Jika diteliti, kedudukan ekonomi umat Islam di dunia hari ini secara keseluruhannya sangat menyedihkan berbanding pencapaian ekonomi penganut agama lain, seperti Kristian dan Yahudi.
Realiti ini sangat bertentangan dengan falsafah yang dipelopori oleh Islam itu sendiri. Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka tetapi mesti dalam batasan shariah yang dibenarkan. Pada hemat saya, kedaifan ekonomi umat Islam berpunca daripada kegagalan mereka menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap lagi sempurna.
Sebagai umat Islam kita tidak perlu menjadi miskin semata-mata untuk memberikan tumpuan kepada ibadah serta mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.. Definisi ibadah itu sangat luas. Perlu difahami bahawa mencari pendapatan untuk menyara keluarga dan memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak merupakan satu ibadah yang sangat dituntut oleh Islam daripada setiap umatnya.
Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda di dalam sebuah hadis yang berbunyi, Sesungguhnya Allah suka kepada hamba yang bekerja dan berusaha. Barang siapa bersusah-payah mencari nafkah untuk keluarganya maka dia serupa dengan seorang mujahid di jalan Allah. (Hadis Riwayat Ahmad).
Dalam sebuah hadis lain pula baginda bersabda, Sesungguhnya Ruhul Qudus (Malaikat Jibril) membisikkan dalam benakku bahawa jiwa tidak akan mati sebelum lengkap dan sempurna rezekinya. Kerana itu hendakalah kamu bertakwa kepada Allah dan memperbaiki mata pencarianmu. Apabila datangnya rezeki itu terlambat, janganlah kamu memburunya dengan jalan bermaksiat kepada Allah kerana apa yang ada di sisi Allah hanya boleh diraih dengan ketaatan kepadanya. (Hadis Riwayat Abu Dzar dan Al-Hakim).
Umat Islam hari ini memang memerlukan kemantapan ekonomi untuk meneruskan kehidupan serta menjalankan tanggung jawab mereka sebagai Muslimin/Muslimat yang baik. Ini memang ada dinyatakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w.: Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusaan dunianya. (Hadis Riwayat Al-Thabrani). Ini sudah jelas kita lihat hari ini.
Untuk menunaikan ibadah haji, umpamanya, kita memerlukan sekitar RM10,000. Bagaimana pula agaknya sepuluh tahun akan datang? Faktor ekonomi ini sebenarnya mempunyai kesan yang mendalam di dalam kehidupan umat Islam. Rasulullah s.a.w. ada bersabda, Harta kekayaan adalah sebaik-baik penolong bagi pemeliharaan ketakwaan kepada Allah. (Hadis Riwayat Ad-Dailami).
Kita di Malaysia patut bersyukur kerana dilimpahkan rahmat yang secukupnya sehingga kita boleh menjalani kehidupan dengan agak selesa. Di sesetengah negara (tidak perlu disebutkan negara mana) umat Islamnya tidak begitu bernasib baik seperti kita.
Terdapat segelintir umat Islam yang meninggalkan agama mereka semata-mata kerana kesempitan hidup yang dilalui. Alasan mereka, semasa kehidupan mereka dalam kesempitan hanya jiran bukan Islam sahaja yang mampu menghulurkan bantuan.
Jiran-jiran Islam mereka pun tidak mampu berbuat apa-apa kerana secara kolektif mereka semuanya dhaif dibelenggu oleh kemiskinan. Inilah yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w., Kesengsaraan yang paling sengsara ialah miskin di dunia dan diseksa di akhirat. (Hadis Riwayat Al-Thabrani dan Al-Shihaab).
Kita mesti akui bahawa cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan ekonomi orang Islam adalah melalui perniagaan. Ini memang dinyatakan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al Bazzar dan Ahmad. Mata pencarian yang paling afdal adalah berniaga dengan penuh kebajikan dan dari hasil usaha tangan. Di dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, Sembilan per sepuluh punca rezeki itu adalah dalam bidang perniagaan.
Dalam menggalakkan umat Islam berniaga, Allah s.w.t. berfirman, Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu. (al-Nisa:29). Ayat di atas dengan sendirinya telah menerangkan batasan-batasan yang perlu diperhatikan oleh setiap Muslim dalam mencari kekayaan di dunia ini.
Namun begitu, dalam konteks dunia moden hari ini, peningkatan ekonomi tidak semestinya berlaku melalui kegiatan perniagaan sahaja. Kebanyakan pekerjaan bergaji yang memerlukan kepakaran serta kemahiran tinggi juga mampu meningkatkan taraf ekonomi seseorang atau sesuatu keluarga.
Oleh itu, disamping menceburi perniagaan, umat Islam juga perlu menguasai ilmu serta kepakaran tertentu seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan, kewangan, pelaburan dan sebagainya. Dalam dunia hari ini, kita masih boleh meningkatkan ekonomi diri sendiri di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi umat Islam.