Umat Islam dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai umat wassatan. Umat wassatan bermakna umat yang pilihan lagi adil, dan juga bermakna umat yang pertengahan, iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan di dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya; segala-galanya berkeadaan di tengah-tengah, dan diusahakan meliputi soal-soal dunia dan akhirat.
Manusia ialah makhluk fisiologi, psikologi dan teologi. Jasad dan minda digandingkan dengan roh dan ketiga-tiganya saling lengkap melengkapi.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi bagi menyatupadukan para pendakwah yang menyeru manusia ke jalan Allah s.w.t sewajarlah mereka mendukung satu manhaj sederhana. Manhaj tersebut akan mempamerkan suasana pertimbangan dan ketenangan di dalam menentukan sesuatu hukum.
Sikap sederhana Baginda juga terpampang ketika menyetujui syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perjanjian Hudaibiah.
Walaupun di dalam keadaan tertekan, Baginda tidak mengherdik pengikutnya, malah bersabar dan bertekun dengan pendiriannya.
Perlembagaan Madinah juga mengandungi aspek yang menunjukkan sikap toleransi dan kesederhanaan Baginda Rasulullah s.a.w. Penduduk-penduduk Madinah diterima sebagai satu umat serta diberi hak dan kebebasan selagi mereka tidak menggugat keselamatan masyarakat. Orang Islam tidak boleh membunuh sesama mereka dan juga orang bukan Islam. Menghidupkan semangat tolong menolong. Menghormati jiran tetangga.
Dua perkara utama dalam sesebuah pemerintahan Islam adalah mendirikan atau menegakkan agama dan siasah pentadbiran negara. Sudah banyak indikator-indikator yang jelas menunjukkan kedudukan agama Islam di Malaysia berkembang dengan tersusun dan teratur. Bahkan pembangunan Islam berkembang pesat dan menyeluruh meliputi bidang pentadbiran agama dan pembangunan fizikal dan ilmu/pendidikan Islam.
Perlembagaan membenarkan wang negara dibelanjakan bagi pembangunan Islam di Malaysia berbanding dengan sesetengah negara di rantau ini; bahkan lebih baik dengan sesebuah negara Islam lain di dunia. Malaysia telah dikenali dengan negara Islam, contoh oleh sarjana-sarjana luar negara.
Pada hari ini terdapat pelbagai produk dan perkhidmatan Islam berasaskan kepada hukum syarak seperti al-wadiah (simpanan), al-musyarakah (usaha sama), al-mudharabah (perkongsian keuntungan), al-murabahah (ditambah untung), bai’ bithaman ajil (jualan berbayar tertunda), bai al-dayn (perdagangan/pembiayaan hutang), al-ijarah (sewaan) dan bai’ as-salam (penyerahan hadapan).
Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mula beroperasi pada 1 Julai 1983. BIMB disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 17 Januari 1992. Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) merupakan Bank Islam kedua dan telah ditubuhkan pada 1 Oktober 1999.
Akta Takaful telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1984. Empat buah Syarikat Takaful sedang beroperasi sekarang. Iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB), Takaful Nasional Sendirian Berhad (TNSB), Takaful Maybank dan Takaful Ikhlas.
Pengurusan pusat-pusat pungutan zakat telah dipermodenkan dengan menggunakan kemudahan komputer. Kaedah untuk memajukan institusi waqaf juga sedang dirumuskan.
Dasar yang dilaksanakan tidak terbatas kepada kemajuan meningkatkan syiar Islam dan ibadat sahaja bahkan membangunkan negara dan memakmurkannya yang boleh memberi manfaat dan kebaikan kepada ummah dan rakyat seluruhnya. Ini adalah tuntutan Islam. Oleh itu kita perlu menjadi bangsa yang membanggakan bumi ini; bukan kalangan orang yang meruntuhkan, melakukan pembiakan bukan kemusnahan, membina bukan perosak, menyatupadukan bukan memecahbelahkan, berilmu bukan jahil.
Bagi mencapai keadilan sosial, beberapa dasar telah diadakan. Di antaranya telah pun dijelaskan seperti Dasar Ekonomi Baru, dan mengadakan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (2001 – 2010), Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara, Dasar Perumahan Negara – Program Perumahan Rakyat, Dasar Sosial Negara dan Dasar Pendidikan Negara.