Apabila berlaku insiden keganasan di sekolah, reaksi pertama masyarakat biasanya tertumpu kepada keselamatan fizikal. Mereka akan bertanya bagaimana senjata boleh dibawa masuk, di mana pengawal keselamatan, adakah CCTV mencukupi, dan apakah prosedur kawalan pintu masuk sekolah. Soalan-soalan ini sememangnya wajar dan penting. Namun, jika keselamatan sekolah hanya difahami sebagai isu pagar, pintu, pengawal dan kamera, kita mungkin terlepas dimensi yang lebih mendalam, iaitu keselamatan psikologi dan psikososial.
Sekolah yang selamat bukan sekadar sekolah yang sukar dimasuki oleh orang luar. Sekolah yang selamat ialah sekolah yang membolehkan murid berasa cukup yakin untuk bersuara, meminta bantuan dan melaporkan kebimbangan tanpa takut dihukum, dipersalahkan atau dipermalukan. Inilah asas keselamatan psikologi. Dalam budaya sekolah yang sihat, murid boleh memberitahu guru bahawa mereka dibuli, diugut, dipulaukan, terlalu tertekan, tidak mampu mengawal kemarahan, atau takut kepada seseorang. Guru pula perlu berasa selamat untuk melaporkan perubahan tingkah laku murid tanpa bimbang dianggap gagal mengurus kelas, atau nanti akan mencemarkan imej dan prestasi sekolah.
Keselamatan psikologi penting kerana banyak krisis tidak bermula pada hari kejadian. Ia mungkin bermula lebih awal melalui konflik kecil, ejekan berulang, salah faham sosial, tekanan akademik, pergaduhan rakan sebaya, masalah keluarga, kemurungan, keresahan, trauma, atau rasa terpinggir. Jika murid tidak mempunyai saluran selamat untuk menyatakan tekanan ini, masalah boleh menjadi tersembunyi. Apabila tekanan terkumpul terlalu lama, ia mungkin muncul dalam bentuk ledakan emosi, tingkah laku agresif, kecederaan diri, ponteng, penarikan diri atau konflik serius, yang akhirnya menjadi ancaman kepada kesihatan awam.
Namun, keselamatan psikologi sahaja tidak mencukupi. Sekolah juga memerlukan keselamatan psikososial. Ini merujuk kepada keseluruhan ekosistem sokongan yang merangkumi hubungan rakan sebaya, budaya anti-buli, peranan guru kaunseling, kesejahteraan guru, penglibatan ibu bapa, sokongan kepada murid berkeperluan khas, dan keupayaan sekolah membuat saringan dan intervensi awal. Isu psikososial tidak boleh diletakkan di bahu guru kaunseling semata-mata. Ia memerlukan kerjasama pentadbir, guru disiplin, guru kelas, ibu bapa, komuniti, pejabat pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan agensi perlindungan kanak-kanak.
Tekanan psikologi dan psikososial bukanlah punca tunggal yang secara automatik akan melahirkan tingkah laku ganas. Ia lebih tepat difahami sebagai beban terkumpul yang boleh melemahkan daya tahan emosi seseorang, terutama apabila wujud konflik sosial, buli, trauma, kesukaran komunikasi, masalah keluarga atau kekurangan sokongan. Oleh itu, keselamatan sekolah perlu memberi perhatian bukan sahaja kepada pagar berCCTVdan kawalan fizikal, tetapi juga kepada tanda-tanda awal tekanan yang mungkin sedang ditanggung seseorang murid secara senyap.
Dalam konteks murid kategori neurodiversiti seperti autisme, ADHD atau masalah pembelajaran, sekolah perlu lebih peka terhadap tekanan yang mungkin tidak kelihatan. Sesetengah murid sukar menjelaskan rasa cemas, marah, malu, sakit, keliru atau terlalu terbeban oleh rangsangan deria. Tingkah laku mencabar tidak boleh terus dianggap sebagai degil, kurang ajar atau ganas secara semula jadi. Ia perlu dinilai bersama faktor pencetus seperti buli, rangsangan deria berlebihan, kesukaran komunikasi, perubahan rutin, masalah mental atau konflik sosial. Pada masa yang sama, diagnosis neurodiversiti juga tidak boleh dijadikan alasan automatik untuk menafikan tanggungjawab terhadap perbuatan serius. Apa yang diperlukan ialah penilaian adil, profesional dan berasaskan bukti demi mewujudkan persekitaran sekolah yang sihat, menyokong dan inklusif.
Namun, isu keselamatan fizikal tetap sangat penting. Sekolah perlu mempunyai kawalan keluar masuk yang jelas, prosedur mengurus pelawat dan murid yang berada di luar jadual biasa, pemantauan kawasan berisiko, protokol objek berbahaya, latihan respons kecemasan, pertolongan cemas asas dan komunikasi krisis dengan ibu bapa. CCTV, pengawal keselamatan dan pemeriksaan bersebab boleh membantu, tetapi langkah ini perlu dilaksanakan secara beretika, tidak memalukan murid, tidak meningkatkan stigma sedia ada, dan tidak menjadikan sekolah seperti ruang hukuman.
Menurut pandangan Islam, keselamatan sekolah merupakan amanah untuk menjaga nyawa, maruah dan kesejahteraan murid. Prinsip hifz al-nafs menuntut pencegahan mudarat, manakala nilai rahmah, ‘adl dan ihsan menuntut sekolah memahami tekanan murid secara manusiawi tanpa menafikan keadilan kepada mangsa. Oleh itu, keselamatan psikologi, psikososial dan fizikal bukan tiga perkara yang terpisah, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab moral untuk membina persekitaran pendidikan yang melindungi, menyokong dan memperbaiki keadaan sebelum krisis berlaku.
Kesilapan dasar yang perlu dielakkan ialah apabila memilih satu bentuk keselamatan sahaja. Jika sekolah hanya menambah kawalan fizikal tetapi mengabaikan buli, kesihatan mental dan tekanan sosial murid, punca sebenar krisis mungkin terus gagal diuruskan sebaiknya. Jika sekolah hanya bercakap tentang kaunseling tetapi lemah dari segi kawalan akses dan respons kecemasan, risiko kecederaan fizikal masih tinggi. Jika sekolah hanya menyalahkan individu bermasalah, sistem akan gagal belajar daripada tanda-tanda awal yang mungkin telah wujud.
Tragedi sekolah tidak seharusnya membawa kepada budaya menyalahkan, tetapi harus mendorong penilaian semula dasar. Dasar anti-buli, bimbingan dan kaunseling, intervensi krisis serta keselamatan fizikal sekolah perlu diperbaharui agar tidak bergerak secara terpisah. Keselamatan psikologi, psikososial dan fizikal perlu berada dalam satu ekosistem dasar yang sama, dengan penekanan kepada pengesanan awal, pelaporan selamat, intervensi berfasa, perlindungan mangsa, penilaian risiko dan pemulihan komuniti sekolah.
Oleh itu, keselamatan sekolah perlu difahami sebagai satu ekosistem. Keselamatan psikologi membolehkan murid bersuara. Keselamatan psikososial memastikan tekanan, konflik dan kerentanan murid ditangani secara sistematik. Keselamatan fizikal pula melindungi warga sekolah daripada bahaya nyata dan kecemasan. Ketiga-tiganya bukan pilihan yang saling menggantikan, tetapi saling melengkapi. Sekolah yang benar-benar selamat ialah sekolah yang mendengar sebelum menghukum, menyokong sebelum terlambat, dan melindungi sebelum tragedi berlaku, serta memperbaiki sistem dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

