Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka kita dapat menyambut Tahun Baru Hijriyah 1442. Hijriyah adalah merupakan satu peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam. Hijrah yang kita sedia maklum ialah perpindahan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihiwasallam bersama dengan kaum Mukminin dari Kota Makkah ke Madinah untuk memuliakan Islam dan membela diri. Perjalanan dari kota Makkah ke Madinah yang jauh melalui padang pasir, dalam keadaan diekori oleh pihak musuh adalah merupakan satu ujian getir terhadap keteguhan iman dan kecekalan jiwa mereka yang berhijrah itu.
- Salah satu daripada pengertian hijrah ialah menzahirkan perubahan daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang mungkar dan buruk kepada melakukan perbuatan yang makruf dan baik. Hijrah yang dituntut dalam diri kita pada hari ini adalah dengan membuang segala sifat mazmumah dan digantikan dengan sifat mahmudah. Sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:
2
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. Rasulullah Sallallahu Alaihiwasallam pernah bersabda: “Orang Muslim adalah orang yang menyelamatkan orang Muslim dengan lidah dan tangannya. Orang hijrah adalah orang yang berhijrah daripada sesuatu yang dilarang Allah Subhanahuwataa’la” (HR Bukhari daripada Abdullah bin Amru). - Berpandukan kepada semangat dan pengertian hijrah ini, maka masyarakat Islam hari ini hendaklah mengukuhkan semangat dan ketabahan hati dalam meneruskan kehidupan, dalam apa jua bidang, terutama dalam keadaan cabaran pandemik COVID-19 yang sedang melanda kini. Sebagai seorang pelajar, belajarlah bersungguh-sungguh sehingga berjaya; sebagai seorang pekerja, bekerjalah dengan tekun; sebagai seorang peniaga berniagalah dengan jujur, dan sebagai seorang pemimpin, hendaklah berlaku adil dan amanah.
- Tarikh 1442 Hijriyah ini mengingatkan seluruh umat Islam kepada penetapan takwim Islami oleh Amirul Mukminin Saiyidina Umar al-Khattab yang juga merupakan satu bentuk inovasi dalam urus tadbir terbaik pemerintahan Khalifah Islamiah pada waktu itu.
- Selamat menyambut Tahun Baru 1442 Hijriyah kepada seluruh umat Islam.
3
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.