Kuala Lumpur 26 November – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan mempergiat usaha memberi kefahaman serta prinsip terkandung dalam pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam dan pengumuman mengenai Islam Hadhari.
Sehubungan itu, 13 seminar kebangsaan dan satu seminar antarabangsa serta bengkel berkisar mengenai Islam Hadhari akan diadakan tahun depan bagi tujuan itu.
Seminar itu bakal menarik peserta kalangan orang Islam dan bukan Islam. Seminar itu merangkumi 10 prinsip Islam Hadhari seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, antaranya Kefahaman Mengenai Keutuhan Budaya dan Bioinformatik Sebagai Alat Dakwah.
Topik lain yang bakal dibincangkan termasuk mengenai keutuhan moral; pembelaan hak asasi manusia; kehidupan keluarga berkualiti; kefahaman mengenai kerajaan adil dan beramanah; toleransi beragama dan kefahaman pembangunan seimbang dan komprehensif.
Pengerusi IKIM, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata sejak 12 tahun lalu senarai seminar dan bengkel yang dilaksanakan IKIM menepati tajuk yang merangkumi prinsip Islam Hadhari.
Katanya, pengumuman mengenainya adalah peluang keemasan untuk memberi masyarakat gambaran berlainan daripada apa yang mereka fahami selama ini mengenai Islam Hadhari.
“Ikim berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi satu klasifikasi kepada Islam Hadhari melalui prinsip yang dijelaskan dan saya berharap orang bukan Islam akan berminat mengikuti program kita nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Bersama Ikim dan jamuan Hari Raya yang diadakan di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob.
Pada majlis itu, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid turut menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang IKIM 2003 kepada sembilan kakitangan dan Surat Pelantikan Felo Kehormat IKIM, selain melancarkan buku Sepuluh Tahun Institut Kefahaman Islam Malaysia – Berita Bergambar.
Felo Kehormat IKIM yang dilantik semula ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faiza Tamby Chik dan penceramah agama, Dr Muhammad Uthman El- Muhammady. Dua tokoh baru yang dilantik sebagai Felo Kehormat Ikim ialah Pensyarah Fakulti Sains Universiti Malaya, Prof Dr Azizan Baharuddin dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohd Yusof Othman.
Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, semua Felo Kehormat yang dilantik itu mempunyai kepakaran dalam bidang perundangan, pengajian Islam, sains dan isu semasa berkaitan Islam.
Katanya, gandingan ilmu mereka diharap dapat memantapkan usaha IKIMmemberi kefahaman mengenai Islam Hadhari melalui pembabitan dalam seminar dan bengkel yang direncanakan sepanjang 2005 nanti.
Berdasarkan sambutan menggalakkan, katanya, IKIM buat kali kedua menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Drama TV dan Radio Berunsur Islam bertujuan mencari skrip bermutu yang mampu meningkatkan kefahaman Islam.
“IKIM berpendapat peraduan ini penting bagi memberi galakan penulis skrip terus aktif menghasilkan karya seni yang dapat mendidik dan menanamkan nilai Islam kepada khalayak,” katanya.
Mengenai radio IKIM.fm, katanya, beberapa pembaharuan akan dilaksanakan seperti menambah masa siaran, mewujudkan rancangan baru serta menambah koleksi lagu Arab bagi menjadikannya lebih menarik, bermaklumat dan menghiburkan.