REALITI sosial, ekonomi, politik dan perkembangan semasa manusia dan alam sentiasa mendapat tempat dalam pelaksanaan Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w sehingga ke hari kiamat.
Namun satu perkara yang harus diingat, bahawa mengambil kira realiti hidup, tidak semestinya membawa kepada perubahan hukum yang muktamad tentang prinsip agama.
Hukum agama tetap wujud dan sah, cuma pelaksanaannya mungkin memerlukan penelitian dan pertimbangan yang wajar.
Saya mengingati hal ini apabila sedang bertawaf di keliling Kaabah, iaitu ketika bersesak-sesak menunaikan ibadat itu dengan segala macam kerenah manusia, lelaki, perempuan, tua dan muda. Saya fikir, pihak berkuasa Arab Saudi yang mentadbir urusan ibadat ini tentu telah mengambil kira tentang keperluan hukum-hukum agama bagi umat Islam yang akan menunaikannya.
Perkara pertama yang amat tegas dijalankan oleh kerajaan Arab Saudi ialah dasar pemisahan lelaki dan perempuan di dalam semua sektor, iaitu sektor pekerjaan, pelajaran dan sebagainya.
Universiti Arab Saudi pada umumnya menempatkan pelajar-pelajar wanita secara berasingan, dan syarahan para tenaga pengajar lelaki dipancarkan ke dalam kuliah melalui peti televisyen. Perhubungan di antara pensyarah lelaki dan pelajar wanitanya dilakukan secara sidang video, supaya konsep pemisahan lelaki dan wanita ini benar-benar dilaksanakan sepenuhnya.
Berdasarkan hal ini, mungkin kita ingin bertanya, jika di dalam kelas ilmu dan pengajian pun, lelaki dan wanita dipisahkan begitu rupa, maka kenapa pula ketika bertawaf di sekeliling Kaabah dan bersa’i di antara Safa dan Marwah tidak pula dipisahkan di antara jemaah lelaki dan perempuan.
Bagaimanapun jawapan kepada persoalan ini tentulah wujud pada pihak berkuasa Arab Saudi, kerana merekalah yang membuat dasar dan keputusan ini.
Namun yang terlintas pada fikiran saya, apa yang dilakukan itu, iaitu tanpa pemisahan di antara lelaki dan perempuan ketika bertawaf dan sa’i ialah kerana mengambil kira banyak unsur yang mempunyai hubungan dengan maslahat jemaah sendiri dan juga unsur logistik yang semuanya ini merupakan realiti sosial yang harus dihadapi. Realiti jemaah yang terlalu ramai, tempat yang amat terhad, dan niat jemaah sendiri ketika mengerjakan ibadat ini, mungkin merupakan beberapa unsur yang telah diberikan perhatian serius, sehingga dalam menunaikan ibadat ini, konsep memisahkan jemaah lelaki dan wanita akan mengalami kesukaran dan masalah kepada banyak pihak, oleh itu ia tidak dijalankan.
Inilah yang saya sebutkan di atas bahawa realiti yang wujud di dalam hidup kita ini sering menjadi perkara yang seharusnya diberikan perhatian dalam mengambil pendekatan yang sewajarnya di dalam agama. Kehidupan yang sentiasa berkembang dan berubah-ubah sepatutnya dikaji dengan teliti dalam mengambil pendekatan agama.
Bagi kita orang-orang Islam dari Malaysia, ketika bertawaf maka kita juga mungkin mengalami masalah ketika mengikut mazhab Shafie, iaitu tentang hukum yang membatalkan wuduk ketika bersentuh kulit lelaki dan wanita bukan muhrim. Agak sukar sekali ketika ribuan lelaki dan wanita bukan muhrim bersesak-sesak mengerjakan tawaf, kita masih dapat menjaga diri supaya wuduk kita tidak batal.
Hal ini menjadi lebih rumit, terutamanya ketika para pengikut mazhab lain tidak pula terbatal wuduknya dengan bersentuhan kulit lelaki dan wanita bukan muhrim.
Maka realitinya sekali lagi dalam hal ini kita harus mengambil pendekatan yang lain, iaitu dengan mengikut hukuman mazhab lain umpamanya, supaya jika berlaku sentuhan kulit lelaki wanita bukan muhrim, maka wuduk kita tidak terbatal. Oleh itu untuk mengatasi kesusahan ini, para pengikut mazhab Shafie haruslah mendapatkan fatwa bagaimana hendak bertaqlid mazhab lain ketika berwuduk dan sebagainya.
Dengan itu terdapat kelonggaran untuk menghadapi keadaan dan realiti yang amat mendesak ini sehingga dengan itu kita tidak terlalu mengehadkan hukuman satu mazhab yang amat mengikat pergerakan kita. Kita tentu merasa amat sukar sekali setiap kali bersentuhan kulit lelaki dan perempuan bukan muhrim maka kita terpaksa berkejaran mencari tempat wuduk.
Allah tidak membebankan sesuatu yang tidak dapat ditanggung oleh orang awam sehingga amat menyusahkan mereka. Firman Allah s.w.t, ”Allah tidak membebankan sesuatu kepada seseorang, kecuali ia memberikan kemudahannya.”
Kita juga sering berdoa kepada Allah s.w.t seperti yang ditegaskan di dalam al-Quran, ”Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan apa yang tidak mampu kami tanggung”.
Dasar ini merupakan satu penjelasan dari falsafah ajaran agama kita yang perlu diberikan perhatian serius jika kita ingin menegaskan kepada dunia bahawa Islam adalah satu agama yang selama-lamanya relevan dengan peredaran masa dan peredaran dunia umumnya.
Hal ini jugalah yang dilaksanakan oleh Sayidina Umar ibn al-Khattab ketika beliau menggantungkan pelaksanaan hukuman hudud ketika umat Islam pada satu ketika dalam zaman pemerintahannya menghadapi kegawatan hidup kerana musim kemarau yang melanda mereka.
Malah Islam juga membenarkan kita makan atau minum sesuatu yang haram untuk survival kita ketika tidak ada makanan atau minuman yang halal, iaitu ketika darurat dan kecemasan.
Prinsip ini pada saya adalah merupakan prinsip yang amat luas dan universal dalam kehidupan manusia dan Islam telah pun mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam mengambil kira realiti masyarakat manusia ketika melaksanakan ajarannya. Tapi dalam keadaan sekarang, termasuk yang berlaku di negara kita, saya amat ragu-ragu sekali apakah kita memberikan perhatian yang sewajarnya tentang perkara ini ketika ini berbicara tentang pelaksanaan hukum-hukum Islam.
Apakah kita benar-benar memahami realiti sosial dalam masyarakat ketika kita berbicara tentang Islam, atau hanya memahami dasar Islam dari kaca mata kurun pertengahan tanpa sebarang perubahan dalam menghadapi realiti dunia yang mulai memasuki abad dan alaf baru.