Fatwa merupakan jawapan berdasarkan hukum syarak terhadap persoalan yang menjadi kemusykilan. Orang yang memberikan jawapan tersebut pula ialah mufti. Mufti hendaklah seorang yang memiliki ilmu pengetahuan syariah yang luas kerana jawapannya hendaklah berdasarkan dalil dan hujah hukum syarak.
Di Malaysia, institusi fatwa dan mufti ditubuhkan di bawah Akta atau Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam negeri-negeri. Fatwa dalam konteks negara kita ialah kenyataan mufti yang diwartakan. Mufti tidak bersendirian dalam menjalankan fungsinya mengeluarkan fatwa, kerana Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak atau Jawatankuasa Fatwa akan menyertai mufti untuk menjawab permasalahan masyarakat Islam di Malaysia. Jika perlu maka dijalankan penyelidikan.
Sebagai tempat rujukan masyarakat Islam, institusi fatwa di Malaysia sememangnya perlu bersikap pro-aktif dan peka kepada permasalahan umat Islam dan perkembangan semasa. Ini kerana ijtihad semasa sentiasa perlu dilakukan disebabkan fatwa pada zaman terdahulu barangkali sudah tidak praktikal untuk digunakan pada waktu semasa.
Fuqaha dahulu juga sentiasa menegaskan keperluan terhadap perubahan fatwa yang disebabkan perubahan masa, tempat, amalan kebiasaan dan keadaan.
Pada hari ini bidang ekonomi, kewangan, sains dan teknologi termasuk teknologi perubatan melalui perkembangan yang sangat pesat dan kompleks, dan perkara ini tidak berlaku pada zaman-zaman terdahulu.
Serentak dengan realiti ini, ramai pakar Muslim yang mengalami dilema dalam melaksanakan tugas-tugas mereka sama ada satu-satu keputusan dan tindakan yang mereka lakukan itu selari dengan prinsip syariah ataupun sebaliknya.
Persoalan-persoalan seperti pemindahan dan pendermaan organ, euthanasia (pembunuhan rahmat atau mercy killing), pengklonan telah pun mula dibincangkan sejak sedekad yang lalu tetapi ia tidak berhenti setakat itu sahaja. Oleh sebab sains dan teknologi bersifat dinamik maka perkembangannya akan berlaku secara berterusan.
Perbicaraan kes Terri Schiavo, seorang pesakit otak, contohnya telah mengundang reaksi daripada pelbagai agama di seluruh dunia termasuk para ulama Islam.
Di sini kita melihat bahawa perkembangan semasa yang berlaku menuntut reaksi bersifat global daripada ulama dan institusi fatwa di negara ini. Dalam membangunkan institusi fatwa di negara ini, penyertaan pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu sememangnya telah menjadi keperluan yang sangat penting sebelum fatwa dikeluarkan.
Contohnya, sebelum Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan Botulinum Toxin (BTA), atau yang mudah disebut sebagai Botox, dengan tujuan menegangkan kulit muka sama ada halal atau haram, sidang akan mendengar taklimat terlebih dahulu mengenai rawatan kecantikan daripada pakar Dermatologi.
Bagaimanapun, sedikit penambahbaikan mungkin perlu dilakukan, iaitu dengan merekodkan penyelidikan yang telah dilakukan terhadap satu-satu isu atau permasalahan. Sejauh mana kekuatan penyelidikan itu, ia akan dilihat secara bersama dan ketelusan ini membuka ruang kepada pandangan-pandangan yang lebih kuat yang memungkinkan hasil dan keputusan lebih tepat dan lebih benar sifatnya.
Semangat
Dari satu segi lagi apabila sesebuah negeri mengesahkan satu-satu fatwa kebangsaan, kerana negeri mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak, mungkin terdapat ahli fatwa yang tidak bersetuju, maka perkara ini wajar untuk direkodkan berserta alasan mengapa mereka tidak bersetuju. Ini melambangkan ketelusan dan semangat khilafiah yang berlaku di kalangan ulama.
Pelancaran Sudut Hukum IKIM yang dilancarkan semalam menghidupkan lagi aktiviti penyelidikan dan pengumpulan bahan berkaitan fatwa dan hukum di negara ini.
Walaupun dari segi fizikalnya hanya berkeluasan berbelas meter, prasarana yang ditempatkan di sudut ini, memungkinkan IKIM untuk menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak yang berkaitan dengan pembangunan institusi fatwa dan hukum sama ada di dalam mahupun di luar negara, terutamanya negara-negara Islam seperti Kuwait, bahkan dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat melalui Harvard University, yang memiliki pusat sumber fatwanya sendiri dalam bidang-bidang tertentu.
Peranan Sudut Hukum IKIM akan menjadi pusat pengumpulan fatwa yang telah diwartakan di dalam negara dan fatwa-fatwa luar negara yang relevan untuk dijadikan sebagai panduan kepada umat Islam di Malaysia. Ia juga mengumpul bahan-bahan kajian terkini berkaitan hukum dalam pelbagai bentuk seperti buku, CD, jurnal, tesis dan sebagainya.
Melalui radio IKIM.fm, Sudut Hukum IKIM akan menyelaras perbincangan yang berkaitan hal-ehwal Islam yang mempunyai kaitan dengan hukum, iaitu menjemput tokoh-tokoh dari dalam dan luar negara bagi mengemukakan pandangan berkaitan isu-isu kontemporari yang memerlukan penilaian hukum syarak.
Dengan adanya fatwa, umat Islam mempunyai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.