Satu Syawal telah pun menjelang, dan telah kita rayakan bersama. Umat Islam di mana saja mereka berada menyambut ketibaan Syawal dengan penuh kesyukuran di atas kurniaan Allah s.w.t. dan berdoa semoga kehidupan mereka seterusnya akan mendapat berkat dan hidayat daripada Maha Pencipta dan Maha Berkuasa.
Kita sesungguhnya amat kagum dengan kesepaduan seluruh umat Islam dalam menyambut ketibaan bulan Ramadan dan ketibaan Syawal. Ramadan dan Syawal merupakan dua bulan suci yang tiba saban tahun untuk menguji umat dan menjanjikan ganjaran bagi mereka yang berjaya.
Falsafah kesatuan umat dalam menunaikan ibadat puasa dan merayakan kemenangan setelah selesai menunaikan ibadat puasa merupakan satu unsur kesatuan yang amat kuat dalam perhubungan silaturahim dan persaudaraan atau ukhuwah Islamiah antara sesama umat Islam.
Semangat, perasaan serta penghayatan persaudaraan sesama Islam inilah yang menanamkan rasa simpati sesama umat Islam ketika saudaranya ditimpa kemalangan atau sebarang kecelakaan.
Orang bukan Islam sering juga merasa kagum dengan semangat ini, lebih-lebih lagi setelah berlaku peristiwa 11 September yang lalu. Mereka merasa kagum dengan solidariti umat Islam dengan saudara-saudara mereka rakyat Afghanistan, Palestin, Kashmir, negara Balkan dan lain-lain.
Mereka juga amat terperanjat melihat keprihatinan umat Islam dari seluruh dunia terhadap rakyat Afghanistan, termasuk dari negara kita dan Indonesia yang terletak begitu jauh dari negara tersebut. Malah yang lebih menghairankan mereka bagaimanakah seluruh umat Islam bersimpati dengan rakyat negara Afghanistan, sedangkan mereka adalah orang Islam yang terlibat dengan golongan Taliban yang terkenal dengan sikap melampau dan militan pada pandangan mereka.
Dalam hal ini mereka sering membawa perbandingan dengan pertelagahan yang berlaku di Barat, antara golongan agama Kristian mazhab Protestan dengan Katolik. Ketika berlaku pertelagahan antara kedua-dua golongan ini, para penganut dari kedua-kedua aliran mazhab itu dari luar negara mereka tidak pun turut merasa simpati kepada saudara-saudara mereka di negara yang menyaksikan krisis tersebut, iaitu di Ireland Utara. Tidak terdapat pernyataan-pernyataan simpati atau sokongan sama ada dalam bentuk demonstrasi atau memorandum serta lain-lain yang menunjukkan sokongan kepada pihak yang tertentu dalam konflik tersebut, sedangkan dalam masyarakat Islam, seluruh dunia Islam akan bangun menyatakan simpati dan sokongan kepada saudara-saudara mereka yang menjadi mangsa kezaliman seperti yang berlaku selama ini di Palestin dan sekarang di Afghanistan.
Sebenarnya dalam konteks ini, umat Islam memanglah merupakan satu umat yang amat teguh perhubungannya dalam ikatan akidah, iaitu sesiapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah, maka dia telah tergolong ke dalam satu komuniti yang besar, iaitu telah menjadi anggota dalam sebuah masyarakat sejagat, masyarakat ummah.
Tali persaudaraan yang kuat ini pula sering dimanifestasikan dalam kesedaran dan pengucapan serta tindakan bertolong-tolongan dan rasa simpati sesama sendiri di mana sahaja umat Islam itu berada, sama ada dekat ataupun jauh.
Sokongan kepada umat Islam di Afghanistan adalah berasaskan penderitaan yang dialami oleh masyarakat Islam, iaitu saudara-saudara seagama, tanpa melihat kepada kerajaan yang memerintah di sana sama ada baik ataupun buruk. Menyokong rakyat Islam di sana semata-mata didorong oleh rasa persaudaraan dan ikatan akidah yang menyepadukan umat Islam di seluruh dunia. Sokongan diberikan kepada mereka sebagai manusia, apa lagi manusia itu diikat oleh agama yang sama. Malahan Islam mengajar kita menolong orang lain walaupun berlainan agama dan bangsa.
Hal yang sama juga dapat ditegaskan ketika membicarakan kenapa rakyat dan umat Islam di seluruh dunia menyokong rakyat Palestin dan saudara-saudara Islam di negara Balkan yang menghadapi kezaliman dan penindasan, terutamanya daripada masyarakat Barat. Semuanya ini dilakukan atas semangat persaudaraan dan perpaduan, seperti yang dianjurkan oleh agama, termasuk pengajaran yang didapati daripada amal ibadat Islam sendiri, seperti ibadat puasa, sembahyang dan sebagainya. Ikatan persaudaraan ini sebenarnya merupakan satu unsur kesatuan umat yang amat tinggi sekali sekiranya dapat diterjemahkan dalam keseluruhan perhubungan antara umat Islam.
Sebab itulah kita merasakan bahawa dalam keadaan sekarang, kesepaduan umat Islam hanya dapat dilahirkan dalam kata-kata dan pengucapan melalui lidah yang tidak bertulang. Ia tidak dapat direalisasikan dalam tindakan dan usaha bersama secara yang lebih berkesan dalam mengubah keadaan. Kita tidak mempunyai kesepaduan dari sudut kerjasama ekonomi, politik, pertahanan dan sebagainya. Kita tidak mempunyai kekuatan dari segi ilmu pengetahuan, teknologi, perindustrian dan lain-lain. Malah kita masih bercakaran sesama sendiri sehinggakan dalam isu-isu remeh-temeh, yang akhirnya sering juga membawa kepada pertelagahan berlarutan, berkonflik yang tidak berkesudahan.
Maka dalam menyambut hari baik bulan baik ini nampaknya kita hanya dapat berucap dan berbicara dengan penuh semangat, terutamanya tentang kesepaduan umat, tetapi pada hakikatnya kita amat tidak berpadu, kita berkrisis sesama sendiri, kita ditinggalkan oleh arus globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi. Malah dalam keadaan begini pun, kalau kita ingin membangunkan umat dan negara kita secara moden, sesuai dengan pembangunan moden dan terkini, maka akan terdapatlah saudara-saudara seagama kita sendiri yang kadang-kadang akan mengeluarkan suara-suara sumbang membawa rungutan-rungutan yang negatif dengan segala persepsi yang mengelirukan.
Oleh itu nampaknya dalam menyambut hari baik di bulan baik ini, kita hanya mampu mengharapkan dan berangan-angan agar umat Islam keseluruhannya benar-benar dapat berpadu dan bersatu, bangun sebagai umat yang kuat dan perkasa sehingga dihormati dunia seluruhnya. Hingga saat itu, maka kita akan tetap sahaja terus menerus berbicara dan berharap, berangan-angan dan bercita-cita.
Doa kita semoga masa cemerlang dan ketika itu akan menjelma juga akhirnya dengan izin Allah s.w.t.