IKIM telah menganjurkan satu kongres nasional bertemakan ‘Islam, Keluarga Malaysia Dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan’ sempena sambutan ulang tahun IKIM ke 30 di Dewan Besar IKIM pada 19 & 20 Mei 2022. Kongres ini dianjurkan bagi menyediakan ruang perbincangan berkenaan kepentingan mensejahterakan dan mengharmonikan hubungan masyarakat pelbagai bangsa dan agama di Malaysia dalam bingkai yang dibolehkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan disemangati oleh Islam.
Yang Berhormat Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan kongres tersebut. Di antara perkara yang ditekankan oleh Yang Berhormat adalah berkenaan agenda dan teras tadbir urus Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera berlandaskan ruh Maqasid Syariah yang mengutamakan pencapaian maslahah dan kesejahteraan yang seimbang di antara jasmani, emosi dan rohani. Beliau juga menyarankan agar IKIM menggerakkan agenda tasamuh , iaitu pendekatan Islam yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan di dalam memperkasakan agenda Keluarga Malaysia, sesuai dengan peranan IKIM sebagai sebuah institut pemikir dan penyelidikan yang telah tertubuh selama 30 tahun dalam menyebarkan kefahaman sebenar tentang Islam dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Di dalam Kongres Nasional ini, 6 orang pembentang telah dijemput untuk membincangkan tajuk-tajuk yang penting berkenaan Islam dan kepelbagaian, Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan jati diri bangsa, perpaduan, agenda ekonomi yang kalis cabaran masa depan serta integriti dalam tadbir urus negara.

Satu Forum Gagasan Anak Muda untuk Malaysia bertajuk: Orang Muda, Politik dan Malaysia yang Harmonis telah diadakan pada hari kedua Kongres Nasional ini. Ahli panel forum terdiri daripada aktivis dan pemimpin belia serta pemimpin muda dari parti politik. Mereka adalah : En. Jufitri Joha yang merupakan mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM); En. Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia; iii) En. Noor Azleen Ambros, Exco Pemuda UMNO Malaysia; iv) En. Amos Thien, Pengerusi Parti MUDA Sabah; dan v) En. Danesh Raj Nagarajan, Ahli Lembaga Universiti Malaya.