Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ditubuhkan pada tahun 1992 telah banyak memberi maklumat Islam kepada masyarakat negara ini, sama ada menerusi penerbitan, penyelidikan, seminar, forum, latihan kepakaran atau siaran radionya. Setelah lebih sepuluh tahun bersama masyarakat, kini IKIM melangkah selangkah lagi ke hadapan dengan sumbangan terbaru dalam bentuk penjelasan hukum menerusi satu program dinamakan Sudut Hukum.
Sudut Hukum ini ialah cetusan idea Pengerusi IKIM yang mempunyai beberapa matlamat, mungkin sebahagiannya ada perbezaan dengan program-program lain seperti yang terdapat dalam akhbar atau melalui radio. Antaranya ialah:
1. Mempamerkan Islam sebagai satu agama global dan semasa yang mampu menghadapi dan menyelesaikan persoalan semasa dengan penumpuan kepada isu kontemporari.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat berkaitan dengan persoalan hukum secara komprehensif, menyeluruh dan berdasarkan penyelidikan.
3. Menarik perhatian masyarakat kepada kewujudan dan peranan IKIM sebagai sebuah institusi sumber maklumat untuk negara dan masyarakat menerusi pelbagai aktivitinya.
4. Mengenengahkan radio IKIM.fm. sebagai forum perbincangan berkaitan hal ehwal Islam semasa yang ada kaitan dengan hukum.
5. Memberi peluang kepada tokoh jemputan dalam dan luar negara mengemukakan buah fikiran mereka berkaitan dengan pelbagai isu hukum atau fatwa yang sedang dihadapi masyarakat hari ini menerusi ceramah, forum dan seumpamanya.
Pengurusan:
Buat masa ini pengurusan program ini diletakkan di bawah pengawasan Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan diseliakan oleh seorang penyelaras.
Operasi:
Sudut Hukum akan beroperasi menerusi tiga medium; penyelidikan perpustakaan, laman web dan radio IKIM.fm.
Sebarang soalan berkaitan dengan persoalan hukum boleh dikemukakan kepada Pengarah Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, IKIM atau kepada Penyelaras Sudut, IKIM. Setiap soalan akan dilayan dalam bentuk penyelidikan dan disiarkan menerusi Radio IKIM. fm dan menerusi laman web Sudut Hukum, IKIM.
Pegawai-pegawai penyelidik Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik terlibat secara langsung dengan penyelidikan di dalam program ini. Mereka akan dibantu oleh pegawai penyelidik daripada pusat-pusat lain.
Tumpuan utama program ini adalah untuk memberi maklumat hukum berkaitan dengan isu-isu semasa yang dihadapi masyarakat pada masa ini seperti isu-isu:
-bio-teknologi
-muamalat semasa (perbankan, pasaran saham dan lain-lain)
-perhubungan kaum dan antarabangsa
-alam sekitar
-pemakanan
-kesihatan
-sosial.
Selain daripada itu, isu-isu berkaitan dengan ibadat, kekeluargaan, harta benda, jenayah, kehakiman dan jihad turut juga diberi perhatian.
Kelainan program ini jika dibandingkan dengan program lain dapati dilihat dari segi penekanannya kepada isu-isu semasa kerana isu-isu ini tidak pernah berlaku pada masa dahulu yang memerlukan pembacaan dan penyelidikan terkini untuk menjelaskannya. Sementara isu-isu lain hampir semuanya telah diulas di dalam kitab-kitab fiqh tradisi dan fatwa.
Usaha IKIM ini merupakan satu sumbangan besar kepada masyarakat Islam semasa dan kepada agama Islam secara amnya.
Sekurang-kurangnya kewujudan Sudut Hukum IKIM akan menambahkan lagi sumber maklumat terbaru kepada masyarakat berkaitan dengan hukum, selain maklumat yang disumbangkan oleh agensi-agensi lain, seperti akhbar, majalah dan lain-lain.
Ruang Sudut Hukum yang terletak di tingkat bawah Perpustakaan Besar IKIM menyediakan perkhidmatan kepada para pelawat seperti penyelidik dan ilmuan tanahair dengan� pelbagai koleksi kitab dan buku berkaitan dengan fatwa dan hukum, disamping majalah-majalah ilmiah, seperti jurnal hukum dan undang-undang daripada pelbagai institusi akademik sama ada dari dalam dan luar negara, di dalam bahasa Melayu, Arab dan Inggeris. Para pelawat juga berpeluang melayari laman web Sudut Hukum untuk merujuk maklumat berkaitan dengan hukum daripada simpanan data bank yang sedia ada.
Para pelawat akan dibantu oleh petugas yang mahir dalam pencarian rujukan sama ada dalam bahasa Arab, Inggeris atau Melayu.
Dengan ini diharapkan bahawa maklumat hukum dapat disampaikan kepada masyarakat dalam bentuk yang tepat, jelas dan tidak menimbulkan kontroversi. Dengan ini juga tidak ada peluang bagi mereka yang berselindung di sebalik hukum untuk mencapai matlamat peribadi atau agenda tertentu masing-masing. Kekeliruan dalam masyarakat berkaitan dengan hukum akan dapat dielakkan. Ini berikutan penjelasan hukum akan merujuk kepada fatwa (terutamanya fatwa dalam negeri), kitab-kitab muktabar mazhab, pendapat para ilmuan terkemuka dunia Islam.
Kecelaruan dalam menjelaskan hukum telah banyak menimbulkan fitnah dalam masyarakat sama ada di dalam isu-isu yang berkaitan dengan politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan akidah. Penjelasan hukum bukan dalam bentuk penyelidikan tidak boleh dipertanggungjawabkan dari segi kesahihannya, kemantapannya dan kesannya kepada minda masyarakat khususnya masyarakat intelektual. Lihat saja isu rasuah, isu salah guna kuasa, isu tuduh menuduh, isu keadilan mahkamah dan berbagai-bagai isu lagi apabila tidak dikendalikan dengan jelas dan betul, dan juga tidak menerusi saluran yang sah akan sentiasa mengundang kecelaruan fahaman di dalam minda masyarakat. Kesedaran masyarakat tentang salah atau benar isu-isu tersebut amat berkaitan rapat dengan penjelasan hukum yang disampaikan kepada mereka dalam bentuk yang sempurna, kemas, akademik dan menerusi pendekatan yang berkesan serta mudah difahami.
IKIM memandang berat persoalan hukum yang pernah dijadikan agenda pertelagahan antara pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat Islam di negara ini. Dengan itu Sudut Hukum akan menjadi medium IKIM kepada masyarakat untuk menghayati hukum agama tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
Pakar dan ilmuan tanahair akan dijemput dari masa ke semasa untuk berkongsi pengalaman dalam merealisasikan program ini. Forum ilmiah berkaitan dengan hukum akan diatur sesuai dengan isu yang berlaku dalam masyarakat. Seminar berkaitan dengan hukum kontemporari juga akan dirancang menerusi kerjasama ulama serantau atau menerusi kerjasama institusi-insitusi pengajian tinggi tanahair dan antarabangsa.
Kepada semua pihak yang terlibat dengan hukum sama ada Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Tinggi Islam di negara ini diharap dapat bekerjasama dengan IKIM dalam usahanya mengumpul rujukan hukum yang akan ditempatkan di ruang Sudut Hukum agar ia dapat menjadi pusat rujukan hukum yang lengkap.
Lawatan kerja akan dilakukan oleh pihak IKIM, seperti ke Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri untuk mendapatkan kerjasama dengan institusi-institusi ini dalam proses penukaran dan perolehan maklumat berkaitan dengan fatwa dan keputusan mahkamah di negeri-negeri berkenaan.
Lawatan ke negara-negara Islam yang mempunyai institusi-institusi berkaitan dengan hukum akan turut diberikan tumpuan, di antaranya termasuklah negara Mesir dan Arab Saudi.
Sudut Hukum juga akan menjadi pusat penerbitan penyelidikan hukum apabila skrip jawapan dan penjelasan hukum dapat dicetak dan diedarkan kepada umum.
Al-hamdulillah pelancaran Sudut Hukum telah disempurnakan oleh Ybh. Tan Sri Pengerusi, kelmarin, 26 Januari 2006 di Dewan Besar IKIM.