Empat hari memasuki tahun baru, ingatan kita kepada tahun 2001 bercampur aduk di antara perasaan duka dan suka. Kita berdukacita kerana peristiwa-peristiwa sedih dan buruk yang berlaku dalam tahun lalu itu, dan sebaliknya kita merasa sukacita kerana kita diberikan Allah s.w.t. kesihatan dan ketenteraman di dalam diri kita dan masyarakat di sekeliling. Bagaimanapun, sama ada suka atau sebaliknya, kita bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas segala pemberian dan takdir-Nya. Kita bersyukur atas segala nikmatnya, dan kita juga mengakui serta mengambil iktibar di atas segala peristiwa yang menimpa kita yang membawa kepada rasa kecewa dan dukacita.
Apa sahaja yang telah berlaku kepada kita, sekurang-kurangnya tiga perkara telah menjadi kenyataan tentang masa yang berlalu dan masa yang akan datang.
1. Masa itu telah berlalu dan beredar dengan amat pantas sekali. Sebelum menjelang abad ke-21 dan alaf baru, kita merasa masa yang akan kita sambut itu agak jauh dari kita. Namun kini apabila abad dan alaf baru itu telah kita alami, maka abad itu terasa amat cepat pula berlalu, sehingga kita telah pun masuk ke tahun ketiga abad baru itu.
2. Masa dan waktu yang berlalu itu tidak akan kembali dan tidak akan dapat ditukar ganti lagi. Menurut kata para bijak pandai bahawa walaupun setiap hari kita menerima kedatangan fajar baru setiap subuh, tetapi sebenarnya fajar itu memberitahu kepada manusia, bahawa setiap hari ia adalah fajar yang berbeza. Fajar hari yang lalu itu tetap telah pergi dan tidak akan kembali lagi, oleh itu manusia haruslah memanfaatkan kedatangan fajar setiap hari dengan sebaik-baiknya.
3. Masa dan waktu adalah sesuatu yang amat tinggi nilai dan harganya. Orang yang tidak memahami dan tidak mengerti nilai dan harga waktu, pada suatu hari nanti akan menyesal dan berdukacita dengan masa lalu yang telah terlepas dari genggamannya. Orang begini sering menanti dan menangguh-nangguhkan penggunaan waktu. Sesuatu yang boleh dilakukan pada hari ini, akan ditangguhkan pelaksanaannya hingga esok hari. Tugas yang seharusnya dilakukan dengan serta- merta akan ditangguhkannya ke saat yang lain. Dengan itu banyak peluangnya akan terlepas, dan dia akan merasa kesal dengan tindakannya melengah-lengahkan penggunaan waktu.
Kita sering membaca atau mendengar pesanan Rasulullah s.a.w. tentang peluang yang seharusnya diambil oleh manusia ketika masih hidup di atas dunia, iaitu pesanannya supaya manusia mengambil kesempatan akan lima perkara sebelum tibanya lima perkara yang lain, iaitu masa senang sebelum masa susah, masa lapang sebelum masa sibuk, masa muda sebelum tibanya hari tua, masa sihat sebelum sakit, dan masa hidup sebelum tibanya masa kematian.
Semua masa dan ketika yang harus diambil kesempatan itu merupakan masa-masa yang dialami setiap manusia, yang dengan sendirinya menjelaskan bahawa setiap detik dan saat di dalam kehidupan ini, semuanya adalah merupakan masa yang berharga dan amat tinggi nilainya. Kita tidak seharusnya berlengah-lengah untuk bekerja keras dan beramal untuk berbakti kepada Allah s.w.t., dan kepada sesama manusia sepanjang hayat dan alam setiap saat kehidupan kita. Kita tidak perlu menunggu hingga ke hari tua untuk beramal ibadat atau berkhidmat kepada masyarakat, atau menunggu masa bersara untuk melakukan kerja sukarela umpamanya.
Allah s.w.t. telah memberi peringatan kepada manusia tentang masa yang disia-siakan semasa hidup mereka. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Ya Tuhanku, mengapakah Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, maka aku akan dapat bersedekah dan aku akan termasuk ke dalam golongan orang-orang yang soleh. (Surah al-Munafiqun ayat 10)
Ayat ini difirmankan oleh Allah s.w.t. bagi menggambarkan penyesalan orang-orang yang telah kehilangan masa hidupnya daripada berbuat bakti iaitu bersedekah, sehingga ketika tiba masa kematiannya dia memohon supaya diberikan kesempatan kepadanya untuk berbuat bakti sesama manusia seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Permintaannya ini tentulah amat terlewat, kerana pada saat itu dia sebenarnya telah berada di ambang kematian yang telah ditetapkan Allah s.w.t.
Allah s.w.t. juga menjelaskan bahawa ketika manusia dibangkitkan dari kuburnya dan dipaparkan segala amalannya di dunia untuk diberikan balasan, maka mereka yang dimasukkan ke dalam neraka akan berangan-angan dan mengharapkan agar mereka diberi peluang untuk kembali sekali lagi menjalani kehidupan di dunia agar dengan itu dapatlah mereka mengerjakan segala amal soleh dan berbakti kepada Allah s.w.t. yang telah luput daripada mereka ketika mereka hidup di dunia pada masa dahulu.
Allah s.w.t. berfirman dalam konteks ini yang bermaksud:
Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami, nescaya kami akan mengerjakan amalan yang soleh berbeza dari apa yang kami amalkan (dulu). (Surah Fatir ayat 37)
Harapan ini juga merupakan angan-angan yang sia-sia, kerana masa yang telah berlalu itu tidak akan dikembalikan lagi, dan penyesalan yang dilahirkan itu merupakan sesal tak sudah yang tidak mungkin dipenuhi lagi.
Maka kedua-dua ayat ini jelas memberi panduan dan pengajaran tentang kepentingan keseluruhan masa yang ada pada kita, apa lagi dalam menghadapi zaman yang serba moden dan penuh persaingan ini, iaitu ketika semua manusia berlumba-lumba merebut masa dan peluang untuk meningkatkan mutu dan kualiti hidup mereka masing-masing.
Kesimpulannya mengejar masa dan peluang adalah mengejar ilmu dan pengetahuan, dan mendapatkan ilmu dan pengetahuan adalah untuk dimanfaatkan seumur hidup untuk kepentingan kehidupan di dunia dan akhirat. Kepentingan ilmu pengetahuan dapatlah dimanifestasikan di alam pekerjaan dan tanggungjawab kita sebagai insan, sebagai hamba dan khalifah Allah dan sebagai umat yang memeluk agama suci yang terbesar. Umat terbilang dan tinggi ialah umat yang berkualiti tinggi dalam segala bidang kehidupannya.
Ketika menyambut tahun baru 2002, kita haruslah bertanya diri sendiri, apakah yang telah kita capai pada tahun lalu? Apakah yang telah kita sumbangkan kepada agama, bangsa dan negara kita sepanjang tahun lalu?