Anwar Al-Jundi, seorang sarjana Arab terkenal, banyak menulis tentang generasi muda Islam seperti pembinaan perwatakan dan keperibadian mereka, tugas dan tanggungjawab, matlamat dan tujuan hidup mereka, malah hingga kepada tajuk “generasi muda Islam: apakah yang mereka baca?” Dalam konteks tajuk ini beliau melahirkan rasa kesal kerana bahan-bahan bacaan yang sering ditatap generasi muda ialah bahan-bahan yang lebih banyak mengandungi fakta-fakta yang salah tentang berbagai-bagai aspek hidup, terutamanya yang mempunyai hubungan dengan kebenaran moral dan agama. Generasi muda Islam lebih gemar menerima fakta dan pemikiran yang ditonjolkan penerbitan-penerbitan asing dari barat atau timur yang pada umumnya masih berfungsi untuk mewujUdkan kekeliruan dalam pemikiran Islam, dan meneruskan penjajahan pemikiran dalam bentuk baru.
Saya rasa inilah dilema yang rata-ratanya dihadapi oleh generasi muda Islam hari ini, iaitu delima pemikiran dan kekeliruan tentang apakah sebenamya yang mereka mahu dalam masyarakat, dan apakah sebenarnya asas perjuangan mereka dalam hidup ini sebagai muslim dan mukmin. Kekalutan pemikiran mereka amat nyata dalam masyarakat kita sendiri, sehingga kadang-kadang kita merasa bahawa sistem pendidikan yang mereka lalui tidak berupaya membentuk keperibadian mereka yang sebenamya sebagai manusia beragama dan bermoral, atau membentuk pemikiran mereka yang matang dan mantap.
Kalau Anwar Al-Jundi menekankan tentang bahan pembacaan yang terdiri dari bahan-bahan bercetak, maka kita pada hari ini berada dalam satu situasi yang lebih merumitkan tentang bahan-bahan bacaan ini dengan kelahiran bahan bacaan hasil dari kemajuan teknologi moden, iaitu bahan bacaan elektronik dalam bentuk internet.
Internet yang sepatutnya dapat menggalakkan para belia dan remaja untuk lebih tekun mencari ilmu pengetahuan kerana sistemnya yang amat canggih, tetapi disebabkan sampah sarap dan fakta-fakta menyeleweng yang sering dimasukkan ke dalamnya, maka sebaliknya internet sekarang menjadi satu media yang memuatkan bahan-bahan negatif yang merosakkan fikiran dan pandangan hidup penggunanya seperti bahan-bahan lucah, perdagangan fitnah dan curang yang dibuat melalui laman web dan e-mail.
Bahan-bahan negatif ini seolah-olah telah meresap ke dalam kepala para remaja dan belia yang boleh menutup pemikirannya untuk memikirkan sesuatu yang positif, yang membina mental dan minda, sebaliknya menjadikan mereka lebih banyak memikirkan keseronokan dan bahan khayalan yang sia-sia dan kadang-kadang tidak akan merasa puas hati dengan apa saja yang dilakukan orang.
Saya tidak tahu tentang masyarakat lain, tetapi masyarakat kita di negara kita, terutamanya masyarakat Melayu nampaknya akhir-akhir ini menjadi mabuk internet, penyeleweng berita, dan seperti biasa, tabiat kita yang suka mereka-rekakan cerita kosong atau berita-berita karut, maka sekarang internet pula yang menjadi wadahnya.
Isu-isu yang sepatutnya hanya menjadi bahan perbualan di kedai-kedai kopi atau di kaki lima kedai, tiba-tiba menjadi bahan internet yang amat murah harganya. Internet telah menyiarkan berita tentang peribadi orang, keaiban kawan, tuduhan kepada lawan, fitnah tidak berasas, dan mereka-rekakan seribu satu kisah khayalan yang tidak dapat diterima akal.
Alangkah ruginya masyarakat kita di saat kegemilangan penggunaan internet untuk membina dan membangun, untuk belajar dan untuk memindahkan pengetahuan yang bermanfaat, tiba-tiba kita telah membawanya ke satu penghujung yang amat ekstrim, yang amat jauh jaraknya dari tujuan asal multimedia. Kita nampaknya masih tidak dapat memisahkan diri kita dari alam khurafat dan khayalan yang kita warisi dari nenek moyang kita dahulu. Kita masih dibuaikan oleh kepercayaan karut tentang mimpi dan alam fantasi. Malah dalam dunia serba canggih dan membangun dengan teknologi yang serba moden inipun kita masih mempercayai dan yakin dengan segala kekarutan itu. Maka hal-hal ini nampaknya seolah-olah menjadi pengisian penting dalam laman net dan komunikasi di antara para pengguna di negara kita.
Di sini sekali lagi kita berhadapan dengan persoalan yang ditimbulkan di atas, iaitu apakah yang dibaca oleh para belia, para remaja dan para pembaca Islam umumnya pada hari ini. Kita tidak dapat menafikan bahawa media cetak yang menghidangkan cerita-cerita sensasi, khayalan melampau, gossip antara personaliti dalam dunia glamour dan sebagainya lebih banyak mengundang pembaca daripada bahan-bahan yang benar-benar mengandungi ketulinan ilmu pengetahuan dan bahan¬bahan yang dapat meningkatkan nilai dan budaya hidup yang baik.
Ketika negara berhadapan dengan sesuatu krisis, seperti krisis ekonomi dan politik, krisis moral dan sosial, maka ruangan multimedia juga nampaknya banyak dipengaruhi oleh isu-isu sen sional dan kontraversi untuk diketengahkan.
Laman-laman web dan mel-elektronik percuma yang juga disediakan sebagai saluran berkomunikasi antara pengguna seluruh dunia telah dipergunakan dengan secara meluas untuk tujuan ini. Dalam krisis kepimpinan di negara kita sekarang umpamanya, banyak sekali perkara dan isu yang mengelirukan dibawa ketengah oleh anak-anak negara sendiri. Maka berhadapan dengan perkembangan ini, dalam proses menegakkan pandangan dan hujah masing-masing, banyak fakta andaian yang dikemukakan sebagai hakikat, banyak berita palsu telah disebarkan secara yang kelihatan amat menyakinkan.
Oleh itu amatlah releven pertanyaan Anwar Al-Jundi, apakah yang dibaca oleh para belia kita pada hari ini? Jawapnya kita di Malaysia, ramai para remaja dan belia yang membaca internet. Oleh itu saya beranggapan bahawa generasi muda Islam perlu dibimbing dan disedarkan apakah bahan bacaan yang bermutu untuk mereka baca. Mereka sendiri seharusnya tahu membezakan di antara kualiti bahan-bahan bacaan yang mereka harus dampingi dan yang harus mereka jauhi.
Bagaimanapun sebagai generasi baru yang masih mencari-cari tapak untuk berpijak, mereka tentulah tidak dapat mengelakkan diri daripada mendarat di tapak-tapak, termasuk tapak web, yang penuh sampah sarap dan racun yang dapat meracunkan pemikiran mereka, atau sekurang-kurangnya mengelirukan mereka secara berpanjangan.
Ketika itu maka dosanya adalah ditanggung oleh orang-orang dewasa, orang-orang yang dapat berfikir secara rasional dan baik, tetapi kerana dorongan-dorongan jahat dan bermotifkan kepentingan melulu untuk peribadi dan puak yang tertentu, maka mereka sengaja turun ke padang untuk mengelirukan pandangan orang awam dengan cerita-cerita rekaan mereka.
Kerana itulah ketika Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. membaca, maka baginda diminta membaca dengan nama Tuhan yang menjadikan seluruh alam, iaitu membaca untuk menegakkan keagongan Allah, bukan membaca untuk menegakkan bisikan nafsu manusia sendiri. Untuk tidak mensia-siakan masa dan tenaga, dan untuk tidak mensia-siakan ilmu dan pengetahuan manusia yang seharus disalurkan melalui multimedia, maka alangkah baiknya masyarakat kita mengorientasikan semula budaya penyediaan dan penggunaan internet dalam masyarakat kita supaya ianya lebih merupakan laman membangun yang produktif, bukan laman negatif yang tidak bernilai dan meruntuhkan akal budi dan budaya murni kita seperti maksud pepatah “apakah gunanya bunga yang cantik dan wangi sekiranya diberikan kepada monyet dan kera”.