Sama ada kita sedari atau tidak, sebenarnya pada masa kini terdapat kanak-kanak yang tidak bersekolah kerana beberapa sebab yang tertentu. Oleh itu apabila dikuatkuasakan undang-undang bagi mewajibkan pendidikan rendah kepada kanak-kanak kita, maka alasan-alasan yang menyebabkan kanak-kanak kita tidak bersekolah juga haruslah dicari dan dikaji, agar sebab musabab yang menjadikan ibu bapa tidak menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah dapat difahami dan diatasi dengan sewajarnya. Dengan itu undang-undang akan dapat dikuatkuasakan dengan berkesan sekali.
Tujuan saya menyentuh perkara ini adalah juga untuk menarik perhatian kerajaan tentang agenda pendidikan agama yang kelihatan agak kusut sekarang ini, terutamanya dari sudut pemilihan pusat pengajian agama di luar negara. Masalah pemilihan pusat pengajian agama di dalam negara mungkin tidak sekusut yang berlaku ketika ibu bapa memilih tempat pengajian agama luar negara.
Masalah dalam negara mungkin hanya melibatkan beberapa buah pusat pengajian agama, sama ada peringkat rendah atau menengah yang tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan yang menawarkan kursus-kursus yang tidak selari dengan dasar pendidikan negara. Para pelajar yang mengikuti kelas-kelas pengajian di pusat-pusat pengajian swasta ini sering akan terkeluar dari arus perdana pendidikan negara dan akan berakhir menjadi lepasan yang tidak mempunyai kelayakan yang sewajarnya bagi bekerja dengan kerajaan umpamanya, iaitu seperti pelajar yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) umpamanya.
Masalah yang melibatkan pusat pengajian agama di luar negara agak rumit dari beberapa segi yang tertentu. Pertama sekali dalam mengenal pasti negara manakah yang sebenarnya mampu menyediakan tempat pengajian yang berstruktur lengkap bagi memenuhi keperluan ilmu pengetahuan dan tenaga manusia yang sewajarnya seperti yang diperlukan oleh negara kita dari sudut ilmu pengetahuannya dan kesesuaiannya dalam membangunkan budaya dan persekitaran kita, juga pembinaan tamadun dan peradaban Islam dalam pengertiannya yang global.
Isu kedua ialah mengenal pasti institusi atau pusat pengajian yang mempunyai kurikulum, sistem pembelajaran, tenaga pengajar yang berkemampuan dan berkelayakan serta suasana pendidikan formal dan tidak formalnya, sama ada semuanya itu benar-benar dapat memenuhi objektif dan tuntutan ajaran agama yang lengkap dan melahirkan lepasan yang benar-benar berkualiti dari segi rohani dan jasmaninya, semangat dan pemikirannya, juga kepekaannya tentang segala perubahan yang berlaku di dalam dunia moden dan penuh cabaran ini.
Dalam situasi yang tidak menentu ini, ibu bapa lebih banyak akan terikut-ikut pandangan umum tentang institusi pengajian agama yang agak popular di kalangan kelompok masyarakat yang tertentu ketika memilih tempat pengajian agama bagi anak-anak mereka. Malah tidak juga dinafikan bahawa dalam keadaan ini maka terdapat juga pihak-pihak tertentu yang akan mengambil peluang menjalankan publisiti di negara kita untuk memilih beberapa buah institusi luar negara yang baru atau telah lama ditubuhkan.
Maka dalam keadaan ini, saya rasa pihak Kementerian Pendidikan, haruslah mengambil inisiatif mengkaji semua pusat pengajian agama di luar negara, sama ada yang lama dan popular atau sebaliknya, iaitu untuk mendapatkan maklumat yang terkini tentang prestasi ilmu dan kesesuaiannya dengan matlamat kita bagi melahirkan insan yang berkualiti dalam bidang ilmu pengetahuan dan yang dapat menjadi warganegara penyumbang kepada pembangunan umat dan negara kita.
Tanpa petunjuk yang menggambarkan prestasi sebenar pusat-pusat pengajian agama luar negara ini kadang-kadang kita akan terjebak di dalam perangkap pendidikan yang tidak berkualiti, yang menjana mentaliti negatif, atau menanamkan semangat juang yang tidak kena pada tempatnya di sebalik nama dan simbol pengajian agama itu. Selain dari itu kebanjiran pelajar kita ke pusat pengajian agama yang tertentu, terutamanya yang telah lama tertubuh dan telah pun terkenal di negara kita juga akan membawa implikasi yang kurang baik bagi kita, iaitu kita akan berakhir dengan kebanjiran para lepasan dari sana pula yang tidak dapat ditampung oleh pasaran tenaga manusia di negara kita. Malah satu isu lain juga sering timbul, iaitu kepulangan para lepasan agama dari negara luar yang menimbulkan masalah tentang ideologi dan kefahaman Islam dari segi aliran pemikiran dan mazhab yang tertentu umpamanya. Hal yang terakhir ini akan menyebabkan kekeliruan yang besar di kalangan masyarakat Islam di negara kita yang berpegang dengan mazhab Shafie dan Ahli Sunah Waljamaah.
Oleh itu panduan dan penilaian yang objektif dari kerajaan amatlah penting dalam hal ini, kerana panduan dan penilaian itu amatlah berharga bagi para ibu bapa yang sedang mencari tempat pengajian agama bagi anak-anak mereka di luar negara, kerana kita mengetahui bahawa kadang-kadang pengajian di luar negara adalah murah kosnya berbanding dengan pusat-pusat pengajian di dalam negara kita sendiri. Selain dari itu para jurujual luar negara ada kalanya amat pandai memikat hati para ibu bapa kita dengan hasil dan produk mereka, serta kehebatan nama dan simbol pusat pengajian mereka yang telah berjaya menarik puluhan ribu pelajar dengan program-program yang menarik pula.
Saya ingin berkongsi pengalaman dengan para pembaca tentang sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal di Indonesia. Ketika kunjungan saya ke Jakarta tidak lama dulu, saya menerima dua buah buku yang berjudul Penyimpangan dan Kesesatan Maahad Al-Zaitun oleh M. Amin Djamaluddin terbitan Lembaga Penelitian Dan Pengkajian Islam (LPPI) dan Membongkar Gerakan Sesat Negara Islam Indonesia (NII) Di Balik Pasantren Mewah Al-Zaitun oleh Umar Abduh, juga dari penerbitan yang sama. Buku pertama memaparkan kenyataan di kulit depannya Di dalam gedung yang megah dan mewah ini terdapat hak fakir miskin dan yatim piatu yang dirampas dan dirompak. Adakah perampasan dan perampokan yang lebih besar dosanya selain merampas dan merompak hak fakir miskin dan yatim piatu?
Ternyata sekali bahawa kedua-dua buku ini memberikan penjelasan yang agak mengejutkan tentang pusat pengajian yang amat hebat dan popular, bukan hanya di Indonesia, tetapi juga di negara kita. Saya memaparkan hal yang tersebut di atas bukanlah kerana hendak memberikan sebarang kesimpulan atau hukuman tentang pusat pengajian yang termasyhur itu, tetapi sebagai bukti betapa pentingnya dan perlunya kajian dan penelitian dibuat terhadap sebarang institusi atau pusat pengajian agama di luar negara itu.