APAKAH yang menentukan imej atau keperibadian seseorang? Ada yang mengandaikan bahawa cara berpakaian mencerminkan imej atau keperibadian seseorang.
Tidak kurang yang melihat pertuturan seseorang dalam menentukan keperibadiannya. Pendapat lain pula menyatakan cara penampilan diri akan menyerlahkan keperibadian atau imej seseorang.
Apa yang pasti, jawapannya subjektif. Mungkin juga, pepatah ‘jangan menilai buku daripada kulitnya’ atau ‘menilai seseorang daripada luaran’ boleh dijadikan panduan dalam hal ini.
Hakikatnya, keterampilan diri adalah unsur penting pada seseorang. Ia dianggap sebagai faktor utama bagi pengenalan diri seseorang kepada individu lain.
Bagi membicarakan persoalan itu dengan lebih lanjut, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan bengkel ‘Keterampilan Diri Menurut Perspektif Islam’ pada 16 dan 17 Mac ini.
Bengkel itu antara lain membincangkan kaedah yang boleh digunakan untuk menjawab persoalan mengenai cara keterampilan diri yang lebih mantap dan menarik.
Perbincangan dalam bengkel ini antara lain akan dapat memberi keyakinan kepada setiap orang cara berpakaian yang sesuai sehingga mereka berasa yakin terhadap cara keterampilan diri.
Bengkel ini antara lain untuk:
- Memperkenalkan cara penampilan diri mengikut perspektif Islam.
- Menyediakan platform dan peluang kepada usahawan Muslim mengenai bidang keterampilan diri seperti industri pakaian, tekstil dan aksesori yang bersesuaian.
- Memberi pendedahan mengenai asas cara berpakaian yang betul bermula daripada pemilihan fesyen, potongan hingga pemilihan fabrik, corak dan pilihan warna yang sesuai untuk pakaian.
- Mengetengahkan pentingnya keterampilan diri dan cara berpakaian yang betul. Ini dapat meningkat imej organisasi pada mata pelanggan yang sentiasa mahukan yang terbaik dari sesebuah organisasi.
Bagi membicarakan persoalan itu, IKIM menjemput personaliti terkenal dan pakar dalam bidang berkaitan untuk memberi ceramah mengenainya.
Pensyarah Jabatan Siasah Syariah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Sharifah Haayati Syed Ismail Al-Qudsy akan menyampaikan ceramah bertajuk Penampilan Diri Menurut Perspektif Islam.
Perbincangan mengenai Protokol dan Etiket Dalam Pengurusan Menghadiri Majlis pula akan disampaikan penceramah dan perunding protokol dan etiket sosial, Moktar Mohd Tohar.
Pengasas dan Pengarah Positive Grooming Sdn Bhd, Yasmin Siddik pula akan menyampaikan ceramah bertajuk Imej Diri Dari Perspektif Organisasi.
Beliau juga akan menyampaikan ceramah mengenai Pemilihan Pakaian Yang Sesuai Untuk Lelaki dan Wanita Pejabat: Rasmi atau Tidak Rasmi serta Pilihan Berpakaian Untuk Pelbagai Situasi Bagi Lelaki dan Wanita, Pakaian sukan serta Kasual.
Bengkel ini sesuai dihadiri oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pereka fesyen, usahawan, pegawai kerajaan, profesional, golongan korporat serta ahli pertubuhan bukan Kerajaan dan pelajar.
Bayaran untuk mengikuti bengkel itu adalah RM300 seorang untuk pegawai dan kakitangan kerajaan serta swasta, pertubuhan dan persatuan.
Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, pesara, suri rumah dan orang ramai yang berminat bayarannya adalah RM100 seorang.
Sijil penyertaan akan diberikan kepada peserta menghadiri bengkel dua hari ini.
Pertanyaan lanjut mengenai bengkel itu hubungi Nor Azaruddin Husni Nuruddin�melalui 03-6204 6245/6247-/6241 atau faksimile 03-6204 6240 atau emel [email protected]