minat kuasa dunia untuk datang berdagang dan seterusnya menguasai Tanah Melayu.
Setelah dijajah dan diperintah lebih kurang 446 tahun, kita berjaya merdeka. Dalam proses kemerdekaan, kita mahu membentuk negara yang mengamalkan demokrasi. Demokrasi adalah ‘trend’ pemerintahan negara, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua. Mungkin juga demokrasi adalah pilihan kita.
Pada masa sama, dalam proses kemerdekaan tersebut, kita mahu kekalkan jawatan Ketua Negara menerusi sistem monarki, prinsip Raja Berperlembagaan. Monarki juga menjadi Ketua Agama. Oleh itu, kita mengukuhkan kedudukan Islam sebagai agama bagi negeri-negeri dalam Undang-Undang Tubuh bagi negeri-negeri, manakala Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara.
Selain daripada mengisytiharkan kedudukan agama Islam, serta kedudukan selesa agama Islam dalam rangka perundangan dan sosial negara, Perlembagaan Persekutuan juga memasyhurkan elemen-elemen penting demokrasi seperti kebebasan asasi, prinsip kebertanggungjawaban, kebebasan badan kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Sekiranya wujud kebimbangan sesetengah pihak tentang penggunaan prinsip dan nilai agama dalam polisi dan amalan negara, prinsip demokrasi ini boleh diolah untuk menjadi mekanisme semak dan imbang. Elemen-elemen penting demokrasi ini boleh menjadi mekanisme untuk membendung fahaman dan amalan serong yang boleh menjejaskan status negara, sama ada dari segi politik atau keselamatan. Ia juga boleh digunakan untuk membendung pelampau agama.
Prinsip kedaulatan undang-undang boleh diterima pakai supaya tidak ada mana-mana pihak yang dibenarkan untuk menggunakan ‘agama’ sebagai satu senjata persengketaan. Prinsip itu juga boleh dijadikan mekanisme untuk memantau dan menyekat pelampau agama.
Begitu juga dengan kebebasan badan kehakiman. Dengan kuasa semakan semula ke atas tindakan pihak eksekutif (badan pelaksana) atau badan perundangan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) Badan Kehakiman boleh membuat tindakan bagi mempastikan kedua-dua badan itu mematuhi Perlembagaan.
Sebab itulah wujudnya prinsip ketinggian Perlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang. Mana-mana tindakan pihak eksekutif dan setiap undang-undang yang diluluskan oleh Badan Perundnagan ada perlulah menghormati prinsip ketinggian Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan yang ada, serta keunggulan prinsip pentadbiran bersandarkan kepada agama, pada fikiran saya, kita tidak perlu bimbang tentang itu sahaja. Kita juga perlu lebih bimbang kepada suara lantang demokrasi yang mahu mengenepikan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan. Kita juga perlu bimbang kepada suara lantang demokrasi yang mahu menafikan sistem nilai dan prinsip agama.