Nampaknya dunia Islam menghadapi kekeliruan yang besar pada hari ini akibat beberapa perkembangan yang berlaku dalam masyarakat Islam disebabkan oleh unsur dalaman dan luaran. Kekeliruan itu mengambil bentuk kehancuran kepada diri sendiri, cetusan emosi dan sentimen yang melampau dan ketidaktentuan pemikiran kerana ketandusan ilmu pengetahuan yang mencukupi.
Peristiwa 11 September akan menghantui umat Islam sehingga ke suatu masa yang amat panjang. Umat Islam akan sentiasa dibelenggu oleh perasaan takut, gerun dan bimbang selama hidupnya dalam dunia yang amat mengancam ini.
Kini nampak dengan jelas sekali tekanan terhadap masyarakat Islam dengan ancaman serangan ke atas negara-negara Islam, serangan yang mungkin akan dilancarkan ke atas negara Islam lain seperti yang telah dan sedang berlaku di Afghanistan, kesediaan Israel untuk membantu India, kumpulan-kumpulan Islam yang menjadi sasaran di Asia Tengah, dan gerakan-gerakan lain untuk menghapuskan golongan militan dan `keganasan’ Islam.
Perkembangan semua ini amat mengharu-birukan masyarakat Islam sehingga ramai orang Islam yang tidak tahu lagi membuat pertimbangan yang waras, dan tidak pun tahu apakah keadaan sebenar yang melanda masyarakat Islam.
Masyarakat kita sendiri berhadapan dengan keadaan yang mengelirukan akibat daripada beberapa perkembangan terakhir yang berlaku disebabkan oleh kenyataan-kenyataan yang dibuat di dalam media tentang peristiwa-peristiwa yang berlaku di sini.
Kenyataan tentang sandiwara golongan Al-Ma’unah, pelajar-pelajar IPT berkempen dalam pilihan raya, seruan jihad yang pernah ditimbulkan untuk membantu Afghanistan amat mengelirukan pemikiran orang ramai, khususnya yang tidak terlibat dalam aktiviti politik secara langsung, atau yang lebih cenderung untuk melihat kepada sesuatu kes dan isu secara ilmu berasaskan fakta dan hakikat yang sebenarnya, tanpa dicampuradukkan oleh sikap taksub politik kepartian, emosi, sentimen melulu dan sebagainya.
Orang awam yang tidak terlibat dengan kefahaman kepartian melulu akan menjadi bingung dengan pendirian orang politik yang membuat kenyataan-kenyataan yang amat bercanggah di antara satu dengan yang lain.
Mereka akan menjadi keliru dengan isu-isu yang dibangkitkan itu, terutamanya yang menyentuh satu perkara besar seperti kes kumpulan Al-Ma’unah yang dikatakan sebagai satu permainan sandiwara. Mereka tidak dapat memahami persoalan yang dibangkitkan, malah konotasi dan konsep sandiwara itu sendiri tidak dapat dimengertikan dengan sebaik-baiknya.
Oleh itu orang ramai akan menjadi bingung dan kehairanan dengan perkara yang dibangkitkan itu, terutamanya orang yang tidak dapat memahami antara kenyataan yang dibuat, sama ada ia merupakan kenyataan politik kepartian yang sempit atau kenyataan sebenar yang berasaskan sebab yang rasional dan logik. Orang awam sering tidak dapat membezakan antara kenyataan yang berbau politik yang berkepentingan dengan kenyataan yang berasaskan kenyataan dan realiti sesuatu isu yang dibicarakan itu.
Perkara inilah yang sering mengelirukan pandangan umum masyarakat kita, terutamanya masyarakat Islam, yang sering berhadapan dengan berbagai-bagai isu, termasuk isu agama, yang dipolitikkan sebegitu rupa, sehingga persoalan agama itu menjadi persoalan politik kepartian yang amat sempit.
Ketika berbincang tentang jihad umpamanya, maka kenyataan yang berbentuk ilmu tentang konsep dan pelaksanaan jihad sebagai satu perjuangan untuk kebaikan umat dan kebajikannya telah disalah mengertikan dengan kefahaman politik yang membataskan konsep jihad sebagai peperangan sabil, atau holy war yang sering diterjemahkan secara salah oleh media Barat untuk merosakkan imej Islam itu sendiri, sehingga dengan itu Islam kelihatan amat gemar berperang.
Jihad dalam pengertian perjuangan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan umat, memartabatkan kehidupan rohani dan jasmani yang tinggi, menghapus kemiskinan dan kemunduran, melawan hawa nafsu buas di dalam diri sendiri, mengangkat nama agama dan umat di mata dunia secara yang bertamadun dan sebagainya sering tidak diperkatakan dengan sebaik-baiknya. Malah semua perjuangan itu sering tidak dilabelkan sebagai jihad, kerana jihad hanya diberikan pengertian sebagai peperangan bersenjata, membunuh dan menumpahkan darah.
Jihad dalam pengertian mempertahankan diri sering tidak dianalisis dengan teliti, seolah-olah Islam ini hanyalah agama untuk menyerang dan melakukan tindakan secara agresif dan keras. Menurut pengertian jihad yang sebenarnya, jika terdapat musuh yang datang menyerang orang awam di kalangan kita, maka hal itu tidak menjustifikasikan kita untuk menyerang orang awam mereka. Kita hanya akan membalas serangan terhadap orang atau kumpulan yang bertindak menyerang kita sahaja.
Pengertian-pengertian begini mestilah difahami dan dihayati oleh umat Islam, dan dijelaskan secara menyeluruh kepada orang bukan Islam, termasuk musuh sendiri, supaya mereka mengerti realiti hidup umat Islam ini, dan batas-batas serta sempadan-sempadan yang berada dalam agama kita yang wajib dihayati oleh umat Islam sendiri supaya dengan itu orang lain akan menghormati agama dan umat kita.
Di sinilah terletaknya kepentingan penghayatan Islam dan pelaksanaannya yang berasaskan ilmu pengetahuan dan tasawur yang lengkap tentang agama Islam itu sendiri.
Kebangkitan Islam yang bermula pada tahun-tahun tujuh puluhan, iaitu ketika umat Islam berusaha untuk kembali kepada agama dan menghayati serta merealisasikan nilai-nilai dan ajaran-ajaran agama dalam segala aspek kehidupan merupakan satu titik permulaan yang amat baik untuk umat Islam kembali menghayati dan membangunkan tamadun umat dan kecemerlangannya seperti yang pernah berlaku dalam sejarah umat ini.
Tetapi sayangnya agenda penghayatan Islam itu tidak membangun sejajar dengan pembangunan ilmu pengetahuan umat Islam itu sendiri, maka kepantasan kebangkitan Islam itu tidak disertai dengan pembangunan ilmu, akibatnya kebangkitan Islam sering diwarnai oleh emosi dan sentimen, kejahilan dan kecetekan berfikir, maka dengan itu umat Islam terperangkap ke dalam jerat penjajahan dan kejahilan, dan umat Islam menjadi umat yang emosional dan bebal.
Amat malang lagi, dalam keadaan ini, terdapat golongan-golongan yang berilmu dan profesional sendiri sering terperangkap dalam kelemahan-kelemahan ini, terutamanya ketika berhadapan dengan isu-isu besar dan global yang sering dikaitkan dengan agama, maka mereka akan terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan yang berbentuk fatwa sedangkan kenyataan-kenyataan itu bukanlah fatwa yang sebenarnya.
Oleh itu dalam memahami sesuatu isu negara, saya rasa orang awam seharusnya lebih peka kepada kenyataan yang sebenar dan pemikiran yang rasional berasaskan fakta dan hakikat sama ada yang berkaitan dengan perundangan, keselamatan dan realiti hidup kita di negara kita sendiri. Kenyataan-kenyataan yang berbentuk sandiwara atau lakonan dan sebagainya itu haruslah ditapis dengan teliti supaya umat Islam tidak selama-lamanya terperangkap dalam jebak yang dipasangnya sendiri.