TERLEPAS daripada perasaan sebarang prasangka, dan mempersoalkan niat seseorang, maka kita harus bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberikan ”ilham” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan tarikh pilihan raya negara yang kesepuluh.
Dengan terjawabnya tanda tanya yang selama ini bersarang di kepala kebanyakan orang, terutamanya orang-orang yang berkepentingan, maka yang tinggal ialah persoalan bagaimanakah sikap kita dalam menghadapi peristiwa besar negara itu.
Orang-orang yang selama ini telah pun menceburkan diri dalam kempen untuk menghadapi pilihan raya, sudah tentulah akan memperkuatkan lagi suara dan nada serta taktiknya menjelang tarikh yang selama ini tidak diketahuinya.
Orang-orang ini akan meletakkan diri mereka di tempat duduk pemandu kereta lumba, yang akan menekankan minyaknya sehabis mungkin untuk mendapatkan kemenangan.
Namun apa pun yang dilakukan orang-orang ini, harapan kita semua bahawa jadikanlah pilihan raya ini satu medan perjuangan yang sihat, beradab dan bertamadun. Anggaplah apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri bahawa pilihan raya ini diadakan sebelum bulan puasa untuk mengelakkan pencemaran yang mungkin dilakukan dalam bulan suci itu sebagai satu kenyataan yang ikhlas dan harus diterima dengan ikhlas pula. Allah melarang kita daripada terlalu banyak menaruh sangka buruk kepada orang lain.
Para ulama dan cendekiawan Islam yang pernah mempelajari al-Quran dan membaca tafsir al-Quran tentu telah sering kali bertemu malah bersyarah dan menjelaskan pengertian ayat 12 daripada surah al-Hujurat yang bermaksud; Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sesetengah daripada kamu mengumpat sesetengah yang lain…”
Maka pilihan raya mungkin menjadi satu medan ujian yang paling ketara untuk menduga para pelaku dan pejuangnya, terutamanya yang memahami isi kandungan al-Quran, untuk mempraktikkan apa yang difahaminya daripada ayat yang tersebut. Peradaban dan tamadun manusia seharusnya dijadikan wadah perjuangan dan perlawanan di mana-mana saja manusia berjuang.
Memang tepat sekali bahawa dalam menghadapi bulan puasa nanti kita seharusnya telah mempunyai azam dan cita-cita yang amat murni agar menjadikannya bulan ibadat yang lebih baik daripada bulan puasa yang silam. Maka alangkah baiknya apabila menjelangnya bulan puasa kali ini, segala kegawatan adab dan tatasusila dalam pertelagahan politik kepartian dalam merebut kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri akan reda dan sedikit demi sedikit kehidupan kita, terutamanya orang-orang yang tidak terlibat secara langsung dalam perebutan itu, akan kembali tenang dan tenteram.
Keadaan konfrontasi sekarang ini, terutamanya apabila setiap orang akan mulai memintas lawannya dengan apa cara sekalipun, sesungguhnya telah menumpahkan bahang-bahang panasnya kepada orang awam, kepada orang-orang lain yang tidak terlalu ghairah dengan perlumbaan yang kadang-kadang amat sengit dan menyakitkan itu. Dan yang terlibat ini pula adalah orang-orang yang sama-sama mengucap dua kalimat syahadah, yang menunaikan sembahyang dan puasa yang sama, yang mengeluarkan zakat serta menunaikan haji dalam bentuk dan peraturan yang sama.
Dari segi akidah, dari segi pelaksanaan hukum agama dan dari segi cara hidup, semua kita adalah orang-orang yang mengesakan Tuhan, iaitu Allah yang Maha Berkuasa. Hal ini menjadi asas kepada penyatuan umat Islam, bukan hanya di negara kita, malah di seluruh dunia, di mana saja kita berada.
Tetapi di dalam gelanggang politik, kadang-kadang hukumnya berubah. Akidah dan niat seseorang sering dipersoalkan. Amalan baik seseorang sering dipertikaikan. Matlamat orang Islam untuk mengamalkan agama berdasarkan ajaran Allah dan Rasulu-Nya sering dinafikan oleh orang Islam sendiri semata-mata kerana ingin menegakkan agenda politik tertentu.
Kalau kita mengikut ajaran yang dijelaskan oleh ayat di atas, dan juga berpandukan kepada falsafah keilmuan agama kita, maka kita semua harus menghormati perjuangan orang lain selagi ia jelas tidak bercanggah dengan agama kita. Apakah kita boleh mendakwa bahawa kita sahaja yang berjuang berlandaskan al-Quran dan sunah, sedangkan orang lain yang juga bekerja untuk agama kita nafikan segala usaha dan amalan mereka?
Saya percaya bahawa ramai orang Islam yang merasa gelisah dan kadang-kadang dukacita yang teramat sangat melihat keadaan pertelagahan politik dengan berhujahkan agama secara melulu, tanpa hormat dan sopan, dan tanpa menjaga perasaan sesama umat Islam. Gelagat ini tentulah amat menjijikkan. Bagi orang-orang begini saya yakin mereka akan merasa lega dengan ketibaan pilihan raya, kerana ramai yang beranggapan bahawa pilihan raya sekurang-kurangnya akan dapat melegakan sedikit ketegangan yang amat panas yang dirasakan sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, kita tentu sedar bahawa ketibaan tarikh pilihan raya akan lebih menarik minat orang yang selama ini amat ghairah dengan kempen-kempen kotor dan cemar untuk melipatgandakan pencemaran dan kekotoran itu. Al-Quran selalu mengingatkan kita tentang orang-orang yang sakit hatinya, maka orang-orang ini akan bertambah sakit hatinya berlipat ganda.
Namun begitu kita berharap bahawa keadaan akan berlaku sebaliknya, iaitu walau sekencang mana sekalipun kempen dalam merebutkan kerusi, maka kita seharusnya masih dapat mempertahankan nilai-nilai moral kerohanian kita, dan masih dapat mengawal kata-kata kita, emosi dan sentimen kita.
Mereka punya akal fikiran yang rasional dan dapat berfikir sendiri terhadap apa yang dibicarakan orang. Ada kalanya kita akan ditolak semata-mata kerana kata- kata kita yang membayangkan keburukan kita sendiri. Oleh itu setiap orang haruslah berhati-hati memainkan kata-katanya agar ianya tidak menjadi perangkap sendiri. Tanggungjawab kepada Allah s.w.t adalah mengatasi segala tanggungjawab dan amanah yang lain. Dosa berbohong sesama manusia haruslah dielakkan, apa lagi berbohong terhadap tanggungjawab kepada Allah.