Tanggal 13 Februari merupakan tarikh istimewa bagi warga penyiaran khususnya radio. Tarikh berkenaan diisytiharkan sebagai Hari Radio Sedunia (World Radio Day) oleh negara anggota UNESCO dan diterima pakai oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2012. Hari Radio Sedunia bertujuan menghargai penyiar atas dedikasi tinggi melalui berita yang disampaikan, suara dan rintihan yang diangkat, dan kisah yang dikongsikan mereka bagi meraih perhatian pendengar. Selain itu, ia juga bertujuan mengiktiraf peranan radio sebagai medium komunikasi yang berdaya tahan, inklusif, dan berpengaruh dalam membentuk pemikiran masyarakat.
Meskipun kini landskap media didominasi oleh platform digital dan media sosial, radio kekal relevan sebagai wahana penyebaran maklumat yang berteraskan nilai, suara komuniti, dan pendidikan awam. Radio juga merupakan medium penting untuk meraikan kepelbagaian yang dimiliki masyarakat atau bangsa dan berfungsi sebagai platform bagi wacana demokratik. Pada peringkat global, radio kekal sebagai medium yang paling meluas penggunaannya. Radio memiliki keupayaan yang unik untuk menjangkau khalayak yang paling luas, sekali gus membolehkannya membentuk kepelbagaian dalam pengalaman masyarakat. Pada masa yang sama, radio menawarkan ruang untuk sesiapa sahaja menyatakan pandangan atau juga peluang untuk diwakili dan didengari. Keistimewaan radio juga terserlah melalui peranannya untuk menyatukan komuniti dan memupuk dialog positif ke arah perubahan. Selain itu, radio berperanan penting untuk menangani cabaran yang dihadapi dari semasa ke semasa, iaitu dengan mendengar serta memenuhi keperluan pendengarnya.
Sambutan tahun ini yang bertemakan “Radio dan AI (Kecerdasan Buatan)” menunjukkan bahawa lembaran baharu dibuka dalam sejarah penyiaran radio. AI bukan sekadar cabaran yang perlu ditangani, malah merupakan peluang untuk menstruktur semula peranan radio secara lebih berhemah, kreatif, dan memperkukuh hubungan dengan pendengar. Selain itu, AI juga berperanan mencabar industri radio untuk menyasarkan cita-cita lebih tinggi, meluaskan jangkauan, di samping menghargai masa, keupayaan intelektual, dan jangkaan pendengar
Perbahasan tentang kesan yang diakibatkan AI kepada industri atau dunia penyiaran merumuskan bahawa ia boleh dimanfaatkan sebagai alat sokongan strategik yang memperkukuh, bukannya menggantikan peranan manusia. Penggunaan AI dapat meningkatkan penglibatan pendengar tanpa menjejaskan keaslian siaran langsung, mengurangkan beban pentadbiran pasukan kreatif, serta memperhalusi nilai komersial melalui pengiklanan yang lebih bersasar. Dengan yang demikian, radio dapat mewujudkan pengalaman yang lebih dinamik, cekap, dan relevan. Pendekatan ini membolehkan penyampai dan penerbit menumpukan perhatian pada penyampaian kreatif dan hubungan emosi dengan pendengar dan pada masa yang sama, memastikan kelangsungan dan daya saing radio dalam landskap media berasaskan teknologi.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kekuatan terbesar radio terletak pada personaliti penyampai dan hubungan setempat. Medium ini terbina atas kepercayaan dan persahabatan yang terjalin antara radio dengan pendengar. Dalam hubungan ini, penyampai berperanan sebagai pembimbing dan suara yang dikenali untuk memberikan konteks, berkongsi cerita, serta mewujudkan rasa kebersamaan dalam komuniti. Sentuhan manusiawi inilah yang menjadi kelebihan strategik yang terbesar, iaitu pengalaman langsung yang dikongsi secara bersama, sesuatu yang masih tidak dapat ditiru atau digantikan oleh algoritma.
Sambutan Hari Radio Sedunia tahun ini amat bermakna bagi IKIMfm yang menyambut suku dekad penubuhannya, iaitu pada 6 Julai 2001. Sejak penubuhannya, IKIMfm membawa misi yang jelas, iaitu sebagai wahana pendidikan, dakwah, dan hiburan yang berteraskan nilai Islam sejagat. Dalam tempoh 25 tahun ini, IKIMfm telah membuktikan bahawa radio bukan sekadar alat penyampai bicara, tetapi juga wahana pembentukan, pendidikan, serta penyatuan jiwa. Dalam hubungan ini, IKIMfm mengangkat suara ilmuwan, profesional, dan pendakwah bagi membincangkan persoalan penting dalam kehidupan dari perspektif Islam melalui rancangan bual bicara ilmiah, perbahasan isu semasa, analisis sosial, serta program kerohanian. Usaha ini amat penting dalam suasana masyarakat yang berhadapan dengan cabaran kekeliruan nilai, krisis identiti, dan ledakan maklumat tanpa sempadan.
Kekuatan IKIMfm juga terletak pada keupayaan untuk menyantuni segenap lapisan umur serta kemahiran untuk menggabungkan tradisi keilmuan Islam dengan realiti semasa. Pelbagai isu penting seperti hubungan kekeluargaan, kehidupan bersama secara aman, cabaran dalam bidang syariah, perundangan serta ekonomi di samping persoalan tadbir urus, teknologi, kelestarian alam, dan kesihatan mental dibincangkan secara matang serta berhemah. Pendekatan ini menjadikan IKIMfm bukan sahaja relevan kepada pendengar Muslim, malah turut menarik minat masyarakat bukan Islam yang menghargai perbincangan wacana berasaskan etika, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan sejagat. Selain itu, kepelbagaian rancangan yang menawarkan 60 peratus siaran berbahasa Melayu dan 40 peratus dalam bahasa lain telah berjaya menarik pendengar dari dalam dan luar negara, sekali gus membuktikan bahawa kejayaan IKIMfm dalam mencapai matlamatnya. Keunikan ini disemarakkan lagi dengan pengiktirafan melalui anugerah yang diterima pada peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Suku dekad perjalanan IKIMfm juga mencerminkan komitmen terhadap pembinaan masyarakat berilmu dan berakhlak. Dengan penjenamaan baharu berteraskan konsep inspirasi, kepelbagaian kandungan ilmiah dan santai, IKIMfm membuktikan ia bukan sekadar stesen hiburan, tetapi medium pendidikan rohani yang mendidik serta meneguhkan jiwa. Dalam era digital, cabaran terbesar radio ialah perubahan tabiat pendengar, khususnya generasi muda. Namun, IKIMfm tidak ketinggalan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan ini bagi memastikan ia kekal relevan. Dalam hubungan ini, IKIMfm terus memperkukuh peranan media baharu dengan memanfaatkan pelbagai bentuk platform digital di samping siaran melalui 15 pemancar di seluruh negara. Pendekatan ini mencerminkan keupayaan IKIMfm menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pantas, sekali gus menuntut perancangan strategik yang berterusan oleh Bahagian Media Baharu untuk menghadapi cabaran masa depan. Usaha ini juga selari dengan semangat Hari Radio Sedunia yang menekankan inovasi dan kebolehcapaian radio dalam dunia moden.
IKIMfm wajar terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan wacana Islam kontemporari, khususnya dalam mendepani cabaran globalisasi, kepelbagaian budaya, dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan. IKIMfm juga perlu terus membawa mesej Islam yang sederhana, tidak melampau, dan berpaksikan realiti masyarakat Malaysia kepada semua lapisan masyarakat dalam pelbagai bahasa. Suku dekad IKIMfm merupakan bukti bahawa berasaskan ilmu dan nilai, penyiaran radio dapat melaksanakan tanggungjawab membina keperibadian insan dan peradaban bangsa dengan berkesan. Dengan kata-kata lain, kepercayaan pendengar tidak terhasil daripada kemajuan teknologi semata-mata, tetapi dibina melalui suara penyiar yang berilmu, berintegriti, dan berteraskan nilai Islam. Oleh yang demikian, AI seharusnya dimanfaatkan oleh IKIMfm hanya sebagai alat atau sokongan semata-mata dan bukan sebagai tunjang yang menggantikan tugas penyampai. Dengan demikian, peranan radio dapat terus dikukuhkan sebagai medium dakwah serta pendidikan dengan sentuhan manusiawi yang mampu mengekalkan kepercayaan dan keakraban dengan pendengar.

