MENJELANG bulan suci yang sedang kita lalui pada hari keduanya hari ini, kita bersyukur di atas kurniaan Allah s.w.t kepada kita semua dengan kesihatan, ketenteraman, keamanan dan kemakmuran. Ketegangan politik dalam negara kita yang agak memuncak sebelum pilihan raya yang lalu, nampaknya mulai menguncup dan reda, dengan berakhirnya persaingan merebut kerusi dan kuasa politik dengan tamatnya pilihan raya.
Tujuan pilihan raya diadakan sebelum bulan puasa ini nampaknya terbukti kebenarannya, iaitu supaya semua orang tidak terlalu terbelenggu dengan agenda politik secara melulu sehingga boleh mencemarkan amalan suci yang sedang kita lakukan.
Kini keputusan pilihan raya telah pun diketahui umum. Semoga semuanya telah dapat menerima keputusan orang ramai, malah yang lebih penting lagi keputusan pilihan raya mungkin dapat memberi pengajaran yang baik bagi setiap individu bagi menghitung diri sendiri dalam banyak hal.
Keputusan pilihan raya bukan hanya melibatkan calon yang kalah atau menang, tetapi juga melibatkan orang ramai yang menjadi pengundi, dan sebagai pengundi, mereka sebenarnya yang telah membuat keputusan terhadap calon mana yang mereka pilih.
Muhasabah diri sebenarnya amat penting bagi pengundi, kerana seperti yang telah ditegaskan bahawa pengundi adalah memegang kuasa bagi menentukan siapakah yang akan mereka beri mandat untuk menjadi wakil mereka. Ketika keadaan agak reda dan tenang ini, eloklah setiap orang pengundi bermuhasabah diri dan bertanya diri sendiri kenapa ia mengundi calon yang tertentu.
Bagi saya pengundian orang Islam ternyata amat pecah. Orang Islam ketika ini haruslah bertanyakan diri sendiri apakah sebabnya ia memberikan suaranya kepada calon yang tertentu, apakah ia ikhlas dan jujur dalam membuang undinya, atau ia mempunyai tujuan tertentu seperti memprotes, atau hanya mengikut percakapan orang lain, atau hanya berdasarkan emosi yang sedang meluap-luap sahaja.
Hal ini saya rasa penting sekali difikirkan oleh setiap pengundi Islam, kerana pada pilihan raya ini orang Islam sendiri boleh bertanya kenapa umpamanya ia memilih calon dari DAP bukannya MCA umpamanya ketika tidak ada calon dari Pas atau UMNO di kawasan pilihan rayanya? Apakah ia benar-benar ikhlas dan jujur dengan dirinya dalam membuat pilihan itu, atau semata-mata kerana dipengaruhi oleh sebab-sebab lain yang tidak fundamental?
Dalam memilih calon yang berdasarkan kepada sentimen dan agenda keagamaan pula, ia juga harus bertanyakan kepada dirinya sendiri, kenapakah ia memilih calon yang tertentu. Apakah agenda keagamaan UMNO atau Pas itu memang benar-benar difahaminya dengan secara matang dan rasional sehingga ia benar-benar dapat membuat keputusan yang dirasanya benar, atau sekali lagi ia hanya berasaskan kepada cakap-cakap orang lain, atau juga berasaskan kepada perasaan sentimen dan emosi sahaja.
Dalam masyarakat negara kita yang unik ini kita memerlukan muhasabah diri yang mengambil kira segala faktor dalaman dan luaran untuk membuat keputusan. Demikian juga dalam pilihan raya, kita juga harus menyedari realiti masyarakat, politik dan lain-lain dalam membuat sebarang pendirian. Dalam berkongsi kuasa politik umpamanya, seorang Islam seharusnya telah mengambil kira segala kemungkinan sebelum mengambil tindakan bagi memilih rakan bukan Islam dalam perkongsian kuasa itu.
Banyak persoalan yang harus diberikan jawapan sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan parti politik bukan Islam dalam melaksanakan agenda-agenda negara dan agama seperti yang kita cita-citakan. Parti bukan Islam yang manakah di negara kita yang lebih bersikap sederhana, lebih toleransi dan lebih terbuka, malah dapat menghormati agama dan umat kita umpamanya. Hal ini perlu diteliti sebelum kita tergopoh-gapah membuat keputusan semata-mata kerana mendapatkan simpati orang ramai bagi memberikan undi mereka.
Satu perkara lain yang boleh dimuhasabahkan diri tentang agenda politik masa depan orang Islam ialah masing-masing cubalah melihat ke dalam diri dan kemudian menginsafi diri guna membetulkan sesuatu yang telah terlanjur dan terlajak. Kalau dalam kempen pilihan raya umpamanya, terlalu banyak kata-kata kesat dan liar yang pernah dihamburkan oleh semua pihak, maka alangkah baiknya jika hal itu dapat diinsafi dan diperbaiki demi kesucian perhubungan di antara masyarakat Islam dan masyarakat manusia umumnya.
Saya amat berharap bahawa semua kalangan masyarakat Islam yang terlibat dengan politik atau tidak, yang berkempen atau hanya menjadi pendengar, agar dapatlah mengambil masa yang tenang untuk mencerminkan diri sendiri secara amanah, apakah yang telah dilakukannya sebelum ini, terutamanya dari segi perhubungan dan persaudaraannya sesama Islam. Perlulah ditinjau tentang niat baik buruknya, kata nista, atau maki hamun dan sumpah seranah yang pernah terkeluar dari mulutnya dalam keghairahannya melahirkan sentimen kepartiannya secara melulu.
Mungkin pihak pimpinan parti politik sendiri, yang mewakili orang Islam, perlu melunakkan rentak bahasa dan penuturannya kepada kawan dan lawan. Kalau selama ini terkeluar unsur fitnah dan tuduhan melulu kepada orang lain, mungkin ketika difikir-fikirkan secara tenang, ternyata bahawa semuanya itu hanya rekaan sendiri, tidak berasaskan kepada faktor kebenaran yang diketahuinya. Demikian juga kepada orang-orang yang suka melabelkan dan menggelar orang dengan gelaran-gelaran yang amat mengerikan, maka ia mungkin dapat membetulkan dirinya dan membersihkannya terus buat selama-lamanya.
Hal ini saya sebutkan supaya kita sama-sama menginsafi diri dalam saat dan ketika yang amat genting ini, iaitu ketika kita sebenarnya menghadapi musuh bersama yang lebih besar bahaya dan risikonya daripada permusuhan sesama sendiri. Tentulah dalam keadaan ini kita tidak seharusnya lagi mempersoalkan tentang akidah kita sesama Islam, atau pendekatan keislaman kita sama ada mengikut al-Quran atau tidaknya. persoalan-persoalan retorika dan teknikal ini seharusnya tidak kita gunakan untuk mengelirukan pandangan umum orang tentang Islam dan umatnya.
Pendeknya dalam bulan puasa yang berkat ini sebaik-baiknya kita dapat menggunakan kesucian jiwa dan rohani kita untuk bertafakur dan bermunajat kepada Allah s.w.t agar kita diberikan kejernihan hati untuk membaiki perjalanan pemikiran dan hidup kita, dalam hidup sendiri dan dalam hubungan sesama orang Islam dan manusia yang lain umumnya.
Jadikan kempen dan pertelagahan yang berlaku sepanjang saat genting itu sebagai sesuatu yang telah berlalu. Yang tinggal di hadapan kita ialah persefahaman dan agenda bersama, walaupun masing-masing bebas mempunyai pandangan dan caranya yang tersendiri dalam menegakkan agenda agamanya. Inilah yang dikatakan bermuhasabah dan menghitung diri, dan latihan inilah yang perlu kita lakukan dengan bersungguh-sungguh menjelang bulan ibadat mulia yang datang kepada kita setahun sekali.