Minggu ini ramai yang telah pulang semula dan meneruskan rutin harian, seperti sebelum menjelangnya Ramadan. Lebih kurang setiap sebulan setengah dalam tempoh setahun, umat Islam terutamanya di negara kita akan melalui satu pengalaman yang begitu berlainan berbanding bulan-bulan lain.
Sesetengah orang lebih menikmati kemeriahan bulan Ramadan, kerana tidak kira sama ada siang atau malam, ia begitu hidup sekali. Tetapi, anak-anak kecil pula begitu ghairah menantikan ketibaan 1 Syawal yang memberikan pelbagai keseronokan kepada mereka. Begitulah secara umumnya.
Namun, selepas semuanya berlalu lazimnya kita terus meninggalkan pengalaman ini untuk meneruskan aktiviti harian sebagaimana lazimnya. Perancangan-perancangan yang kita atur semasa Ramadan untuk menyambut Syawal, lazimnya tidak kita semak semula untuk memperbaikinya pada tahun yang akan datang. Azam kita untuk melakukan yang lebih baik acap kali hilang bersama hilangnya kemeriahan Syawal.
Mungkin ada baiknya pada kali ini kita mula menyemak semula semua perancangan kita agar Ramadan dan Syawal yang akan datang lebih bersedia dan sempurna untuk dijalani.
Sebagai seorang Muslim wajar untuk kita menyemak tentang persediaan kita untuk menjalani ibadah puasa dengan sempurna. Tugas-tugas di pejabat kalau tidak dirancang dengan baik mungkin akan memberi kesan kepada solat tarawih pada malamnya. Maka Ramadan yang akan datang harus diberi laluan yang lebih selesa agar kita dapat menggunakan peluang terbaik yang dianugerahkan Allah s.w.t.
Ramadan pada kali ini mungkin menyaksikan mereka yang berazam untuk khatam al-Quran terkandas di juzuk-juzuk yang awal. Mungkin juga disebabkan keletihan bekerja, maka terculaslah mereka untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid atau di surau.
Adalah sesuatu yang malang bagi kita yang mempunyai kehidupan dan tugas yang seragam jadualnya tetapi tidak mampu menyediakan keselesaan untuk beribadah dalam waktu yang sangat strategik yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya.
Golongan ibu juga seharusnya menyemak semula tentang persediaan menyambut Syawal yang mengandungi nilai-nilai ibadah dan tanggungjawab sosial atau kemasyarakatan. Memakai pakaian yang terbaik pada 1 Syawal adalah sesuatu yang disunatkan atau digalakkan. Lazimnya kita mentafsirkan pakaian yang terbaik ialah pakaian baru dan itu yang kita tunjukkan kepada anak-anak kita secara praktikalnya. Menjahit pakaian sehingga dinihari pada malam 1 Syawal sangat lazim untuk ditemui. Menyiapkan tempahan pakaian yang diminta pelanggan begitu mendebarkan, bimbang tidak sempat disempurnakan mengikut masa yang dijanjikan.
Pada minggu akhir Ramadan, maka ramai Muslim yang kelihatan kelam-kabut menyiapkan persediaan Hari Raya. Maka, minggu terakhir yang sangat digalakkan untuk kita menanti kunjungan lailatulqadar berlalu begitu sahaja kerana kita lebih ghairah membuat persediaan Hari Lebaran. Dan yang malang, kadangkala keghairahan itu tetap tidak memberi hasil yang diharapkan.
Begitu juga perancangan untuk balik ke kampung, atau giliran berziarah ke rumah saudara-mara. Tanpa perancangan yang tersusun, maka berlakulah berbagai-bagai masalah.
Namun sebaliknya, alangkah bahagianya bagi mereka yang begitu bersedia untuk menerima kedatangan Ramadan sekali gus Syawal kemudiannya. Tugasan-tugasan penting telah disempurnakan menurut jadual perancangan. Hasilnya ibadah puasa dapat dijalani dengan baik dan ditambah dengan amalan-amalan sunat seperti solat tarawih, qiamullail, bertadarus dan pada akhir Ramadan mengkhatamkan al-Quran.
Perbincangan suami isteri pada awal-awal lagi dibuat bagi menentukan giliran untuk berhari raya di rumah keluarga. Anak-anak juga diberitahu dan mematuhi keputusan ibu dan ayah. Persediaan Hari Raya pula disediakan menurut peruntukan yang ada tanpa sebarang pembaziran. Terpulanglah bagaimana persediaan hendak dibuat, sama ada membuatnya sendiri, menempah atau membeli yang telah ada di pasaran. Apa pun bentuknya perancangan perlu ada bagi kelancaran.
Pada bulan Ramadan ada pahala yang perlu dikumpul sementara pada Hari Raya, ada ibadah dan tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan. Kesemuanya itu apabila dapat dilaksanakan dengan sempurna akan memberi satu kepuasan yang tidak terhingga kepada diri pelaksana. Hubungannya dengan Allah s.w.t. (hablum minallah) dapat dipelihara dan hubungannya sesama manusia (hablum minannas) menjadi lebih akrab.
Memang tidak terdapat nas yang jelas sama ada di dalam al-Quran ataupun sunah tentang keperluan melakukan perancangan. Akan tetapi perancangan sebenarnya adalah hasil penelitian secara bijaksana individu manusia tentang fungsi hamba Allah sebagai khalifah dan matlamat asasnya, iaitu untuk menyembahkan diri sebagai ketundukan kepada Penciptanya.
Surah al-Asr adalah suatu peringatan, tentang manusia yang kurang bijaksana mengoptimumkan masa yang ada. Kalau maksud ayat-ayat di dalam surah ini digabungkan dengan maksud hadis Rasulullah s.a.w. tentang peringatan Baginda pada lima perkara sebelum datangnya lima perkara, maka individu Muslim akan memahami bahawa perancangan sangat penting baginya. Apatah lagi kalau individu tersebut menerima dan menghayati ayat ke-11, Surah al-Rad yang membawa maksud bahawa mengubah nasib itu adalah di tangan manusia itu sendiri.
Manusia yang mendakwa bahawa dia tidak mempunyai kerja untuk dilakukan, bukanlah seorang khalifah yang dapat memainkan peranan yang baik, sebaliknya manusia yang suka bertangguh dan membiarkan masa berlalu begitu sahaja sehingga tiba waktu-waktu yang kritikal bukanlah seorang khalifah yang efisien.
Maka persoalan yang perlu kita utarakan pada diri kita sendiri, di mana agaknya kita selepas Syawal menjelang? Adakah kita seorang Muslim yang telah mencapai kejayaan, atau sebaliknya masih terkandas di tengah perjalanan?