Dalam satu kajian yang dibuat oleh sekumpulan ahli sains daripada Universiti Oregon, 19 orang responden wanita diberi US100 seorang. Kemudian dengan menggunakan functional magnetic resonance imaging (fMRI) , para ahli sains yang terdiri daripada seorang ahli psikologi dan dua orang pakar ekonomi ini mengimbas otak responden tadi yang kemudiannya diperlihatkan bagaimana wang tadi dipindahkan melalui skrin komputer ke dalam tabung makanan menerusi percukaian wajib. Selain daripada pembayaran menerusi percukaian wajib, mereka juga diberi pilihan sama ada untuk menyumbang lebihan wang yang ada secara sukarela atau menyimpannya untuk diri sendiri. Hasilnya mereka mendapati dengan membayar cukai wajib dan menyumbang secara sukarela, otak manusia akan mengeluarkan satu petunjuk kepuasan kepada mereka.
Tiada yang pelik daripada dapatan kajian ini sebenarnya. Jika diperhatikan betul-betul, menurut ajaran agama, soal percukaian wajib (zakat) dan pemberian secara sukarela (sedekah) sememang dapat memberi kepuasan kepada si pemberinya. Ini kerana menurut ajaran agama, zakat merupakan satu bentuk percukaian yang paling minima yang diwajibkan ke atas orang Islam. Penerimanya pula adalah mereka yang betul-betul memerlukannya (iaitu 8 asnaf yang digariskan oleh al-Quran). Justeru, kita tidak perlu menjalani ujian menggunakan fMRI untuk menguji tahap kepuasan yang diperolehi melalui amalan berzakat kerana kita tahu jika wang tadi diagihkan dengan adil dan saksama oleh pihak berkuasa, sudah tentu ia akan sampai kepada mereka yang berhak menerimanya. Bagi orang Islam yang ikhlas semasa berzakat, ini merupakan satu kepuasan yang sukar untuk digambarkan atau diukur dengan mata kasar.
Begitu juga dengan sumbangan sedekah, baik yang berupa sedekah biasa atau sedekah jariah (seperti wakaf). Kita tidak perlu menjalani fMRI kerana sudah tentu amalan ini juga akan memberi satu kepuasan kepada diri seseorang. Apatah lagi bagi orang Islam, mereka bukanlah pemilik sebenar harta kekayaan. Menurut ajaran agama, Allah adalah pemilik mutlaq kekayaan tersebut dan manusia sebagai makhluk-Nya, hanya diberi kebenaran untuk mengurus harta tersebut sahaja. Oleh sebab itu ia perlu diagih secara adil dan saksama kepada mereka yang berhak menerimanya. Jadi apabila seseorang itu melakukan agihan sepertimana yang digariskan oleh agama Islam, maka dia secara tidak langsung telah memperolehi satu kepuasan dari segi rohani kerana dapat melaksanakan arahan Allah s.w.t.
Kepuasan ini akan semakin bertambah jika dia memperhalusi ayat ke-18 di dalam surah al-Hadid di mana Allah s.w.t ada menjanjikan mereka yang melakukan amalan sedekah dengan digandakan balasan mereka; baik dalam bentuk gandaan harta di dunia mahupun dalam bentuk gandaan pahala di akhirat nanti. Maka tak hairanlah pada awal kelahiran Islam, terdapat ramai dermawan seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman bin Al-Affan, Abdul Rahman bin Auf r.a dan lain-lain, yang sanggup mengorbankan harta kekayaan mereka pada jalan Allah. Bagi mereka dengan mengorbankan kekayaan yang dimiliki bagi tujuan meninggikan shi’ar agama merupakan satu pendekatan yang terbaik untuk mencapai kepuasan yang hakiki.
Cuma, apa yang boleh kita persoalkan di sini ialah adakah wujud nilai kepuasan yang sebenar jika seseorang itu berbuat kebajikan atau bersedekah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga. Apa yang dapat diperhatikan kebelakangan ini, budaya mengamalkan kebajikan untuk tujuan mendapatkan perhatian umum sudah menjadi satu kebiasaan di dalam masyarakat kita dewasa ini. Pada pandangan penulis, nilai kepuasan yang sebenar tidak wujud sama sekali di dalam setiap amalan kebajikan tidak bersifat tulus ikhlas. Bahkan ia merupakan unsur riak yang juga merupakan shirik.
Selain itu, tentu ada yang tertanya-tanya, jika seseorang itu tidak mempunyai harta kekayaan, bagaimana dia dapat mengamalkan sedekah? Agama Islam sebagai satu ajaran yang lengkap lagi sempurna sentiasa memberikan keadilan kepada setiap penganutnya yang sememangnya berbeza dari segi taraf kehidupan dan kemampuan mereka. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w pernah bersabda, “setiap muslim wajib bersedekah”. Para sahabat bertanya, “bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?”. Lalu Nabi s.a.w menjawab, “bekerja dengan kemahiran tangannya untuk kemanfaatan dirinya lalu bersedekah”. Mereka bertanya lagi, “bagaimana kalau dia tidak mampu?”. Nabi s.a.w. menjawab, “menolong orang yang sedang teraniaya”. Sahabat bertanya lagi, “bagaimana kalau dia tidak melakukannya?”. Nabi s.a.w. menjawab,”menyuruh berbuat makruf”. Mereka bertanya lagi, “bagaimana kalau dia tidak melakukannya?”. Baginda s.a.w. menjawab, “mencegah diri dari berbuat kejahatan, itulah sedekah”.
Inilah yang dikatakan keindahan Islam. Jika kita berfikir dalam ruang lingkup Barat, tanpa kemampuan dari segi kewangan sudah tentu kita tidak akan memperolehi kepuasan yang dimaksudkan oleh ahli sains ini. Walhal, tamaddun Barat lebih peka mengenai amalan sedekah, berbakti dan lain-lainnya. Bagaimanapun, agama Islam tidak melihat kekangan kewangan sebagai satu titik noktah kepada seseorang itu untuk memperolehi kepuasan menerusi usaha berbakti ke arah kebaikan. Malah, agama Islam mempunyai pelbagai pendekatan yang boleh diselaraskan mengikut kemampuan yang dimiliki oleh penganutnya.
Bagaimanapun, jika kita bersandarkan kepada dapatan kajian yang dibuat di Universiti Oregon ini, kita dapat mengatakan bahawa sistem percukaian yang ada di sesebuah negara mahupun kewajiban berzakat bukanlah sesuatu yang memberi kesan yang tidak elok kepada masyarakat. Ini kerana dengan membayar cukai atau zakat, si pembayar tadi akan merasa gembira. Inilah juga kesimpulan yang dibuat oleh Profesor Ulrich Mayr, profesor dalam bidang psikologi yang terlibat dalam kajian ini. Malah beliau menggelar mereka yang sudi menyumbang lebihan wang yang ada secara sukarela sebagai altruist, manakala mereka yang menyimpan lebihan tadi untuk diri sendiri sebagai egoist.
Persoalannya sekarang jika kajian seumpama ini dilakukan di Malaysia, adakah ia akan menghasilkan satu keputusan yang sama sepertimana yang dilakukan ke atas 19 responden tadi? Mungkin ia akan menghasilkan satu jawapan yang lebih kurang sama kerana menurut pakar psikologi, manusia -walaupun pada tahap yang berbeza antara satu sama lain – sebenarnya mempunyai sikap mengutamakan kebahagian atau kebajikan orang lain berbanding diri sendiri (altruism).
Mungkin juga kita akan memperolehi dapatan kajian yang berbeza jika para responden yang dipilih diperlihatkan kepada aliran wang cukai yang dibayar kepada projek-projek pembangunan yang tidak bermutu atau tidak menguntungkan rakyat sepertimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.