BELANJAWAN yang dibentang oleh kerajaan dua minggu lalu merupakan belanjawan penyayang dengan ganjaran dan imbuhan yang perlu dan sesuai dengan individu, masyarakat dan institusi-institusi yang tertentu.
Banyak pihak merasa lega dan menghargai belanjawan itu yang memberikan kadar perbelanjaan yang lebih selesa untuk menghadapi tekanan hidup yang lebih mendesak.
Pada saya dua sektor yang diberikan perhatian khusus belanjawan tersebut yang amat baik ialah peruntukan untuk pendidikan dan agama. Peruntukan yang ditambah di dalam dua sektor ini amatlah penting sebagai satu penanam modal jangka panjang dan jangka pendek yang diharapkan akan membuahkan pulangan yang amat berharga untuk bangsa dan negara kita.
Langkah ini sejajar dengan matlamat kita untuk melahirkan generasi yang berpendidikan dan beragama pada masa akan datang. Generasi akan datang inilah yang merupakan pertaruhan kita untuk menentukan pembangunan peradaban dan tamadun kita, dan menentukan jatuh bangunnya bangsa dan negara kita di tengah-tengah pergelutan masyarakat antarabangsa yang semakin terasa dan menjalarnya sifat tindas menindas sesama sendiri.
Oleh itu, dalam setiap belanjawan, kita haruslah melihatnya dari dua dimensi, iaitu dari segi kuantiti dan kualiti pengurusannya. Tidak semestinya kualiti yang banyak dan jumlah peruntukan ratusan juta untuk sesuatu agensi atau badan tertentu itu dapat menggambarkan kemajuan dan peningkatan kualiti agenda kerjanya yang bakal dicapainya dengan jumlah wang yang banyak itu.
Hal ini sama juga dengan diri seseorang yang kaya, iaitu tidak semestinya seorang yang kaya itu benar-benar dapat menguruskan kekayaannya untuk menjadi seorang yang berkualiti tinggi dari segi fizikal, mental dan kerohaniannya. Peruntukan wang yang agak besar bagi program pendidikan agama bagi meningkatkan moral kekeluargaan, peningkatan kerohanian dan akidah umpamanya, belum dapat menjamin peningkatan tahap pencapaian bidang-bidang tersebut dengan baik, sekiranya pengurusan wang itu tidak dapat dijalankan secara yang bijak dan sesuai dengan keutamaan yang harus dirancangkan dengan baik pula.
Kita mungkin sedar bahawa dalam bidang pendidikan agama, negara selalunya agak pemurah untuk menghulurkan bantuan, peruntukan wang yang banyak dan penyediaan belanjawan yang memuaskan, tetapi kesannya mungkin tidak setimpal dengan perbelanjaan yang banyak dan peruntukan yang pemurah itu. Demikian juga dengan agenda dan program-program keagamaan dalam mendidik masyarakat untuk memahami ajaran dan nilai-nilai agama secara holistik dan menyeluruh, peruntukannya juga agak banyak, malah perbelanjaannya juga telah banyak di lakukan, tetapi hasilnya masih boleh dipersoalkan.
Sebab itulah saya sebutkan di atas bahawa peruntukan yang besar belum tentu dapat menjamin kualiti pelaksanaan yang diharap-harapkan daripada peruntukan yang besar itu, iaitu sekiranya pengurusan perbelanjaan itu tidak dapat dijalankan dengan bijak dan berkesan.
Dalam bidang pendidikan agama umpamanya, pertama sekali kita haruslah memahami konsep dan matlamat pendidikan agama itu serta objektif pendidikan yang hendak kita capai serta jenis manusia berpendidikan agama seperti manakah yang hendak kita hasilkan.
Terdapat pandangan yang banyak dan tidak seragam dalam menentukan objektif pendidikan agama ini. Ada orang yang apabila disebut pendidikan agama, maka tujuannya ialah memberikan kemahiran dalam bahasa Arab dan agama. Kefahaman tentang pendidikan agama ini pada pandangan mereka hanyalah pada penguasaan bahasa Arab dan subjek-subjek agama tradisional yang telah diwarisi berkurun-kurun lamanya itu, tidak lain dari itu. Oleh itu mereka akan mengatakan bahawa pendidikan agama yang tidak menekankan kemahiran bahasa Arab, maka ia masih tidak diakui sebagai agenda pendidikan agama yang mantap dan diakui.
Maka di sini timbullah berbagai-bagai model institusi pengajian agama yang hendak dicontohi dan dilaksanakan di negara kita ini. Dan berasaskan kepada fahaman ini maka kita telah dapat melihat program pendidikan agama kita banyak bergantung kepada model Timur Tengah, khususnya Universiti al-Azhar, dan akhir-akhir ini terdapat juga model seperti Universiti Madinah.
Memanglah kita akui bahawa model ini merupakan model terbaik dari segi pemantapan pengajian agama yang merangkumi program pengajian teras agama yang asasi, dan pengajian yang mendalami tentang ilmu wahyu dengan rujukan khusus kepada sumber-sumber utama Islam iaitu al-Quran dan sunah. Sebab itulah pelajar-pelajarnya perlu mendalami dan menguasai bahasa Arab dan mempelajari segala macam cabang ilmu yang berkaitan dengan pengajian al-Quran dan sunah.
Konsep pengajian agama dalam model ini adalah merupakan pengajian teras yang sepatutnya tidak hanya boleh dipelajari di institusi pendidikan khusus bagi tujuan tersebut sahaja, malah pengajian teras ini haruslah diolah dan susun semula dengan secara yang bijak, dengan diberikan keutamaan-keutamaan yang tertentu, yang seharusnya diperkenalkan bagi segala peringkat pengajian dan untuk dipelajari oleh semua pelajar.
Pelajaran asasi agama yang berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak manusia seharusnya merupakan program pengajian yang disediakan bagi semua orang Islam sejak dari peringkat rendah lagi. Yang diperlukan di sini ialah kecekapan dan kemahiran bagaimana menyusun kurikulum yang sesuai dan terkini berdasarkan pendekatan moden dan keperluan manusia dalam masyarakat abad baru ini, tanpa mengorbankan prinsip-prinsip agama dan nilainya.
Dari itu dalam mengarahkan kiblat kita kepada Timur Tengah dengan mengambil institusi pendidikan di sini sebagai model, kita harus juga melihat kepada aspek-aspek kurikulum dan pengisiannya serta produk yang dihasilkannya, terutamanya menjelang abad baru dan alaf baru ini, apakah manusia yang dikeluarkan sekarang ini masih lahir dalam bentuk lama yang mungkin sesuai dengan abad lama dan fesyen lama, atau apakah hasilnya itu sememangnya amat kebal dan perkasa sehingga ia dapat menyesuaikan dirinya dengan semua keadaan di sepanjang masa.
Hal ini tentulah lebih memerlukan banyak kajian dan penganalisisan tentang berbagai-bagai aspek institusi pengajian yang hendak kita jadikan model ini. Kajian ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa kerana semua keadaan di dalam dunia ini sering mengalami perubahan dan perkembangan, maka pendidikan agama juga seharusnya mengalami perubahan dan perkembangan sesuai dengan perkembangan alam seluruhnya. Hal ini tidak bererti bahawa kita perlu mengubah prinsip dan dasar agama, tetapi yang perlu kita ubah ialah metodologi dan pendekatannya, orientasi pengolahan ilmu dan pendidikan gurunya serta hal-hal lain yang sama sekali tidak menyentuh isu akidah dan hukum hakam agama yang jelas.
Itulah satu contohnya bagaimana kita seharusnya bijak mengkaji sesuatu agenda yang telah diberikan peruntukan wang yang banyak. Wang yang banyak itu tidak semestinya dibelanjakan dengan hanya menambah bangunan rumah yang sedia ada tanpa sebarang rombakan yang lebih kemas kini dan sesuai dengan semua keadaan cuaca yang sentiasa berubah-ubah. Malah kalau perlu mungkin kita seharusnya meroboh rumah yang lama itu untuk digantikan dengan bangunan baru yang lebih sesuai. Dalam ibarat ini juga kita tentulah lebih memerlukan model rumah dan kelengkapannya yang sesuai dengan iklim dan keadaan kita sendiri, kerana kita saja yang lebih mengetahui tentang diri kita. Model orang lain mungkin boleh diambil sekadar menampung dasar dan prinsipnya saja.