Sejarah moden mencatatkan bahawa negara asing yang mempunyai kuasa besar boleh menjajah negara lain yang telah mempunyai kerajaan sendiri seperti yang berlaku di Afghanistan sekarang.
Kuasa besar dunia itu boleh pula menjatuhkan kerajaan yang dikehendakinya dan menggantikannya dengan kerajaan baru.
Cara serangan yang membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa dan menduduki negara tersebut untuk menentukan siapakah yang berhak memerintah dan mengendalikan negara tersebut dengan membelakangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merupakan satu bentuk penjajahan era baru. Penjajahan ini boleh dijustifikasikan dengan alasan-alasan tersendiri, dan dalam kes Afghanistan, alasannya ialah untuk mencari dan membinasakan seorang pengganas maka keseluruhan negara itu harus digeledah dan dimusnahkan, termasuk manusia yang berada di dalamnya.
Yang amat menarik di dalam hal ini ialah sasaran penjajahan baru itu ialah negara Islam yang sememangnya selama ini telah mengalami berbagai-bagai kelemahan dan kemunduran, termasuk cara berfikir dan bertindak sebahagian umatnya.
Kelemahan ini amat terasa ketika suara negara-negara Islam, Pertubuhan Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) tenggelam begitu sahaja di dalam suara penjajah yang lebih nyaring, atau suara OIC yang hanya kedengaran sebagai suara-suara sumbang, tidak perlu diberi perhatian oleh sesiapa pun.
Dalam keadaan ini hairankah kita andainya seorang manusia yang bernama dengan nama Islam, atau berpakaian sebagai seorang Islam, maka ia akan dimusuhi dan dijejaki setiap langkahnya di mana-mana sahaja di dunia ini? Kita pernah mendengar bahawa penumpang-penumpang Islam telah diturunkan dari pesawat yang akan berangkat ke destinasinya kerana penumpang-penumpang lain merasa tidak selesa dengan penyertaan para penumpang bakal pengganas itu? Hairankah kita andainya seorang Islam akan sering dipandang dengan jelingan permusuhan dan dicurigai segala gerak lakunya di mana-mana sahaja ia berada?
Semuanya ini berlaku akibat dari peristiwa 11 September yang mencontengkan arang di muka orang Islam walau pun punca peristiwa itu amat samar-samar. Namun seperti cerita anak penggembala kambing dengan jeritan-jeritan palsunya tentang serigala yang mahu membaham kambingnya, maka demikianlah pula kisahnya dengan orang-orang Islam yang sering terjebak di dalam peristiwa keganasan, maka sekiranya berlaku sahaja sebarang keganasan, orang Islamlah yang akan menerima tudingan jari dari semua orang lain, dan orang Islamlah yang akan menerima padahnya.
Peristiwa 11 September mencatat sejarah baru. Musuh yang selama ini berusaha menegakkan penjajahannya, akan lahir dalam bentuk yang lebih berani dan agresif. Hairankah kita andainya Yasser Arafat dikenakan tahanan di dalam rumah dan disekat pergerakannya, malah dilarang dari menghadiri perayaan Hari Natal di tanah tempat tumpah darah seorang Nabi Allah iaitu di Baitulaham?
Tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia moden bahawa seorang ketua negara akan dikenakan tindakan oleh sebuah kuasa asing di tanah tumpah darah dan negara pemimpin itu sendiri. Lebih malangnya pula bahawa tindakan ini didahului oleh serangan yang menggunakan segala peralatan tentera yang amat perkasa ke atas rakyat biasa yang berlindung di dalam khemah pelarian, yang hanya bersenjatakan batu-batu kecil dan air ludahnya sahaja.
Apabila kuasa besar bertindak mengikut undang-undang sendiri, maka kuasa-kuasa penjajahan kecil lainnya akan bertindak lebih agresif lagi, kerana tindakan ketua selalunya meluluskan tindakan pengikut setianya, terutamanya apabila pengikutnya itu merupakan anak manja yang sering dilindungi oleh ketuanya itu.
Yang menjadi korbannya siapa lagi kalau tidak orang-orang yang lemah dan kehilangan maruah serta penghormatannya. Orang inilah yang akan terdedah sepenuhnya kepada serangan dan tindakan, yang muncul seperti cerita Awang Kenit dengan gergasi gagah yang sedang bersedia untuk menggenggamnya sehingga lumat.
Jadi hairankah kita jika sekarang ini terdengar suara-suara yang mengancam akan menyerang negara-negara lain dalam dunia Islam? Hairankah kita andainya Iraq menjadi sasaran yang berikut, kemudian mungkin Somalia, kemudian mungkin Sudan, dan kemudian lagi entah negara mana pula yang akan menjadi sasaran serangan dan penaklukan?
Hairankah kita sekiranya terdapat tanda-tanda campur tangan kuasa asing di dalam urusan dalaman negara tertentu dan tindakan merencanakan cara memerintah kepada kerajaan-kerajaan tertentu?
Baru-baru ini terdengar berita dalam CNN bahawa kerajaan negara Islam yang menerima bantuan berbilion dolar setiap tahun haruslah mengawal para khatibnya supaya bantuan itu tidak ditarik balik. Para khatib yang mendedahkan keburukan penjajahan bentuk baru hendaklah diberhentikan pengucapannya itu.
Ringkasnya peristiwa 11 September memberikan banyak pengajaran kepada kita.
(1) Penjajahan bentuk baru yang mengancam dunia ketiga, terutamanya yang melibatkan negara-negara membangun dan negara Islam, semakin terserlah dan berani, malahan telah pun terlaksana.
(2) Ejen-ejen penjajahan bentuk baru yang berada di merata pelosok dunia, mulai aktif dan bertindak memudahkan kuasa besar untuk melaksanakan agendanya. Kuasa penjajahan akan bertindak mencurahkan wang dan kemudahan serta kemewahan kepada ejen-ejennya, termasuk di antara sesama bangsa dan agama yang mahu bertindak terhadap saudara-saudaranya atas kepentingan sendiri, atau permusuhan peribadi yang membuahkan dendam kesumat sesama sendiri.
(3) Umat Islam akan dijebak dan didorong untuk melakukan lebih banyak aktiviti keganasan, sama ada kerana tertipu, atau terpaksa melakukannya untuk menyelamatkan anak cucu dan negaranya pada masa yang akan datang, maka dengan itu umat Islam akan dilihat sebagai umat terus memakai topeng keganasan untuk selama-lamanya.
(4) Ada ketikanya pemikiran dan sikap orang Islam akan menjadi lebih radikal dan militan kerana diselubungi oleh emosi dan sentimen yang diapi-apikan oleh unsur luaran yang sering dilakonkan di hadapan matanya.
Oleh yang demikian, selain dari meletakkan celaan dan umpatan ke atas musuh dan penjajah, maka orang Islam haruslah mempunyai agendanya tersendiri untuk memperbaiki keadaan mereka sendiri.
Kita memerlukan lebih banyak negara Islam yang akan dapat lahir ke tengah-tengah dunia antarabangsa sebagai negara yang bermaruah, bebas mengendalikan urusan politik dan ekonominya dengan berjaya, dan menguruskan pembangunan dan pembinaan sosialnya secara dinamik, toleransi, sederhana dan sebagainya yang dapat mengangkat tarafnya sebagai negara yang berwawasan dan berwibawa mampu berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan negara dan kuasa yang lain.
Masalahnya sekarang mampukah negara-negara Islam melakukan hal yang demikian tanpa diganggu gugat oleh musuh dari luar atau dari dalam negara sendiri seperti yang kita sendiri alami di negara kita ini?