Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah syariah tidak boleh dipinda, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Beliau berkata Ikim berpandangan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah lengkap dan tidak perlu dipinda lagi.
“Jika ada keperluan untuk membuat pindaan, adakah undang-undang atau perlembagaan itu sendiri yang perlu dipinda?
“Atau adakah pemahaman undang-undang yang perlu memberikan gambaran secukupnya dan jelas difahami oleh pihak berkuasa yang berkenaan?” tanya beliau semasa persidangan media di institut berkenaan di sini Khamis.
Beberapa pihak mencadangkan perubahan pada Perlembagaan Persekutuan terutamanya berkaitan undang-undang yang membabitkan hak bukan Islam.
Isu itu timbul berikutan kematian pendaki Gunung Everest Sjn M. Moorthy atau Muhamad Abdullah, apabila isterinya S. Kaliammal tidak mempunyai remedi di mana-mana mahkamah bagi menentukan sama ada Moorthy seorang penganut Hindu atau beragama Islam.
Syed Ali Tawfik berkata Malaysia sudah merdeka hampir 50 tahun dan mengapa hanya sekarang seolah-olah ada masalah dengan perlembagaan itu.
Beliau berkata sekiranya perlu dilakukan sebarang pindaan, kesilapan dalam perlembagaan itu perlu ditentukan terlebih dahulu.
Beliau berkata perlembagaan Malaysia berdasarkan agama iaitu percaya kepada Tuhan.
“Sekiranya orang itu percaya bahawa agama mereka sudahpun lengkap, maka tidak perlu membuat sebarang pindaan pada agama itu,” katanya.
Syed Ali Tawfik, yang dilantik mengetuai Ikim enam bulan lepas, berkata institut berkenaan akan mengadakan dialog tertutup tidak lama lagi bersama semua pihak berkuasa berkaitan yang terbabit dalam kancah itu.
Sumber : Bernama 19/01/2006