Pada minggu yang lalu, Institut Kefahaman Islam Malaysia telah menyampaikan mesejnya kepada pihak Kerajaan Amerika Syarikat (AS) tentang keprihatinan umat Islam mengenai serangan yang dilakukan oleh negara tersebut terhadap orang Islam di Afghanistan yang diserang bertubi-tubi sejak beberapa minggu yang lalu.
Serangan yang dilakukan untuk menghapuskan pengganas seperti yang didakwa oleh kerajaan AS itu nampaknya telah memakan korban yang banyak dari kalangan orang awam. Harta benda dan rumah tangga mereka musnah, mereka terpaksa menjadi orang pelarian yang mengalami segala macam kesusahan semasa melarikan diri, dan kemudian mereka akan mengalami pelbagai penderitaan lain pula ketika mencari perlindungan di khemah-khemah pelarian.
Semuanya ini cukup menyeksakan bagi orang-orang yang mengalaminya, malahan bagi kita yang mendengar dan membaca beritanya pun sudah cukup memberi gambaran yang amat memilukan tentang nasib mereka, apa lagi ketika menonton berbagai-bagai penderitaan yang mereka alami semasa melarikan diri daripada roket dan bom pihak AS yang mencari-cari mangsanya di negara mereka ini.
Orang Islam sebenarnya tidak dapat berbuat apa-apa langsung terhadap keputusan AS untuk menyerang, untuk mengebom dan melanjutkan jangka mangsa pengeboman, membunuh sesiapa sahaja yang dikehendakinya dan membuat sebarang keputusan apa sahaja yang mereka mahu tentang kerajaan orang lain dan sistem kehidupan orang lain, dan akhirnya dikhuatiri bahawa mereka juga akan memutuskan tentang cara orang lain mengamalkan agamanya.
Keputusan terakhirnya sekiranya benar, bagi mengetatkan pemberian visa kepada warganegara Islam dari banyak negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, nampaknya merupakan perkembangan terbaru dasar AS yang ditujukan khusus kepada orang Islam. Maka dalam hal ini pun kita masih terpaksa menerima keputusan yang berat sebelah itu tanpa dapat berbuat apa-apa.
Namun begitu, sekiranya dari sudut politik, negara-negara Islam amat lemah dan tidak berdaya mengena-kan sebarang tekanan yang sewajarnya, maka dari sudut yang lain, umat Islam melalui pelbagai organisasi masing-masing tidaklah seharusnya berdiam diri. Kita perlu menyatakan pendirian dan pandangan kita secara beretika, berdiplomasi dan penuh hikmah, dan suara itu biarlah menyeluruh dari semua pelosok dunia Islam serta daripada berbagai-bagai kalangan rakyat. Bantahan kita bukanlah berbentuk emosi dan gopoh, atau berbau perkauman atau fanatik melulu, tetapi bantahan kita berdasarkan hak dan kedudukan kita sebagai komuniti antarabangsa yang mempunyai harga diri dan dapat berdiri sama tinggi dengan orang lain, terutamanya dalam menentukan ideologi dan anutan agama kita.
Atas dasar rasa kemanusiaan, kita merasa amat sedih dengan serangan AS ke atas rakyat yang tidak bersalah. Atas dasar ini kita tentu tidak membezakan sama ada mangsa keganasan itu daripada penganut agama yang tertentu, atau bangsa yang tertentu. Sebagai manusia, semua orang tidak harus dibeza-bezakan atas dasar etnik, bangsa, agama dan budaya yang tertentu. Oleh itu dalam menentukan pengganas, atau bakal pengganas pun, AS tidak seharusnya mengambil kesimpulan bahawa bakal pengganas itu keseluruhannya adalah terdiri daripada para penganut Islam. Bagaimanakah pula dengan pembunuhan yang berlaku di Ireland Utara, di Palestin, di Kashmir, malah serangan ke atas bangunan di bandar raya Oklahoma sendiri tidak lama dulu? Bukankah orang yang melakukan jenayah itu terdiri daripada orang bukan Islam?
Hal inilah yang seharusnya dibangkitkan oleh masyarakat Islam di seluruh dunia dan disampaikan kepada pucuk pimpinan AS di Washington. Oleh itu saya rasa amat tepat sekali kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim baru-baru ini yang merasa kesal dengan berbagai pihak yang tidak bersuara sebagai bantahan ketika rakyat Afghanistan dibunuh secara kejam sedangkan perbuatan ini terang-terang mencabul hak asasi manusia. Ke manakah perginya pejuang-pejuang hak asasi manusia, termasuk dari negara kita sendiri?
Perkara-perkara inilah yang sebenarnya telah disampaikan kepada Duta AS semasa beliau mengunjungi IKIM pada 8 November yang lalu. Keprihatinan utama yang disampaikan kepadanya selain daripada simpati dan pandangan berat kita kepada mangsa perang yang terdiri daripada orang awam yang tidak bersalah dan yang lemah, ialah harapan kita supaya kerajaan AS menghormati bulan Ramadan yang merupakan bulan ibadat bagi seluruh umat Islam di dunia ini, maka sewajarnyalah serangan dihentikan pada bulan puasa ini supaya orang Islam di sana dapat berpuasa dalam aman dan damai. Kerajaan AS seharusnya mempunyai kepekaan terhadap perasaan dan maruah umat Islam, terutamanya apabila mereka sentiasa menghebah-hebahkan bahawa peperangan ini bukanlah merupakan peperangan terhadap Islam dan umatnya. Apakah benar apa yang diucapkan itu diterjemahkan dalam perbuatan mereka selama ini?
Pihak IKIM mengemukakan hal yang sama kepada rombongan ketua menteri salah sebuah negeri Jerman yang telah mengadakan lawatan ke IKIM pada hari berikutnya, iaitu pada 9 November. Jerman sebagai sekutu AS seharusnya juga dapat menggunakan pengaruhnya ke atas negara AS tentang keprihatinan dan kebimbangan umat Islam ekoran daripada serangan yang dilakukan ke atas negara Afghanistan itu.
Apa sahaja reaksi dan hasilnya, pihak IKIM telah pun bertindak menyampaikan hal ini kepada yang berkenaan. Suara ini akan terus dilanjutkan selama mana penindasan terus menerus berlaku ke atas umat dan dunia Islam yang tidak bersalah.
Suara-suara bantahan daripada kalangan bukan politik, seperti badan-badan sukarela dan badan-badan bukan kerajaan, amat perlu dibangunkan serentak di seluruh dunia Islam dengan nyaring dan nyata, agar pihak AS dan sekutu-sekutunya mengetahui dan memahami hasrat dan perasaan umat Islam keseluruhannya. Walaupun apa yang hendak disampaikan itu dilakukan dengan penuh hikmah dan etika, tetapi mesejnya biarlah jelas bahawa kita tetap tegas dengan pendirian kita. Biarlah segala kebimbangan yang disampaikan itu merupakan satu loceng peringatan supaya kerajaan AS tidak terlalu terlupa diri dan bertindak melampaui had dan batasannya. Semuanya haruslah mempunyai had yang tertentu.
Jadi apa yang kita sampaikan melalui Duta AS itu diharapkan akan disambut baik oleh pihak pucuk pimpinannya, seperti yang dapat dilihat dari sambutan duta itu sendiri.