
Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dilantik sebagai Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ke-6 berkuat kuasa pada 3 Februari 2022. Beliau menggantikan Datuk Dr. Azizan binti Baharuddin yang menyandang jawatan tersebut selama tiga penggal dari 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2021.Surat pelantikannya diserahkan secara rasmi oleh YB. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad.
Dr. Mohamed Azam dilahirkan pada 18 Jun 1966 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah daripada Universiti Malaya (UM) pada 1990.
Beliau seterusnya menyambung pengajian pasca sarjananya sehingga memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan undang-undang pada 2007 daripada School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom (UK). Kerjayanya dalam dunia akademik bermula di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari 1990 hingga 2020. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) dari 1 April 2013 sehingga Februari 2022. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah, Kumpulan CIMB dari 2014 hingga 2017.
IKIM mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas pelantikan ini. Bersandarkan pengalamannya yang luas, Dr Mohamed Azam dipercayai dapat memacu IKIM mencapai wawasannya untuk menjadi institusi kefahaman Islam bertaraf antarabangsa.