Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad S.A.W bermula di Makkah sejak tiga belas tahun sebelum hijrah.
Dalam usia pengikut Nabi yang masih baru dengan Islam ketika di Makkah ini, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi. Mereka ditindas, dizalimi dan dipencilkan oleh masyarakat jahiliyah setempat di Makkah.
Namun demikian keimanan yang mantap dan disertai dengan kepemimpinan, keilmuan dan teladan perilaku Rasulullah S.A.W. sendiri sebagai contoh ikutan, umat permulaan Islam itu mampu menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan kepada pencapaian kemenangan.
Mereka mampu menghayati kebenaran. Hakikat ini membolehkan mereka membezakan di antara yang benar dan batil.
Umat Islam Dididik Dengan Keimanan Yang Mantap
Pada awal usia Islam di Makkah, umat yang kecil bilangan itu disusun dengan begitu rapi dan kemas oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabat baginda. Mereka dididik dengan keimanan yang mantap dan disertai dengan keilmuan Islam.
Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah bukan sahaja membina keimanan manusia kepada ke-Esaan hanya kepada Allah S.W.T dengan menolak penyembahan manusia kepada patung berhala, bahkan sekali gus mendidik manusia kearah pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk menegakkan kebenaran.
Pandangan hidup yang maju dan sesuai dengan sifat kemanusiaan ini sudahpun diperkenalkan oleh ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Makkah sebagai persiapan untuk hidup bernegara kelak.
Pandangan hidup yang maju ini memberi kekuatan kepada mereka secara yakin untuk mempertahankan dari ancaman Quraish Makkah pada masa itu. Mereka menyakini bahawa pendekatan Islam adalah lebih unggul dari sistem hidup jahiliyah masa itu.
Sistem hidup Islam memberi tempat untuk kesemua golongan tanpa memihak kepada suku kabilah tertentu. Setiap individu mempunyai tempat dalam masyarakat.
Sistem Kehidupan Tanpa Memihak
Pendekatan hidup Islam yang dihayati oleh masyarakat awal Islam ini dianggap oleh pembesar Quraish pada masa itu sebagai satu ancaman merbahaya kepada sistem hidup jahiliyah di Makkah.
Sistem bermasyarakat jahiliyah yang sedia ada pada masa itu dapat mengekalkan kedudukan keistimewaan mereka. Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan ke atas masyarakat umum Makkah tanpa penentangan.
Masyarakat yang khayal dengan kehidupan yang berlandaskan nafsu dan struktur masyarakat yang berpuak-puak dengan sistem perhambaan itu membolehkan pimpinan jahiliyah Quraish meneruskan keadaan masyarakat tersebut. Penyembahan kepada patung berhala adalah suatu helah untuk masyarakat umum semoga terus khayal daripada keadaan sebenar.
Memandangkan kota Makkah pada masa itu adalah sebuah kota yang dikunjungi ramai masyarakat Arab dari beberapa tempat yang berjauhan untuk beribadat di Kaabah dan berniaga, jumlah perdagangan yang berlangsung turut sama besar dan sekaligus menjadikan Kota Makkah sebuah kota perniagaan penting.
Golongan yang berkuasa terhadap kota itu sudah pasti dapat mengaut keuntungan yang besar dari peranan bandar tersebut.
Sistem Jahiliah Yang Zalim
Islam datang untuk merubah dan meroboh sistem jahiliah Makkah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu. Islam membawa suatu tujuan untuk membangunkan masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta manusia.
Allah menganjur penyusunan umat manusia berasaskan semangat keadilan dan kasih sayang sesama manusia dalam bermasyarakat. Dasar ini sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat umum Makkah pada masa itu.
Gagasan Islam ini memerlukan kepimpinan yang adil dan berusaha membina peribadi atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh diterima oleh pembesar Makkah pada masa itu.
Akibat dari penentangan hebat kaum jahiliyah Makkah kepada umat Islam yang kecil bilangannya pada masa itu, Rasulullah S.A.W memerintahkan sebilangan pengikutnya pada peringkat awal berhijrah ke Habsyah.
Enam belas pengikut Rasulullah S.A.W mulai berhijrah ke Habsyah. Rombongan tersebut kembali semula ke Makkah setelah mendapat berita kemasukan Islam Umar bin Khattab. Pengislaman Umar menambah kekuatan kepada perjuangan Islam di Makkah.
Penghijrahan Diterima Baik
Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraish terhadap pengikut Islam kian meningkat dengan lebih berancangan. Mereka memutuskan untuk membunuh Nabi S.A.W dengan menggemblengkan kesemua suku kaum Quraish di Makkah.
Quraish jahiliyah merancang, Rasulullah S.A.W. dan pengikutnya turut merancang. Dalam suasana sedemikian Allah S.W.T membuat penentuan semoga Rasulullah S.A.W. berhijrah ke Kota Madinah.
Sebelum itu Rasulullah S.A.W. sudahpun mempunyai jalinan perhubungan dengan beberapa jumlah penduduk Madinah yang datang ke Makkah untuk beribadat di Kaabah. Mereka yang datang dari Madinah ini mampu didekati oleh Rasulullah S.A.W. dan sahabatnya. Mereka yakin kepada Islam dan terus menyebar Islam sekembali ke Madinah. Ramai yang memeluk Islam dari usaha tersebut.
Penghijrahan Rasulullah S.A.W. dan golongan Muhajirin Makkah diterima baik oleh golongan Ansar Madinah. Dari dasar muafakat yang luar biasa di antara mereka, prinsip Islam mampu dilaksanakan untuk membangunkan masyarakat Islam di Madinah.
Masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan agama ditadbir dengan panduan sebuah perlembagaan yang dikenali sebagai Shahifah Madinah. Perlembagaan ini dibina di atas semangat keadilan dan kasih sayang sesama umat manusia.
Masyarakat Majmuk Madinah
Di atas kejayaan tersebut, Madinah mampu ditadbir dengan baik sehingga suasana politik dalamannya mampu berperanan dengan teguh dan urusan pembangunan negara tersebut mampu berjalan dengan lancar.
Penghayatan prinsip bermasyarakat secara Islam di Madinah merupakan kemuncak kepada kejayaan Islam. Masyarakat majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk menghormati kepada nilai Illahi.
Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun dengan kewibawaan pimpinan Rasulullah S.A.W dalam melaksanakan prinsip Islam, umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam. Itulah kejayaan anjuran Islam dalam menyusun umat manusia bermasyarakat dan bernegara.
Walaupun terdapat permusuhan dan kerenah kaum mushyrik Yahudi di Madinah, tipu helah dan penentangan mereka mampu ditumpaskan oleh kepemimpinan Rasulullah S.A.W.
Kewibawaan kepemimpinan dan akhlak mulia umat Islam di bawah teraju Rasulullah S.A.W. mampu membawa masyarakat Madinah terus membangun dan maju. Tamadun manusia yang menjadi ikutan umat manusia dahulu dan sekarang dibina dengan teguh dan mulia oleh Rasulullah S.A.W di Madinah.
Peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam adalah suatu peristiwa yang perlu dikaji dan direnungi oleh umat Islam dewasa ini.
Liku dan Ranjau Untuk Menegak Kebenaran
Dalam membina dan menyusun umat manusia dengan berpaksikan nilai Illahi yang berteraskan kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah.
Risalah para Nabi yang diperintah oleh Allah S.W.T untuk menegak kebenaran dalam menyusun umat manusia terpaksa melalui liku dan ranjau yang pahit. Islam hanya boleh dibangun dan dibina di atas ketokohan pemimpin dan kemantapan pengikut melalui keilmuan dan keimanan dan kecintaan jitu umatnya kepada Allah S.W.T mengatasi segala habuan nafsu duniawi.
Peristiwa hijrah mengajar kita kepada erti pengorbanan. Kehidupan manusia pada hakikatnya jika mahu berjaya perlu melalui liku dan ranjau. Usaha umat Islam adalah penentu kepada kejayaan masa hadapan ummah.
Kejayaan umat Islam Makkah (Muhajirin) yang terpaksa berhijrah demi untuk menegak keadilan Illahi dan seterusnya memupuk kasih sayang di kalangan umat manusia menjadi satu engajaran ang penuh erti.
Peristiwa hijrah sangatlah tepat untuk bermulanya takwim Islam. Ia merupakan satu peristiwa di mana tindakan berancang untuk membangunkan Islam secara syumul.
Bagi Islam setiap masa berlalu perlu kepada kita untuk menilai usaha yang silam dan mengatur langkah untuk masa yang akan ditempuh. Jika peluang dirasai sesuai, setiap umat Islam perlu merebutnya ke arah mendaulatkan ajaran Islam seperti pengajaran peristiwa Hijrah.
Masa sekarang menuntut umat Islam supaya sentiasa peka dengan perkembangan sekeliling dan mengambil langkah perlu untuk umat manusia semoga tamadun kemanusiaan semasa dibina di atas asas nilai kemanusiaan yang disandarkan kepada nilai Illahi.
— BERNAMA