Isu rasuah menjadi polemik yang datang dan pergi dalam masyarakat kita. Bermakna, ketika isu itu tidak berbangkit tidak bermakna masyarakat sudah benar-benar aman daripada cengkaman rasuah. Perkara ini masih berlaku secara senyap ibarat api dalam sekam yang sebenarnya membarah dan merosakkan peradaban yang telah terbina. Sedangkan peradaban ataupun tamadun bangsa hanya boleh dibina apabila sesebuah bangsa itu benar-benar telah merdeka.
Walaupun pada awal tahun ini Malaysia merakamkan kejayaan dalam memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) 2019, iaitu dengan menyaksikan lonjakan ke tangga 51 bagi tahun 2019 yang membabitkan sebanyak 180 buah negara di seluruh dunia, berbanding kedudukannya di tangga 61 pada tahun 2018. Di sebalik peningkatan ini masih tidak menafikan bahawa negara kita masih lagi berhadapan dengan isu rasuah.
Berdasarkan beberapa forum berkaitan dengan rasuah yang pernah diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)—walaupun lebih sedekad yang lalu, namun ia masih relevan dengan suasana semasa. Tinjauan terhadap rasuah atau suapan mendapati, seseorang individu mudah terlibat dengan salah laku ini apabila terperangkap dengan desakan hidup; mempunyai sikap boros; gemar kehidupan yang diulit dengan kemewahan dan menunjuk-nunjuk; terjebak dengan beban hutang yang bukan keperluan; terdapat keperluan ahli keluarga yang memerlukan rawatan bagi penyakit kritikal; keperluan untuk membayar kos pengajian anak-anak; terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain dan seumpamanya. Dalam forum berkenaan juga ahli panel tidak menolak kemungkinan seseorang itu terpaksa menerima rasuah atas ugutan pelanggan berpengaruh yang boleh memberi kesan terhadap kerjaya dan kedudukan mereka.
Dari sudut kerohanian, secara umumnya individu yang terlibat dengan perilaku yang tidak bermoral seperti rasuah ini adalah disebabkan tiadanya penghayatan agama yang mendalam di dalam lubuk hati mereka. Iaitu sebenar-benar penghayatan sehingga mereka dapat menginsafi tentang adanya Allah SWT; kekuasaan Allah SWT terhadap makhluk serta menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan setiap tindak-tanduk dan perbuatan hamba-hamba-Nya. Ia juga suatu penghayatan sehingga seseorang individu manusia itu menginsafi tentang kewujudan hari pembalasan sebagai hari yang akan mengadili setiap orang manusia yang pernah hidup di dunia tanpa sebarang pengecualian dan keciciran.
Golongan manusia yang tidak memiliki penghayatan sebegini walaupun mengetahui bahawa Allah SWT itu ada tetapi tidak akan mempunyai perasaan bersalah jika melakukan sebarang salah laku seperti pecah amanah dan suapan. Malah sesetengah mereka sanggup menggadai agama, maruah dan organisasi, dan sehingga tega untuk menjadi orang suruhan kepada pihak pemberi rasuah secara berterusan.
Begitulah juga keadaannya di pihak yang sanggup memberi rasuah. Membelakangi kewujudan Allah SWT, serta hari pembalasan sedangkan ia adalah perkara yang benar. Barangkali sesetengahnya menganggap bahawa dosa-dosa yang dilakukan akan diampuni dengan mudah oleh Allah SWT apabila mereka bertaubat pada hari-hari tua mereka. Sesungguhnya inilah kesilapan paling besar kerana ajal dan maut itu tidak menunggu manusia barang sesaat.
Oleh yang demikian, Allah SWT memberi amaran-Nya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan kamu pula menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui salahnya.” (al-Baqarah:188)
Selain itu, Rasulullah SAW turut bersabda dalam hal ini yang bermaksud:“Sesiapa sahaja yang kami lantik untuk memegang sesuatu jawatan atau kerja dan kami telah tetapkan pendapatannya atau gaji, maka apabila ia mengambil lebih daripada apa yang ditetapkan itu dikira sebagai penipuan atau rasuah.” Apabila Rasulullah SAW turut memberi amaran melalui sabda Baginda yang bermaksud:“Sesungguhnya daging yang tumbuh (dibesarkan) dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya,” (Riwayat at-Tabrani).
Sudah tentu ia menunjukkan bahawa terdapatnya kesan rohaniah akibat amalan rasuah. Selagi si pelaku tidak membetulkan keadaan tersebut dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat, maka hasil pemakanan yang haram akan menyebabkan jiwa menjadi tercemar dan kotor.
Dalam hal ini, punca dalam pemakanan akan membentuk keperibadian seseorang. Hasil daripada usaha yang baik dan halal akan membentuk keperibadian yang soleh. Maka sebaliknya usaha dengan jalan yang tidak baik akan menghasilkan jiwa yang kotor dan seterusnya menerbitkan keperibadian yang buruk; hilang rasa ihsan; dan mudah melakukan perkara yang mungkar dan maksiat.
Sebagaimana yang telah disebutkan penulis pada awal perbincangan, bahawa peradaban bangsa hanya dapat dibina oleh bangsa yang merdeka. Peradaban bukan sekadar merujuk pembangunan atau kemajuan secara fizikal yang bersifat kukuh apabila dibina dan dipertahankan oleh nilai-nilai yang baik seperti adil, benar, bijaksana, berilmu, bertakwa dan berintegriti. Sebaliknya, kemajuan bangsa akan menjadi rapuh jika di dalam jiwa anak bangsa sudah tidak mementingkan nilai-nilai tersebut apatah lagi terjajah oleh perilaku yang buruk. Dalam hal ini, rasuah atau suapan ialah cerminan atau gambaran akhlak yang amat buruk.
Akhlak dan perilaku buruk inilah yang akan membunuh sifat patriotik dalam diri individu, ia akan memamah peradaban yang telah dibina. Sekiranya perkara ini tidak dibendung dan menjadi semakin berleluasa, peradaban itu akan dimamah jiwanya dari semasa ke semasa. Bayangkan sekiranya ia merebak dalam masyarakat. Sudah pasti kemerdekaan yang kita capai semakin hilang ertinya, semakin mati jiwanya. Akhirnya kita menjadi bangsa yang merdeka tetapi tanpa jiwa.