Seremban 10 Ogos – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mencadangkan satu Jawatankuasa Bioteknologi Kebangsaan ditubuhkan yang berfungsi mengeluarkan garis panduan bagi penyelidikan bioteknologi dan bioperubatan.
Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, berkata jawatankuasa itu boleh menjadi rujukan bagi Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Mufti dan pihak yang berkaitan berhubung hasil penyelidikan bioteknologi.
Beliau berkata, jawatankuasa yang dicadangkan itu wajar dianggotai oleh ulama, golongan saintis profesional, penggubal undang-undang dan ilmuwan untuk membincangkan isu bioteknologi dari aspek agama dan etika.
“Bidang bioteknologi semakin berkembang pesat dan sewajarnya satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau aspek kajiannya supaya tidak melampaui fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT.
“Selain itu, ia bertujuan menentukan sempadan yang ditetapkan Islam sebelum sesuatu hasil kajian itu dapat digunakan, sekali gus memastikan umat Islam dapat meraih manfaat daripadanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bengkel Sempadan Bioteknologi Dari Perspektif Islam Peringkat Kebangsaan, di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial IKIM, En Mazilan Musa.
Perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Lilah Yasin.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS), Datuk Ahmad Maher Abd Manan.
Seminar dua hari anjuran IKIM dan kerjasama JAINS itu disertai 70 peserta terdiri daripada tokoh agama dan pengamal perubatan negara ini.
Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam bengkel berkenaan. Ia bermatlamat membincangkan prinsip al-Quran dan al-Sunnah berhubung dengan kemajuan bioteknologi dan mengawal isu etika serta keagamaan untuk menetapkan sempadan bioteknologi.
Datuk Dr Abdul Monir berkata, kajian yang dijalankan IKIM tahun lalu mendapati 19.5 peratus daripada masyarakat umum negara ini menyatakan bahawa organisasi agama adalah sumber maklumat yang paling dipercayai berkaitan bioteknologi.
“Jelas bahawa peranan ulama penting dalam memberikan penjelasan tentang isu yang timbul dalam mengaplikasi bioteknologi dan peranan mereka secara aktif amat diharapkan,” katanya.
Katanya, bioteknologi mempunyai hubungan dengan kehidupan manusia melalui pelbagai aspek, termasuk hasil bioteknologi yang memberi implikasi meluas.
Beliau berkata, banyak pihak termasuk kumpulan agama menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengikuti perkembangan bioteknologi dan meneliti sama ada perkembangannya menepati ajaran agama dan hak asasi manusia.
“Sehubungan itu satu jawatankuasa peringkat tertinggi penting diwujudkan supaya persoalan berkaitan bioteknologi, terutama dalam menentukan sempadannya tidak dilangkaui.
“Bengkel ini adalah sebahagian usaha IKIM untuk memastikan kerjasama yang padu dapat diwujudkan antara ulama dengan saintis dan juga menentukan pandangan atau prinsip undang-undang Islam yang diberikan oleh pakar terbabit akan diasaskan kepada kefahaman yang mencukupi bagi mengelak sebarang kekeliruan atau keraguan,” katanya.