DILEMA yang menyelubungi kepemimpinan Presiden Yasser Arafat berakhir dengan pengumuman secara rasmi kematiannya pada 11 November lalu.
Berita kematian pemimpin yang mengetuai perjuangan rakyat Palestin menentang Israel sejak 40 tahun di sebuah hospital tentera Perancis di Percy dekat Paris, jauh dari tanah tumpah darahnya di Semenanjung Gaza, mengejutkan seluruh dunia, terutama umat Islam.
Ramai menjangka hayatnya sudah hampir, namun kejutan itu sebenarnya adalah berikutan rasa kehilangan ketokohan kepemimpinan Arafat yang sudah sinonim dengan konflik Israel-Palestin sejak sekian lama.
Hingga ke akhir hayat, khususnya dalam tempoh dua minggu terakhir selepas dilaporkan sakit, beberapa episod yang penuh kontroversi timbul dan menjadi perhatian media massa tempatan mahupun antarabangsa.
Ia bermula dengan komplikasi yang dihadapinya pada awal pemergiannya ke Paris untuk mendapatkan rawatan. Sejak tiga tahun lalu beliau dikenakan tahanan wilayah yang tidak membenarkannya bergerak dari ibu pejabatnya di Ramallah oleh rejim Israel.
Rejim Sharon akhirnya membenarkan beliau meninggalkan Ramallah untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tentera di Paris. Kemudian timbul pula dakwaan isterinya bahawa pemimpin Palestin itu akan dibunuh dan digulingkan.
Isterinya, Suha Arafat mendakwa dalam satu panggilan telefon ke Al Jazeera, bahawa orang di sekeliling Arafat sedang berusaha menggulingkannya dan berkemungkinan merancang untuk membunuh pemimpin itu dengan `menanamnya hidup-hidup’.
Status kesihatannya sepanjang 10 hari terakhir juga penuh dengan debaran dan penantian. Ada dakwaan yang menyifatkan sesetengah pihak mencadangkan `euthanasia’ iaitu amalan yang dibuat bagi menamatkan kesengsaraan seseorang pesakit dengan cara menamatkan riwayatnya.
Namun, dakwaan kemungkinan amalan ini juga ditolak sebagai satu kaedah yang dilarang agama Islam. Senario berbeza berlaku di Amerika Syarikat, yang mana Presiden George W Bush meraikan kemenangan dan pemilihan semulanya sebagai Presiden Amerika dalam pilihan raya yang diadakan pada awal November lalu.
Kemenangan satu-satunya pemimpin Amerika yang secara jelas dan terang- terangan menidakkan kepemimpinan Arafat di Palestin. Lebih daripada itu, Bush menyifatkan Arafat sebagai `pengganas’ dan menutup pintu rundingan dengan beliau.
Bush mahu Arafat ditukar dengan seorang pemimpin lain. Senada dengan pemimpin rejim Israel, Bush menyifatkan Arafat sebagai penghalang kepada usaha damai di Asia Barat, khususnya di Palestin. Betapa ironisnya dakwaan Bush terhadap Arafat dan rakyat Palestin.
Tindakannya menveto resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjelaskan tanggapan dunia, menunjukkan sebaliknya. Untuk rekod, sepanjang lima tahun kariernya sebagai Presiden, pentadbiran Bush telah men’veto’ tujuh resolusi terhadap kekejaman Israel di bumi Palestin.
Seperti menanti-nantikan saat kematian pemimpin Palestin itu, Bush dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata bahawa kematian Arafat sebagai satu perkembangan baru kepada usaha damai yang beliau sedang rancangkan.
Bush dengan penuh angkuh menganggap kematian Arafat diharap dapat membuka harapan baru kepada perdamaian di Asia Barat. Sementara itu, bertindak di atas kerelaan Amerika itu, pihak Israel terus mengganas dengan membunuh beberapa ramai lagi pejuang Palestin di Tebing Barat sepanjang tempoh pemimpin mereka berjuang dengan maut di katil hospitalnya.
Barangkali sudah ditakdirkan oleh Allah bahawa sepanjang hayatnya, Arafat yang nama sebenarnya Mohammed Yasser Abdul-Ra’ouf Qudwa Al-Husseini menjadi pejuang hingga ke akhir hayatnya.
Seluruh umat Islam turut bersedih diatas kehilangan seorang pejuang tulen. Namun, perjuangan menentang keganasan Israel pastinya terus berpanjangan dan berliku dengan kematian Arafat.
Pemilihan semula Bush tidak menjanjikan apa-apa yang boleh diharapkan oleh rakyat Palestin. Bush tidak boleh diharapkan. Bush telah terbukti sebagai seorang yang bertindak menghalang usaha menyelesaikan isu Palestin dan dilihat sengaja menggalakkan kekejaman Israel.
Bush menutup sebelah matanya terhadap kekejaman Israel selama ini dan pemilihan semulanya sebagai Presiden Amerika adalah sebagai kesinambungan sikapnya yang terus akan mengakibatkan kesengsaraan umat Islam.
Perkara ini seperti yang beliau lakukan di Afghanistan, Iraq dan Palestin selama ini.