Negara kita sejak beberapa bulan ini dilanda pelbagai perkara yang menuntut perubahan kepada semua rakyat Malaysia. Kemunculan virus baharu coronavirus Covid-19 menjadi pandemik ke seluruh dunia sehingga memaksa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan pencegahan dengan mengawal pergerakan rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac 2020. Sehingga kini, wabak ini masih belum pulih sepenuhnya walaupun kadar jangkitan semakin perlahan dan kes baharu hanya sekitar satu atau dua digit sahaja sehari. Berita terkini virus ini telah mengalami mutasi dan semakin kuat dan mudah tersebar, dan besar kemungkinan vaksin yang sedang dibangunkan tidak mampu memberi kesan terhadapnya. Rakyat terus diminta untuk istiqamah memulakan gaya kebiasaan hidup baharu iaitu antara lain apabila berada di khalayak awam hendaklah memakai pelitup muka, mengamalkan jarak fizikal selamat dan kerap membasuh tangan sebagai antara usaha dan ikhtiar bagi mengelakkan sebarang jangkitan.
Ramai yang tidak selesa dengan kebiasaan baharu yang terpaksa dijalani tetapi itulah ikhtiar yang perlu diambil berdasarkan pandangan pakar kesihatan seluruh dunia khususnya World Health Organization (WHO) bagi menyelamatkan nyawa manusia. Bahkan untuk hadir ke masjid juga semakin sukar dengan wujudnya Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu dan di sesetengah masjid hanya mereka yang telah dikenal pasti dan direkodkan nama terlebih awal sahaja dibenarkan masuk.
Ajaran Islam perlu difahami bukan semata-mata bercakap tentang dosa-pahala atau memikirkan kehidupan akhirat seperti syurga-neraka sahaja seperti mana tohmahan yang kerap didengar daripada segelintir umat Islam khususnya golongan jahil, tetapi juga mengatur kehidupan duniawi dan justeru itu ia turut menitikberatkan tentang “menjaga nyawa” dalam kehidupan ini. Melalui usaha mewujudkan kebiasaan baharu berhadapan Covid-19 ini sebenarnya adalah untuk memenuhi tuntutan Syariah Islam atau disebut “Maqasid Syariah”, daripada aspek “menjaga nyawa” (Hifz al-Nafs). Masih ada yang segelintir yang tidak nampak kewajaran tindakan yang diambil dari kaca mata Islam.
Selain menjaga nyawa, salah satu lagi objektif utama Syariah atau Maqasid Syariah ialah untuk menjaga agama (Hifz al-Din). Perihal menjaga agama ini nampaknya kita agak kurang menitikberatkan berbanding dengan menjaga nyawa sedangkan objektif Syariah ini juga tidak kurang pentingnya.
Pada zaman Baginda SAW, apabila pembesar Quraisy meningkatkan tentangan dan ancaman kepada umat Islam sehingga ada yang terbunuh seperti mana menimpa keluarga Ammar bin Yasir, Baginda SAW bimbang dengan keadaan umat Islam dan penderitaan mereka selagi tinggal di Mekah lalu memerintahkan mereka berhijrah ke Habsyah pada 615 Masihi iaitu tahun kelima kerasulan Baginda SAW. Hijrah ke Habsyah berlaku dua kali pertama seramai 15 orang dan kali kedua melibatkan 101 orang. Hijrah dilaksanakan demi menjaga nyawa dan juga menjaga agama. Rombongan kedua ini diketuai oleh sepupu Baginda SAW sendiri iaitu Sayyidina Ja’far bin Abi Talib. Pada 622 Masihi, sekali lagi berlaku Hijrah, kali ini ke Yathrib (Madinah) seperti mana yang kita ketahui. Umat Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan tahun Hijrah atau Hijriyyah sebagai salah satu daripada syiar Islam dan permulaan kiraan tahun dalam Islam. Cuma yang lebih penting daripada sekadar mengingati permulaan kalendar Islam ialah mencontohi semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh para Sahabat ketika berhijrah dan menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu di tempat baharu.
Hijrah zaman Nabi SAW bukan sekadar berpindah seperti mana kita berpindah hari ini dari lokasi ke lokasi yang lain kerana tuntutan pertukaran kerja atau seumpamanya. Perpindahan sebegitu hanya perpindahan sementara dan harta benda masih dapat turut dipindah bersama dan sesekali kita masih mampu “balik kampung” seperti kelaziman pada musim perayaan. Tetapi hijrah pada zaman Baginda SAW menuntut perubahan total, perubahan daripada norma kebiasaan lama kepada baharu, berpindah dalam keadaan sehelai sepinggang, meninggalkan segala harta benda, rumah dan kesenangan dan juga kampung halaman tanah air tercinta. Ada yang berhijrah meninggalkan kaum keluarga, isteri atau suami yang enggan memeluk Islam. Sudah pasti ia memerlukan pengorbanan yang besar bukan sahaja berkorban harta benda tetapi juga terpaksa berkorban daripada segi emosi dan perasaan. Pengorbanan melalui hijrah itu dilakukan demi kerana dua perkara: demi menjaga agama dan demi menjaga nyawa. Menjaga agama agar agama Islam yang baru dianuti dapat terus kukuh dan mantap, tidak tergugat oleh seksaan kaum Quraisy, dan dalam masa yang sama juga berusaha menyebarkan Islam ke tempat yang baharu berhijrah. Manakala menjaga nyawa pula agar melalui hijrah itu dapat terus hidup, dan menunaikan amanah Allah di muka bumi ini menjadi hamba yang taat dan khalifah mentadbir bumi mengikut aturan dan perintah Allah.
Jika pandemik wabak Covid-19 hari ini menuntut perubahan daripada kita menjalani kebiasaan baharu dan norma baharu demi menjaga nyawa, manakala hijrah pada zaman Nabi SAW pula menuntut para Sahabat RA menjalani kehidupan baharu demi menjaga nyawa dan menjaga agama sekali gus. Oleh itu, perubahan yang dituntut daripada kita disebabkan Covid-19 tidaklah sehebat perubahan hijrah yang terpaksa dilalui oleh para Sahabat Baginda SAW dahulu. Sepatutnya kita tidak banyak mengeluh dan mengadu dengan peraturan dan SOP yang dibangunkan oleh Kerajaan demi keselamatan kita semua kerana ia tidaklah sesukar mana berbanding mereka di awal Islam dahulu yang meninggalkan Mekah dengan tidak membawa sebarang harta benda. Mereka tetap melakukannya dengan ikhlas kerana Allah dan akhirnya mereka berjaya keluar daripada kesulitan dan segala kesusahan dan diberi kemenangan.
Pada ketika tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah yang diberkati, Sayyidina Abdul Rahman bin ‘Auf RA telah disatukan dengan penduduk Ansar bernama Sayyidina Sa’ad bin al-Rabi’ RA. Lalu Sa’ad berkata kepada Abdul Rahman, “Wahai saudara ku, aku ialah penduduk Madinah yang kaya raya. Silakan pilih separuh harta ku dan ambillah…” Namun Abdul Rahman menjawab, “Semoga Allah memberkati mu, keluarga dan harta mu. Tunjukkan aku jalan ke pasar”. Selang tidak berapa lama, Abdul Rahman menjadi jutawan yang berjaya di Madinah dan lafaz Abdul Rahman “tunjukkan aku jalan ke pasar” itu menjadi fenomena bagaimana melalui usaha yang diberkati Allah dan tawakal yang tinggi tanpa perlu bergantung kepada orang lain, seseorang itu akan berjaya.